Mengkritik Hujah Golongan Pro-LGBT – Bahagian 2

Featured LGBT Viewpoints

ISTILAH WILDAN MUKHALLADUN

Usaha para pendokong LGBT untuk mencari pembenaran dari Al- Qur’an sangat luar biasa. Bahkan kelihatan sangat terdesak. Misalnya istilah wildan mukhalladun yang terdapat di dalam Surah al-Waqiah ayat 17 dan al-Insan ayat 19, dan perkataan ghilman pada Surah ath-Thur ayat 24.

“Dan mereka dikelilingi oleh pelayan-pelayan muda yang sentiasa muda (wildan mukhalladun). Apabila kamu melihat mereka, kamu akan menyangkakan mereka umpama mutiara yang bertaburan (QS. Al-Insan:19)

Mereka (para penghuni syurga) dikelilingi oleh anak-anak muda yang kekal muda (wildan mukhlladun), dengan membawa gelas, cerek dan minuman yang diambil dari air yang mengalir. Mereka tidak pening kerana meminumnya dan tidak pula mabuk (QS. Al-Waqi’ah: 17 -19).

Dan berlegar-legar di sekitar mereka anak-anak muda (ghilman) untuk (melayani) mereka, seakan-akan mereka itu mutiara yang tersimpan. Dan sebahagian mereka menghadap kepada sebahagian yang lain saling bertanya. Mereka berkata: “Sesungguhnya kami dahulu, semasa berada di dalam keluarga kami merasa takut (akan diazab).” (Qs. Ath-Thur: 24-26)

Para pendokong LGBT memberikan pemahaman yang didapati terlalu imaginatif sesuai dengan kepentingan pembelaan terhadap keberadaan golongan LGBT. Khoirul Anwar misalnya menyatakan bahawa penggunaan istilah wildan mukhalladun merupakan respon Al-Qur’an terhadap imaginasi masyarakat Arab ketika itu di mana ramai lelaki yang memiliki hasrat seksual terhadap anak-anak muda tampan. Adanya respon Al-Quran tersebut lantas dianggap seolah-olah pembenaran terhadap hasrat seksual lelaki terhadap lelaki lain. Dalam Lisan al-Arab (juz III, hal. 467), perkataan wildan merupakan jamak dari waliid yang bermaksud kanak-kanak yang baru dilahirkan sehingga usia remaja sebelum bermimpi basah. Perkataan walid juga bermaksud pelayan muda yang masih belum baligh. Sedangkan dalam al-Mu’jam al –Wasith (juz 2, hal. 1056), perkataan wildan merupakan jamak dari perkataan waliid yang bermaksud hamba dan pelayan yang masih muda. Perkataan ini juga bersifat uniseks, boleh digunakan untuk lelaki dan perempuan. Sementara perkataan ghilman merupakan jamak dari perkataan ghulam. Menurut Ibnu Sidah, Ghulam bermaksud pemuda yang telah tumbuh misainya (Lisan al-Arab, juz 12, hal. 439). Ghulam juga bermaksud anak kecil. Kadangkala Ghulam juga digunakan untuk lelaki dewasa sebagai ungkapan metafora (majaz). Menurut al-Azhari, orang Arab ketika mengetahui bahawa seorang bayi dilahirkan dengan jenis kelamin lelaki, mereka menyebutnya Ghulam (Mishbah al-Munir al-Ashriyyah, juz 1, hal. 234). Perkataan Ghulam dalam bentuk jamak iaitu ghilman juga boleh bermaksud pelayan (Mu’jam al -Wasith, juz 2, hal. 660). Ketika menafsirkan ayat 17 Surah al-Waqiah, ath-Thabari mengungkapkan bahawa ayat tersebut menjelaskan tentang keadaan orang-orang dahulu yang telah dimasukkan oleh Allah ke dalam syurga. Mereka dikelilingi oleh anak-anak yang usianya muda, penampilannya tidak pernah berubah menjadi tua, dan tidak pula mati. Orang Arab jika menyebut seorang lelaki yang menginjak dewasa namun tidak beruban dengan sebutan “mukhallad.” (XXIII/101). Sedangkan menurut Ali bin Abi Thalib dan al-Hasan al-Bishri, wildan mukhlladun adalah anak-anak dari keluarga muslim yang meninggal pada waktu kecil. Mereka belum melakukan suatu kebaikan dan kejahatan. Selanjutnya menurut al-Hasan, mereka adalah orang yang tidak memiliki kebaikan untuk mereka diberi ganjaran kerana kebaikan itu. Mereka juga tidak memiliki keburukan untuk mereka disiksa kerana keburukan tersebut. Kerana itulah, mereka pun berada di syurga. Maksud yang paling penting adalah bahawa para penghuni syurga berada dalam kegembiraan dan kenikmatan yang paling sempurna. Kenikmatan menjadi sempurna bagi para penghuni syurga kerana mereka dikelilingi oleh para pelayan yang setia dan anak-anak yang tidak pernah tua. (Qurthubi: XVII/203).

Ibnu Katsir memberikan pandangannya tentang tafsir QS. Ath-Thur ayat 24, yang berbunyi: Dan berlegar-legar di sekitar mereka anak-anak muda untuk (melayani) mereka, seakan-akan mereka itu mutiara yang tersimpan. Menurut Ibnu Katsir, bahawa ayat tersebut merupakan pemberitahuan tentang anak-anak muda yang bertugas melayani dan membantu di syurga. Kebaikan, ketampanan, kebersihan, dan indahnya pakaian mereka seperti mutiara basah yang selama ini masih tersimpan. (Tafsir Ibnu Katsir, juz VII, hal. 435). Sementara Ibnu Asyur ketika menafsirkan Ath-Thur : 24, menjelaskan bahawa anak-anak muda (ghilman) itu merupakan pelayan di syurga. Mereka bukanlah hamba yang dimiliki oleh orang-orang beriman di syurga. Namun mereka adalah sekelompok orang yang memang diciptakan oleh Allah untuk melayani orang-orang beriman di syurga. Ketampanan para pelayan itu digambarkan laksana mutiara yang tersimpan. Hal itu sesuai dengan sifat mutiara yang selalu disimpan oleh pemiliknya kerana nilainya yang sangat tinggi. Mutiara hanya digunakan pada perayaan atau majlis tertentu saja. Hal ini agar kemilau dan putihnya mutiara tetap terjaga dengan baik. (Tafsir Ibnu Asyur, juz XXIV, hal. 214). Sementara menurut ar-Razi, Allah membezakan pelayan di dunia dengan pelayan di akhirat. Ketika pelayan di dunia mundar-mandir di depan majikannya, hal itu kerana mereka memiliki kepentingan peribadi, seperti ingin memperoleh keuntungan tertentu atau ingin mendapatkan sesuatu daripada majikan. Sedangkan pelayan di akhirat mundar-mandir di depan majikan kerana memang ikhlas untuk melayani dan memberikan manfaat kepada majikan, bukan kerana memiliki suatu kepentingan peribadi tertentu. (Tafsir ar-Razi, juz XXVII, hal. 218).

Berdasarkan pengertian bahasa dan penafsiran para ulama di atas, perkataan wildan mukhallad dan ghilman tidak ada kaitannya dengan orientasi seksual dengan sesama lelaki. Di samping itu, konteks ayat berkenaan tidak menunjukkan pemahaman bahawa para penghuni syurga memiliki ketertarikan secara seksual kepada para pelayan lelaki yang mengelilingi mereka. Pemahaman pendokong LGBT bahawa ayat tersebut menunjukkan ketertarikan seksual kepada sesama lelaki merupakan sebuah pemahaman yang mendustakan kesucian Al-Qur’an dan menganggap rendah syurga yang dijanjikan oleh Allah.

Dalam konteks syurga yang serba sempurna, tentu wajar jika para pelayan yang melayani para penghuni syurga digambarkan sebagai anak-anak muda yang tampan. Penampilan mereka indah seperti mutiara bertaburan yang selama ini terpendam. Hal itu juga sesuai dengan fitrah manusia, baik lelaki mahupun perempuan, yang memang menyukai sesuatu yang indah. Bukan hanya di syurga, di duniapun, misalnya, para pelayan di istana dan pusat membeli belah adalah orang-orang terpilih yang memiliki penampilan yang indah dan menawan. Pemilihan para pelayan tersebut bukan kerana penghuni istana, pengunjung dan pemilik perniagaan memiliki orientasi seksual kepada sesama jenis. Tetapi kerana memang hal tersebut adalah untuk menjadi daya penarik, prestij, dan nilai jualan kepada tempat atau perniagaan itu sendiri.

Artikel ini disusun semula dari artikel asalnya yang bertajuk Kritik Argumen untuk Pendukung LGBT oleh Abdurrasyid Ridha, Ketua KUA Kecamatan Gabuswetan Kabupaten Indramayu Jawa Barat, 2016.

DISUSUN SEMULA OLEH YAYASAN IHTIMAM MALAYSIA

sumber asal
http://bimasislam.kemenag.go.id/post/opini/kritik-argumen-untuk-pendukung-lgbt

Koleksi Penuh

Bahagian 1. Ghairi Ulil Irbah
Bahagian 3. Syakilah
Bahagian 4. Kisah Kaum Nabi Luth
Bahagian 5. Larangan Homoseksual

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *