Sekolah wajib solat berjemaah bina jati diri, hindar pengaruh negatif

Education Featured Statements

PETALING JAYA: Dasar mewajibkan sembahyang berjemaah di sekolah bagi pelajar Islam di sekolah kebangsaan mampu membina jati diri dan menghindar pengaruh negatif seperti dadah, hubungan bebas tanpa batas dan lepak, kata NGO Islam.

Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (Wafiq) percaya inisiatif ibadah berkumpulan dapat melahirkan sifat kepimpinan dalam kalangan pelajar Islam, dan dalam jangka masa panjang, pelajar sendiri dapat menjadi pembimbing rakan sebaya.

“Adalah dikesalkan kerana sebahagian kita hanya tahu mengeluh apabila melihat gejala sosial yang meningkat tetapi tidak memberikan sokongan kepada saranan positif seperti polisi bersolat berjemaah di sekolah sebagai salah satu langkah menangani pelbagai masalah remaja kita,” kata aktivis Wafiq Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar.

Beliau dalam kenyataan mengulas kekhuatiran golongan yang prihatin dengan dasar pendidikan di Kuantan yang mewajibkan sekolah menganjurkan sembahyang berjemaah sebelum pelajar pulang ke rumah, antaranya sebagai pengisian membina karektor warga sekolah agar dapat mencegah perkara negatif.

Bekas timbalan menteri pendidikan tinggi Datuk Saifuddin Abdullah meminta dasar dikaji untuk melihat jika ia akan mendorong lebih ramai ibu bapa bukan Islam dan sesetengah ibu bapa Melayu menghantar anak ke sekolah lain kerana khuatir sekolah kebangsaan semakin menjadi sekolah agama.

Pemimpin MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker sebelum ini berkata sekolah kebangsaan berjaya menarik ramai murid bukan Melayu dan lebih baik jika fokus ditumpukan kepada pendidikan, bukannya agama sebagai tugas dan tanggungjawab utama sekolah.

Wafiq bagaimanapun berkata solat berjemaah sesuai dijalankan di sekolah kebangsaan kerana kemudahan untuk murid dan guru beragama Islam tidak menjejaskan hak pelajar lain.

“Kesal dengan tanggapan bahawa solat berjemaah hanya sesuai untuk sekolah agama dan bukannya sekolah kebangsaan. Ia seakan-akan membenarkan prinsip sekularisasi hidup di alam persekolahan,” kata Dr Rafidah.

“Saya juga tidak nampak dimana ia akan menyebabkan pelajar bukan Islam terasing,” tambahnya.

Sementara itu, sebuah lagi NGO Islam, Pusat Kecemerlangan Pendidikan Ummah (Pacu), berkata aktiviti sembahyang berjemaah tidak akan menjejaskan semangat perpaduan di sekolah, malah ia boleh mengalakkan kesatuan dan keharmonian antara pelajar.

“Hal ini kerana, pelajar yang bukan beragama Islam akan menghormati dan lebih memahami bahawa solat itu satu tuntutan agama bagi mereka yang beragama Islam,” kata Pengerusi Asral Widad Ahmad Asnawi dalam kenyataan.

“Di samping itu, bagi pelajar yang beragama Islam, solat berjemaah akan mengukuhkan lagi disiplin, toleransi serta kasih sayang sesama pelajar,” tambahnya.

Asral berkata pertambahan bilangan anak-anak dalam program pupuk jati diri Islam yang Pacu anjurkan dari tahun ke tahun menunjukkan ada permintaan yang meningkat dalam kalangan ibu bapa untuk inisiatif seperti itu.

sumber asal: http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/12/03/ngo-sekolah-wajib-solat-berjemaah-bina-jati-diri-hindar-pengaruh-negatif/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *