HIV di Kalangan Mahasiswa

Featured LGBT

WAFIQ ingin melahirkan rasa prihatin dengan data mengenai HIV/AIDS di sebuah universiti awam (UA), seperti yang dilaporkan oleh Unit HIV / AIDS, Kawalan Penyakit Berjangkit dari Pejabat Kesihatan Daerah Petaling yang menunjukkan bahawa terdapat 15 kes HIV/AIDS untuk UA terbabit pada tahun 2017. Dari keseluruhan 15 kes :

13 adalah pelaku homoseksual
1 dari pelaku biseksual
1 dari pelaku heteroseksual

Manakala terdapat 1 kes kematian berpunca dari AIDS di UA tersebut pada tahun lepas.

Di UA yang sama, sehingga Februari 2018 tahun ini pula, terdapat 3 kes HIV. Kes jangkitan penyakit kelamin (STD) juga dilaporkan semakin meningkat.

Data ini diperoleh setelah pihak WAFIQ dihubungi secara peribadi oleh seorang staf dari Unit HIV Pejabat Kesihatan Petaling yang memohon agar pengamalan LGBT dan kesannya terhadap HIV diberi penekanan serius oleh semua pihak termasuk NGO.

Sehubungan dengan itu, WAFIQ menggesa sebuah kempen besar-besaran untuk menangani isu LGBT di peringkat IPT dijalankan. Kempen ini hendaklah menyeluruh, meliputi pencegahan amalan dari sudut agama dan moral, dan bukan hanya tertentu kepada seks selamat menggunakan kondom sahaja.

Kajian dari Intergrated Bio-Behavioral Surveillance (IBBS) atau kaji selidik bio-tingkah laku, seperti yang dilaporkan di dalam Global AIDS Report 2016 menunjukkan bahawa terdapat pengurangan dalam penggunaan kondom dari 74 % (2012) ke 57 % (2014). Kajian juga mendapati bahawa sebahagian besar MSM atau (men who have sex with men) (47.8 %) adalah antara mereka yang berumur antara 18 dan 24 tahun.

Menurut laporan Global AIDS 2016, hanya sedikit peningkatan dalam pengamalan seks selamat oleh golongan transgender, sementara penggunaan kondom dalam kalangan homoseksual tidak meningkat.

Laporan IBBS yang mendedahkan bahawa terdapat trend yang membimbangkan dalam penggunaan alkohol dan ubat psikotropik yang digunakan sebelum melakukan hubungan seks antara transgender dan pengamal homoseksualiti dimana ia menghalang penggunaan kondom sewajarnya semasa hubungan seks.

Data dari IPTA terbabit yang menunjukkan majoriti penghidap HIV adalah golongan homoseksual dan biseksual adalah bertepatan dengan data nasional di mana kes-kes baru HIV didominasi oleh dua perlakuan tersebut. Daripada 1553 kes baru HIV ini, 40% adalah dalam julat umur 19-29 tahun, kebanyakannya pelajar, manakala 31% dari golongan profesional berumur antara 30 hingga 39 tahun.

Oleh itu, pendekatan komprehensif termasuk agama bagi mencegah amalan homoseksualiti dan biseksualiti perlu diperhebatkan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *