Benarkah Ibn Hazm Seorang Gay?

Featured LGBT

1. Tulisan ini adalah sebahagian daripada perbahasan kritis terhadap pandangan yang dinyatakan oleh Bintang Kartika bahawa Ibn Hazm adalah seorang gay. Beliau menjadikan Kitab Tuq al-Hamamah sebagai rujukan beliau seperti yang tercatat dalam artikel tersebut. Di dalam artikel ini, saya akan mengupas karya Tuq al-Hamamah karangan Ibn Hazm, cetakan al-Muassasah al-Arabiah (Beirut), yang diterbitkan pada tahun 1987 dan disemak oleh Dr. Ihsan Abbas. Perbahasan terhadap karya ini adalah kerana Bintang Kartika telah menjadikan karya ini sebagai rujukan beliau yang merumuskan bahwa Ibn Hazm adalah seorang gay.

2. Menurut Bintang Kartika, Ibn Hazm meletakkan kategori lelaki yang bercinta dengan lelaki (atau dalam konteks penulisan beliau adalah pengamal LGBT) adalah mereka yang dikategorikan sebagai syuhada’ cinta.

2.1 Meneliti karya Tuq al-Hamamah yang dijadikan rujukan oleh Bintang Kartika, beliau sebenarnya terkeliru dengan maksud syuhada’ cinta yang dimaksudkan oleh Ibn Hazm. Dalam Bab Kematian (Bab al-Maut), Ibn Hazm menyebutkan bahawa yang dimaksudkan dengan syahid adalah mereka yang mati dalam keadaan bercinta dengan memelihara diri mereka dari perlakuan yang terkutuk. Kata Ibn Hazm:

وقد جاء في الآثار: من عشق فعف فمات فهو شهيد

Telah diriwayatkan di dalam Athar (kata-kata sahabat atau tabien) bahawa sesiapa yang asyik bercinta, dan memelihara dirinya maka dia akan mati dalam keadaan mati syahid.

2.2 Jelas di sini, yang dimaksudkan dengan syuhada cinta adalah mereka yang menyintai sesama muslim dan memelihara batasan syariat. Apakah perlakuan gay dan LGBT dianggap sebagai memelihara syariat Allah?

3. Dengan sebab itu pada penghujung kitab Tuq al-Hamamah ini, Ibn Hazm menutup karya ini dengan dua bab yang paling penting iaitu bab (1) Celaan Terhadap Maksiat dan (2) Bab Memelihara Diri (dari nafsu). Kata Ibn Hazm:

ومنها بابان ختمنا بهما الرسالة، وهما: باب الكلام في قبح المعصية، باب في فضل التعفف، ليكون خاتمة إيرادنا وآخر كلامنا الحض على طاعة الله عز وجل، والأمر بالمعروف والنهي عن المنكر

“dan daripada karya ini kami tutup dengan dua perbahasan (risalah) iaitu Bab Perbincangan Tentang Celaan Terhadap Maksiat dan Bab Kelebihan Memelihara Diri. Ini adalah supaya penutup bagi hasrat kami terhadap penulisan ini adalah mengajak manusia taat kepada Allah dan mengajak manusia kepada Amar Makruf dan Nahi Munkar”

3.1. Lihatlah betapa jelas di sini, Ibn Hazm menghuraikan bahawa tujuan penulisan karya ini adalah bagi mengajak manusia mentaati Allah serta menyeru manusia supaya menjalankan amar makruf dan nahi munkar.

Apakah amalan LGBT dan Gay ini seruan kepada mentaati Allah? Lebih menghairankan bagaimana Bintang Kartika hanya memetik sebahagian teks dari karya yang mengajak kepada mentaati Allah dan mengubahnya kepada mengajak menerima perlakuan gay? Bukankah ini satu jenayah ilmu? Memesongkan makna dan tujuan sebenar penulis kepada yang amat bertentang dengan hasratnya?

4. Bintang Kartika juga menuduh Ibn al-Tubni sebagai seorang yang gay. Saya merasakan terdapat salah faham di sini kerana kerana di dalam karya ini, Ibn Hazm menyebutkan bahwa beliau sangat kagum dengan kehebatan dan peribadi Ibn al-Tubni. Bagaimana Ibn Hazm boleh mengkagumi seorang yang gay dalam karya yang mengajak manusia mentaati Allah? Bukankan ini satu percanggahan. Berkenaan dengan Ibn al-Tubni, Ibn Hazm sendiri menyebutkan:

وأما خبر صاحبنا أبي عبد الله محمد بن يحيى [بن محمد] ابن الحسين التميمي، المعروف بابن الطبني: فإنه كان رحمه الله كأنه قد خلق الحسن على مثاله أو خلق من نفس كل من رآه، لم أشهد له مثلاً حسناً وجمالاً وخلقاً وعفة وتصاوناً وأدباً وفهماً وحلماً

“Dan adapun berkenaan dengan sahabat kami yang bernama Abu Abdillah Muhammad ibn Yahya bin Muhammad ibn al-Husain al-Tamimi yang terkenal dengan nama Ibn al-Tubni, beliau adalah seorang yang dirahmati Allah, beliau dijadikan seakan sebaik-baik kejadian. Aku tidak pernah melihat lelaki yang baik, cantik, menjaga diri, beradab, mempunyai ilmu yang tinggi dan bersopan sepertinya…

4.1 Jika diperhatikan di sini, Ibn al-Tubni mempunyai “kun-yah” (panggilan atau gelaran) Abu Abdillah, iaitu bapa kepada anak yang bernama Abdullah. Sekiranya beliau adalah seorang gay, bagaimana beliau boleh dikurniakan anak yang bernama Abdullah? Atau apakah beliau sebenarnya adalah seorang lelaki yang normal, yang berkeluarga, mempunyai anak dan dikagumi ramai?

4.2 Kata-kata beliau diambang kematian yang dinukilkan oleh Bintang Kartika tidak boleh dijadikan bukti bahawa dia adalah seorang gay. Ini dapat dibuktikan sendiri dengan kata-kata Ibn Hazm yang menyebutkan bahawa:

هذا على أن ابا عبد الله، أكرم الله نزله، ممن لم يكن له وله قط، ولا فارق الطريقة المثلى، ولا وطئ حراماً قط، ولا قارف منكراً، ولا أتى منهياً عنه يخل بدينه ومروءته

“Dengan ini sesungguhnya Abu Abdillah (Ibn al-Tubni) adalah seorang yang dimuliakan Allah, tidak pernah berlaku antara dia dan orang yang dicintainya sesuatu, dia tidak melampaui jalan yang baik, tidak menyetubuhi dengan yang haram, tidak melakukan kemungkaran, tidak mendatangi perkara yang dilarang oleh Allah yang boleh mencemar maruahnya.”

Lihatlah bagaimana Ibn Hazm memuji beliau sebagai seorang yang baik dan mentaati perintah Allah. Beliau hanya meluahkan rasa cinta atau minat seseorang sahaja. Luahan minat terhadap seseorang tidak boleh ditakrifkan sebagai gay. Ini diakui sendiri oleh Bintang Kartika sendiri bahawa beliau menyayangi Ibu beliau dan kita tidak boleh menklasifikasikan kecintaan beliau terhadap ibu beliau sebagai perlakuan lesbian. Begitu juga dengan Ibn al-Tubni. Luahan minat terhadap seseorang tidak menjadikan beliau gay. Malah Ibn Hazm sendiri, si penulis karya asal, memandang Ibn al-Tubni sebagai seorang lelaki yang baik, mengapa Bintang Kartika menyifatkan beliau sebagai seorang gay?

5. Sekali lagi saya merasakan bahawa Bintang Kartika telah melakukan kesalahan ilmiah dalam penilaian yang dibawa. Dengan beberapa petikan daripada kitab Tuq al-Hamamah, Bintang Kartika tidak seharusnya memberikan kesimpulan bahawa Ibn Hazm adalah seorang gay. Ini adalah satu jenayah ilmu. Rujukan terhadap sumber sekunder (seperti laman internet atau facebook) tidak mampu memberikan gambaran yang tepat terhadap apa yang dimaksudkan oleh penulis. Sebaiknya, rujuklah rujukan premier (kitab asal penulis) bagi memastikan penilaian dan kesimpulan yang dicapai tidak lari daripada maksud sebenar penulis karya.

Moga Allah membimbing kita semua.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah WAFIQ
Pensyarah Fakulti Quran & Hadith
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *