Benarkah Khalifah dan Cendekiawan Islam Mengamalkan LGBT?

Featured LGBT

1. Saya ditanya berkenaan satu artikel yang disiarkan dilaman facebook bernama Bintang Kartika yang memaparkan nama-nama Khalifah Umawiyyah dan Abbasiyyah serta beberapa cendekiawan Islam yang dikatakan mengamalkan amalan LGBT.

2. Penulis yang bernama Bintang Kartika ini telah menyebut beberapa nama Khalifah yang dikatakan gay dan mengamalkan perbuatan LGBT yang terkutuk.

2.1 Antaranya Bintang Kartika mengambil riwayat dari al-Imam al-Zahabi di dalam kitab Tarikh al-Islam yang mengatakan al-Walid II adalah seorang peminum arak dan gay.

2.2 Apa yang menghairankan Bintang Kartika tidak menukilkan perenggan terakhir daripada biodata al-Walid ini seperti yang diutarakan oleh al-Imam al-Zahabi. Menurut al-Imam al-Zahabi, dakwaan ini adalah tuduhan bagi memburukkan identiti al-Walid semata-mata. Kata al-Imam al-Zahabi:

وَلَمْ يَصِحَّ عَنِ الْوَلِيدِ كُفْرٌ وَلا زَنْدَقَةٌ، نَعَمُ اشْتُهِرَ بِالْخَمْرِ وَالتَّلَوُّطِ، فَخَرَجُوا عَلَيْهِ لِذَلِكَ

“Dan tidak benar apa yang dikatakan tentang al-Walid yang dituduh sebagai kufur dan zindiq (sedangkan tuduhan ini adalah tidak benar). Beliau masyhur dengan tuduhan meminum arak dan liwat dan dengan sebab itu beliau diperangi dan dibunuh.” (al-Zahabi, Tarikh al-Islam, Dar al-Gharb al-Islami, 2003, Jilid 3, Mukasurat 548).

2.3 Lihatlah bagaimana al-Imam al-Zahabi meriwayatkan kisah ini. Beliau komen dengan jujur dan menyatakan bahawa barangkali tuduhan ini hanyalah tuduhan bagi memburukkan al-Walid sahaja. Malah beliau menekankan bahawa orang-orang Islam tidak redha dengan perbuatan al-Walid, membenci bahkan memerangi al-Walid. Anehnya Bintang Kartika hanya mensensasikan aspek yang negatif sahaja. Bahkan kesahihan kisah ini masih boleh dipertikaikan.

3. Bintang Kartika turut menyatakan bahawa Khalifah al-Amin dikatakan “meminta dicarikan remaja-remaja lelaki dan sanggup membeli mereka dengan harga yang mahal demi memenuhi syahwatnya.” Kata al-Imam al-Tabari:

“طلب الخصيان وابتاعهم وغالى بهم وصيّرهم لخلوته في ليله ونهاره…”

3.1 Sekali lagi, riwayat ini tidak diambil dengan penuh. Al-Imam al-Tabari menukilkan kisah ini dengan panjang sehingga percintaan al-Amin dengan seorang budak lelaki bernama Kauthar. Budak lelaki ini dikatakan akhirnya meninggal di dalam satu peperangan. Nah! Di sinilah timbul keraguan terhadap riwayat ini. Sarjana Islam mula mempertikaikan kesahihan ini kerana budak tersebut tidak disebutkan dengan jelas peperangan apa yang dia sertai sehingga al-Amin menyapukan mukanya dengan darah budak tersebut. (Sila rujuk Tarikh al-Tabari, Cetakan Dar al-Turath, 1387H, Jilid 8, Mukasurat 508)

3.2 Meneliti kisah sebegini, sebahagian ulama Islam menilai bahawa kisah ini adalah kisah yang tidak benar. Bahkan sekumpulan penyelidik (Al-barzanji dan Hallaq) menghasilkan karya yang berjudul:

صحيح وضعيف تاريخ الطبري
“Riwayat Yang Sahih dan Daif di dalam Tarikh al-Tabari” (Sahih wa Daif Tarikh al-Tabari, Dar Ibn Kathir, 2009).

Ini adalah kerana, al-Imam al-Tabari pernah dikritik dari aspek kesahihan penceritaan beliau. Fikirkan, sekiranya kisah tersebut tidak dapat dipastikan kesahihannya, mengapa kita jaja perkara yang tidak pasti?

4. Bintang Kartika turut menuduh Abu Hatim Al Sijistani, seorang sufi yang menyukai budak lelaki (pedofile). Tuduhan ini diambil dari petikan dari kitab Nuzhat al-Albab Fima La Yujadu Fi al-Kitab. Bintang Kartika menyatakan:

“Tifasyi tanpa silu menyebut nama cendekiawan Muslim seperti Abu Hatim Al Sijistani, seorang sufi yang menyukai budak lelaki (pedofile).”

4.1 Petikan ini adalah terjemahan dari buku tersebut yang menyatakan:
وكان مولعا بالغلمان
Maksudnya: “Sesungguhnya dia (Abu Hatim al-Sijistani) menyukai kanak-kanak.”

4.2 Sangat aneh sekali petikan ini terhenti sehingga ini sahaja sedangkan penulis asal sendiri menjelaskan apa yang dimaksudkan dengan “al-Sijistani yang menyukai kanak-kanak itu”.

Kata al-Tifasyi:
وكان مولعا بالغلمان يذهب فيهم مذهب الإستمتاع بالنظر لا قضاء الوطر.

“Sesungguhnya dia (Abu Hatim al-Sijistani) menyukai kanak-kanak iaitu beliau berpegang dengan mazhab bersenang dengan kanak-kanak itu dengan sekadar melihatnya sahaja dan bukan dengan melampiaskan syahwat.” (al-Tifasyi, Nuzhat al-Albab Fi Ma La Yujadu Fi Kitab, Tahqiq Jamal Jum’ah, mukasurat 165). Jelas bahawa dia senang melihat dan bukan mengamalakan perbuatan terkutuk.

Sekali lagi, penulisan sebegini hanya akan menimbulkan persepsi yang sangat negative dengan memilih sebahagian riwayat, memberikan focus kepada aspek negative seakan fenomena ini diterima sedangkan ia ditentang habis-habisan oleh orang Islam.

5. Bintang Kartika turut menyatakan bahawa Ibn Hazm adalah seorang gay. Kata beliau:

“Abu Muhammad Ali bin Ahmad bin Sa’id bin Hazm al-Andalusi atau lebih dikenali dengan nama Ibn Hazm adalah seorang ahli fiqh, hadis, teologi, sejarawan, penyair, ahli akademik dan politician. Tak kurang dari 400 judul kitab telah ditulisnya, dan dia seorang gay.”

5.1 Kenyataan ini tidak didatangkan dengan bukti yang kukuh melainkan hanya menyebut kecintaan, minat pada lelaki atau menukilkan sahabat yang minat pada lelaki sahaja. Ini semua tidak boleh dijadikan bukti bahawa dia adalah seorang gay. Rasululah pernah mengungkapkan kata cinta beliau pada Muaz ibn Jabal, apakah Rasulullah seorang gay?

5.2 Sekiranya sesuatu penilaian hanya bergantung pada tulisan dan luahan perasaan seseorang secara umum sahaja, maka kita juga boleh katakan yang Ibn Hazm juga adalah anti LGBT kerana dari aspek hukum beliau memberikan hukuman dan meluahkan ketegasan terhadap pengamal LGBT. Dalam al-Muhalla beliau menjelaskan bahwa homoseksual itu bahagian dari dosa besar (al-kaba’ir), perbuatan keji yang diharamkan seperti daging babi, bangkai, darah, khamar, zina, dan maksiat lainnya. Siapa yang menghalalkannya atau menghalalkan sebahagian daripada itu semua, maka dia kafir dan musyrik: halal darahnya dan hartanya. (Ibn Hazm, al-Muhalla: 11/380-masalah 2299).

6. Perlakuan buruk seperti amalan LGBT yang dilakukan oleh umat terdahulu bukanlah satu hujah untuk membolehkan kita membenarkan amalan tersebut. Atas dasar itu Allah menegaskan agar perlakuan sebegini harus dibanteras. Penulis hanya menukilkan bagaimana al-Walid dikatakan seorang gay tanpa menceritakan bahawa tindakan beliau telah diperangi oleh orang-orang Islam pada zaman tersebut.

7. Beberapa riwayat yang dinukilkan oleh penulis ini masih boleh dipertikankan dari aspek kesahihannya. Bagaimana kita memberikan gambaran yang tidak pasti kepada masyarakat menggunakan fakta yang tidak pasti benar? Apakah kita cuba memberikan gambaran yang salah?

8. Meneliti dalam tempoh yang singkat ini, terdapat beberapa perkara yang boleh diperbahaskan berhubung artikel ini iaitu:

(a) Pengambilan sumber yang tidak menyeluruh. Dalam beberapa tempat, Bintang Kartika dilihat hanya memetik sebahagian teks sahaja. Petikan teks yang tidak menyeluruh boleh menyebabkan salah faham terhadap konteks penceritaan sebenar seperti dalam kes al-Walid dan al-Tifasyi.

(b) Sumber yang tidak sahih. Petikan riwayat daripada kitab-kitab tarikh (sejarah) memerlukan penelitian sumber yang cermat. Sebahagian sumber Islam terkenal tokok tambah oleh penyokong sendiri maupun musuh sesama Muslim. Permusuhan antara mazhab seperti Syiah, Muktazliha, Qadariah, maupun pertelagahan Kabilah seperti Umawiyya atau Abbasiyyah mencetuskan idea buat si pencerita untuk menokok tambah atau mencipta cerita palsu.

(c) Penafsiran yang longgar. Dalam beberapa kes seperti Ibn Hazm, kita dapati pemaknaan terhadap sesuatu teks boleh jadi luas dan boleh dimaknakan dengan makna yang pelbagai. Kita mungkin melihatnya sebagai cenderung pada LGBT sedangkan satu sisi yang lain, kita juga boleh katakan bahawa mereka anti LGBT.

8. Sekiranya penulis bernama Bintang Kartika ini serius dalam proses perbincangan ini, saya berharap beliau boleh mendatangkan:

(a) Teks asal berbahasa Arab seperti yang dinukilkan oleh al-Imam Tabari, al-Sayuti, Tifasyi dan lain-lain supaya kita boleh bersama meneliti maksud asal penulis, konteks pengriwayatan serta kesahihan penceritaan melalui kaedah al-Jarh wa al-Ta’dil.

(b) Saya juga mengharapkan penulis (Bintang Kartika) juga boleh memberikan perincian buku rujukan kerana rujukan yang diberi hanyalah umum. Alangkah baiknya sekiranya beliau boleh turut mencatat nombor jilid, mukasurat buku rujukan, cetakan mana dan tahun bila buku tersebut diterbitkan supaya kitab tersebut boleh disemak bersama bagi memastikan keaslian sumber rujukan. Ini bagi mengelakkan daripada kita meriwayatkan perkara yang tidak pasti.

(c) Penulisan berhubung sejarah harus diteliti dengan baik. Adakalanya musuh sesuatu pihak boleh menceritkan sesuatu yang tidak elok bagi memburukkan keadaan musuh. Dengan sebab itu al-Imam Ahmad meminta kita meneliti sumber-sumber yang dinukilkan tentang sejarah.

Moga artikel yang ditulis dalam waktu yang terhad ini membantu menjelaskan.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Pensyarah, Fakulti Quran dan Sunnah
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Penasihat Syariah Portal Indahnya Islam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *