Kenyataan Rasmi WAFIQ Berhubung Teguran Pelanggan Air Asia Terhadap Pakaian Seksi Pramugari

Featured Statements

Surat dari seorang pelancong New Zealand yang bernama June Robertson yang dialamatkan kepada YB Senator Datuk Hanafi Mamat, telah menjadi bualan hangat baru – baru ini. Pengirim surat tersebut telah dihubungi oleh portal i.stuff.co.nz/travel bagi mengesahkan kandungan surat.

WAFIQ berpendapat maklumbalas sebegini kepada syarikat penerbangan AirAsia seperti yang dilaporkan portal New Zealand tersebut sebagai wajar diambil berat oleh semua pihak termasuk kerajaan Malaysia. Sumbang saran ikhlas dari seorang pelancong luar negara yang memandang tinggi terhadap tatasusila adab pemakaian masyarakat Asia Tenggara khususnya negara Malaysia menunjukkan pakaian mencolok mata bukanlah tarikan kepada pelancong asing seperti yang sering dimomok-momokkan oleh syarikat-syarikat penerbangan.

Sudah acapkali sumbangsaran seperti ini telah diberi oleh masyarakat umum Malaysia namun tidak diendahkan oleh syarikat-syarikat penerbangan kita. Malah akan dipertahankan oleh mereka yang menegakkan hak asasi manusia berkiblatkan adab tatasusila barat.

Pandangan Jane Robertson yang mengibaratkan Air Asia ‘melacurkan’ pramugari dengan pakaian mereka seperti pemakaian seorang ‘pelacur’ adalah satu kenyataan yang kita harus ambil perhatian demi memelihara kehormatan kaum wanita.

Dengan terlantiknya Neolofa sebagai Pengarah Bebas bukan Eksekutif Air Asia, adalah wajar Air Asia memanfaatkan beliau bagi merangka pakaian pramugari yang lebih menggambarkan tatasusila rakyat Malaysia dan seterusnya memperkenalkan pakaian pramugari berhijab. Ini tidaklah mustahil kerana hijab telahpun dipakai oleh juruterbang Muslimah Air Asia, maka wajar, pramugari mereka diberi hak kebebasan untuk memilih pemakaian menutup aurat.

Syarikat penerbangan yang bertaraf antarabangsa seperti Emirates, Etihad, Brunei Airlines, Oman Air dan beberapa syarikat penerbangan antarabangsa lain didapati memberi kebebasan untuk pramugari mereka menutup aurat atau dengan pakaian yang longgar sesuai untuk pramugari Muslim atau bukan Muslim, tanpa mengeksploitasikan tubuh badan secara berlebihan.

Air Asia sebagai syarikat penerbangan dari Malaysia yang dikenali dunia seharusnya memainkan peranannya menjaga maruah negara Malaysia sebagai negara yang terkenal dengan tatasusila adab dan kesopanan dari sudut pakaian terutamanya.

” Now Everyone Can Fly.. with Modesty and Pride ” merupakan tagline baru yang kami WAFIQ anjurkan buat Air Asia sekaligus menerajui syarikat penerbangan Malaysia yang lain, dalam memberi penghormatan yang tinggi kepada pramugarinya.


Hajjah Asral Widad Ahmad Asnawi
Timbalan Presiden
International Women’s Alliance for Family Institution and Quality Education (WAFIQ)

Pengasas dan Pengerusi
Darul Insyirah
Pusat Kecemerlangan Pendidikan Ummah (PACU)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *