Mengkritik Hujah Golongan Pro-LGBT – Bahagian 5

Featured LGBT

LARANGAN HOMOSEKSUAL

Para pendokong LGBT sering menyatakan bahawa tidak ada larangan yang tegas dalam Al-Qur’an terhadap LGBT. Pendapat ini juga pernah disampaikan oleh Ulil Abshar, tokoh aliran Islam Liberal. Pandangan para pendokong LGBT tersebut jelas sekali adalah pandangan yang keliru. Dalam hal LGBT ini, mereka seolah-olah menjadi kelompok yang sangat literalistik. Padahal selama ini, mereka seringkali mengkritik para ulama dan pemikir Islam yang dianggap sebagai literal, tekstual dan tidak kontekstual. Hal ini merupakan sikap berat sebelah aliran Liberal. Hal ini juga menunjukkan bahawa mereka tidak memiliki metodologi hukum (usul fiqh) yang jelas dalam membela pandangan-pandangan mereka.

Allah menyebutkan tindakan homoseksual termasuk dalam perbuatan fahisyah. Menurut Ibnu al-Arabi, fahisyah adalah setiap perbuatan yang sangat dibenci oleh jiwa manusia. Bahkan mengatakannya pun menjadi sesuatu yang dianggap keji. Fahisyah merupakan istilah yang khusus digunakan untuk tindakan seksual yang dilakukan dengan cara yang dilarang oleh Syara’ atau dijauhi oleh adat kebiasaan ( Ahkamul Qur’an : juz II, hal. 179). Dalam Al-Qur’an, perkataan fahisyah disebutkan sebanyak 13 kali. Sebanyak 3 kali untuk menyebut perbuatan homoseksual kaum Luth (QS. Al- A’raf: 80, QS. An-Naml: 54; al-Ankabut: 28). Sebanyak 1 kali digunakan dikaitkan dengan perbuatan menzalimi diri sendiri (QS Ali Imran: 135), perbuatan zina sebanyak 6 kali (QS an-Nisa: 15, 19, 25; QS al-Isra: 32; QS. Al-Ahzab: 30; ath-Thalaq: 1), menikahi bekas isteri bapa sebanyak 1 kali (QS. An-Nisa: 22), menyebarkan berita bohong tentang kecurangan sebanyak 1 kali (QS. An-Nur: 19), dan sebanyak 1 kali untuk perbuatan kaum Jahiliyah,iaitu bertelanjang ketika haji (al-A’raf 28).

Sedangkan perkataan fawahisy yang merupakan jamak dari fahisyah disebut dalam Al-Quran sebanyak 4 kali. Sebanyak 2 kali perkataan fawahisy digunakan bagi merujuk kepada perbuatan syirik, mengabaikan orang tua, dan membunuh anak kerana takut miskin (QS, an- An’am: 151, QS. Al-A’raf: 33; asy-Syura: 37 ). Sebanyak 2 kali dikaitkan dengan dosa besar (Qs. Asy-Syura: 37: Qs. An-Najm: 32). Perkataan fahsya yang mempunyai akar kata yang sama dengan Fahisyah disebutkan dalam Al-Quran sebanyak 7 kali. Sebanyak 4 kali disebutkan sebagai perbuatan yang diperintahkan syaitan, iaitu perbuatan syirik dan memakan makanan yang tidak halal (Al-Baqarah: 169 dan 268, an-Nur: 21). Sebanyak 1 kali untuk perbuatan kaum Jahiliyah, iaitu bertelanjang ketika haji (al-A’raf 28). Sebanyak 1 kali dikaitkan dengan godaan seksual yang dilakukan oleh Zulaikha kepada Nabi Yusuf (Yusuf: 24). Sebanyak 1 kali untuk merujuk kepada tindakan yang tidak adil dan tidak memperlakukan keluarga dengan baik (an-Nahl: 90). Sebanyak 1 kali dikaitkan dengan perbuatan syirik (Al-Ankabut: 45). Berdasarkan semua penggunaan perkataan fahisyah beserta jenis-jenisnya, iaitu fahsya, dan fawahisy dalam Al-Qur’an, boleh difahami betapa fahisyah merupakan perbuatan keji yang memang selayaknya dilarang untuk dilakukan oleh manusia. Sedangkan perbuatan homoseksual telah diberi penerangan oleh Allah sebagai fahisyah.

Oleh itu, sudah sepatutnya perbuatan homoseksual termasuk perbuatan yang dilarang dalam agama Islam. Apatah lagi tidak ada seorang pun ulama yang membenarkan tindakan homoseksual. Dengan kata lain, perbuatan homoseksual adalah perbuatan yang haram menurut ijmak para ulama. Yang diperselisihkan oleh ulama hanyalah bentuk hukuman yang diberikan kepada pelaku homoseksual. Menurut Abdullah bin Muhammad bin Sayyid al-Bathliyusi dalam al-Inshaf fi Tanbih al-Ma’ani wal Asbab, dengan menelusuri penggunaan perkataan fahisyah beserta turutannya di dalam al-Qur’an, maka boleh disimpulkan bahawa fahisyah adalah perbuatan yang diharamkan oleh Allah. Sementara perbuatan homoseksual adalah termasuk perbuatan fahisyah. Dengan demikian, perbuatan homoseksual seperti yang dilakukan oleh kaum Luth adalah haram (Al-Bathliyusi, juz I, hal. 117).

Jika menggunakan ilmu logik, boleh ditegaskan sebagai berikut: Setiap perbuatan fahisyah adalah haram (premis major). Homoseksual adalah perbuatan fahisyah (premis minor). Jadi, homoseksual adalah perbuatan haram (kesimpulan).

Dalam usul fiqh, dalil suatu larangan mempunyai pelbagai kaedah. Ada dalil yang menggunakan kaedah yang langsung bermaksud larangan seperti “jangan begini”, “tidak boleh begitu”, dan lain-lain. Ada pula dengan menggunakan kaedah yang menjelaskan perbuatan yang dilarang sebagai perbuatan yang jelek, dilaknat, dosa, keji, buruk, dibenci, dan lain-lain. (Lihat, misalnya, al-Mu’tamad, juz 1, hal. 168-169; Ushul as-Sarkhasi juz 1, hal. 79-80, ), Dalam konteks inilah, perbuatan homoseksual adalah perbuatan yang dijelaskan Al-Qur’an sebagai perbuatan fahisyah (keji). Kerana itulah, perbuatan homoseksual termasuk dalam perbuatan yang terlarang. Kesimpulan larangan perbuatan homoseksual tersebut juga kerana terdapat banyak dalil yang menyokong (qarinah) menyebutkan kecaman dan larangan terhadap perbuatan tersebut, iaitu hadis-hadis Nabi Muhammad SAW. Walaupun memang sebahagian hadis itu ada yang diragukan statusnya oleh sebahagian ulama. Betapa kerasnya larangan terhadap perbuatan homoseksual sebagaimana yang dilakukan kaum Luth itu, bahkan Nabi menyuruh untuk membunuh para pelakunya. Baginda bersabda:

“Siapa saja yang kalian temui melakukan perbuatan kaum Luth, maka bunuhlah si pelaku dan yang diperlakukan.” (H.R. al-Baihaqi).

Di dalam hadis lain, Nabi Muhammad juga bersabda,

“Sungguh, yang paling aku takuti dari umatku adalah perbuatan kaum Luth” (H.R. Ibnu Majah dan at -Tirmidzi).

Dari kedua-dua hadis ini sahaja, memberi gambaran betapa perbuatan homoseksual adalah suatu perbuatan yang sangat dilarang. Sangat mustahil jika suatu perbuatan yang begitu dikecam, ditakutkan terjadi, dan hukumannya berupa hukuman mati dikatakan sebagai perbuatan yang dibenarkan dalam Islam.
Wallahu a’lam.

Artikel ini disusun semula dari artikel asalnya yang bertajuk Kritik Argumen untuk Pendukung LGBT oleh Abdurrasyid Ridha, Ketua KUA Kecamatan Gabuswetan Kabupaten Indramayu Jawa Barat, 2016.

sumber asal
http://bimasislam.kemenag.go.id/post/opini/kritik-argumen-untuk-pendukung-lgbt

 

Koleksi Penuh

Bahagian 1. Ghairi Ulil Irbah
Bahagian 2. Wildan Mukhalladun
Bahagian 3. Syakilah
Bahagian 4. Kisah Kaum Nabi Luth

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *