Mengapa Rasulullah Mengusir Mukhannath?

Dr Sanusi's Article LGBT

Ada sebahagian kita yang menggunakan hadith Nabi sebagai hujah menunjukkan golongan transgender ini telah biasa bersama isteri-isteri Rasulullah. Ini adalah kerana, menurut pandangan mereka, para isteri Nabi menganggap mereka ini sebagai golongan “Ghayr Ulil Irbati” iaitu golongan lelaki yang tidak mempunyai keinginan syahwat lalu mereka menyamakan transgender hari ini dengan mukhannath yang disebutkan di dalam hadith ini.

Mereka menggunakan dua hadith yang diriwayatkan oleh Saidatina Ummu Salamah dan Saidatina Aisyah berkenaan para isteri Rasulullah yang membenarkan seorang mukhannath ini bersama dengaan mereka. Hadith tersebut menyebutkan:

وعن عائشة قالت : { كان يدخل على أزواج النبي صلى الله عليه وسلم مخنث ، قالت : وكانوا يعدونه من غير أولي الإربة ، فدخل النبي صلى الله عليه وسلم يوما وهو عند بعض نسائه وهو ينعت امرأة ، قال : إذا أقبلت أقبلت بأربع ، وإذا أدبرت أدبرت بثمان ، فقال النبي صلى الله عليه وسلم : أرى هذا يعرف ما ههنا لا يدخلن عليكم هذا ، فحجبوه }

“Daripada Aisyah, beliau menceriatakan bahawa: “Seorang mukhannath masuk menemui isteri-isteri Nabi saw, dan mereka menganggapnya sebagai Ghairu Ulil Irbah (orang-orang yang tidak punya nafsu kepada wanita). Suatu ketika Rasulullah masuk menemui isteri-isteri Baginda dan mukhannas itu ada bersama mereka. Mukhannath tersebut sedang menceritakan tentang sifat wanita (Taif) dengan berkata; ‘Wanita (Taif, anak-anak perempuan Ghaylan) itu jika menghadap ke depan maka ia menghadap dengan empat (lipatan), dan jika menghadap ke belakang maka ia menghadap dengan lapan (lipatan)’. Mendengar perbualan ini maka Rasulullah bersabda: ‘Ketahuilah, aku melihat orang ini mengetahui apa yang ada pada wanita, maka jangan benarkan dia masuk bersama kalian.’ Mereka pun (isteri-isteri Nabi) akhirnya memakai hijab.” (HR Muslim dan Ahmad)

Tahukah anda, mengapa mukhannath ini datang kepada isteri Rasulullah? Menurut riwayat Abu Daud mukhannath ini datang kerana meminta makanan daripada isteri-isteri Rasulullah. Ini diriwayatkan oleh al-Auza’i yang menyebutkan:

وعن الأوزاعي في هذه القصة: فقيل : يا رسول الله إنه إذن يموت من الجوع ؟ فأذن له أن يدخل في كل جمعة مرتين فيسأل ثم يرجع – رواه أبو داود.

Dan diriwayatkan daripada al-Auza’i tentang kisah mukhannath ini: “Wahai Rasululah, sekiranya engkau usir dia sesungguhnya dia akan mati kelaparan. Maka Rasulullah membenarkan mukhannath ini datang setiap jumaat dua kali, dia hanya datang meminta (makanan) dan kemudian pulang. HR Riwayat Abu Daud.

Jelas di sini, mukhannath yang datang ke rumah isteri Rasulullah ini adalah kerana keperluan hidupnya. Sekiranya dia tidak datang, ia akan menyebabkan mudarat buat dirinya. Dia bukan datang bersahaja dan bersembang dengan isteri Rasulullah saja-saja. Jadi kondisi ini harus difahami sebelum kita menyamakannya dengan transgender pada hari ini.

Ada juga yang menjadikan hadith-hadith ini sebagai hujah bahawa golongan mukhannath ini adalah mereka yang sentiasa ada bersama dengan isteri Rasulullah kerana para isteri Rasulullah menganggap mereka sebagai golongan “Ghayra Ulil Irabati.” Mereka lalu menyamakan golongan “Ghayra Ulil Irbati” ini dengan transgender pada hari ini. Timbul persoalan di sini, apakah benar golongan “Ghayra Ulil Irbati” ini dimaksudkan sebagai transgender? Apakah yang dimaksudkan dengan lelaki yang tidak bernafsu seperti yang disebutkan di dalam al-Quran? Bolehkan transgender menggunakan istilah “Ulil Irbati” ini buat diri mereka?

al-Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa Ulil Irbati ini adalah golongan lelaki yang lemah fikiran dan tidak mempunyai nafsu terhadap wanita. Penafsiran ini tidak secara direct menggolongkan transgender sebagai Ulil Irbati. (al-Nawawi, Rawd al-Talibin, al-Maktab al-Islami, 1991, 7/23)

Ibnu Qudamah pula memberikan penafsiran yang lebih luas. Beliau menafsirkan Ghayra Ulil Irbati sebagai lelaki yang telah hilang syahwatnya terhadap perempuan samada disebabkan oleh sudah tua, sakit atau cedera. Beliau turut tidak memasukkan al-Mukhannath (transgender) sebagai penafsiran bagi kalimah ini. (Ibn Qudamah, al-Mughni, Dar Ihya al-Turath al-Arabi, 1985, 7/5326).

al-Imam al-Qurtubi pula menggunakan istilah al-Ahmaq (lelaki yang bodoh atau kurang waras, atau lemah fikiran) yang tidak mempunyai nafsu terhadap wanita. Lelaki kategori ini adalah hamba suruhan yang tidak memikirkan perkara lain melainkan berkhidmat buat tuannya. (al-Qurtubi, al-Jami Li Ahkam al-Quran)

Cuma al-Imam al-Qurtubi ada juga meletakkan pandangan yang kedua berhubung penafisran ini dengan memasukkan al-Anin (lelaki lemah yang tidak berkemampuan untuk bersetubuh), al-Khasi (lelaki yang telah dikembiri) dan al-Mukhannath (lelaki yang berperwatakan perempuan @ transgender).

al-Imam al-Tabari memberikan sedikit gambaran mengapa lelaki-lelaki pelayan atau budak suruhan ini tidak mempunyai nafsu terhadap wanita. Ini adalah kerana mereka adalah golongan hamba yang lemah akalnya serta disibukkan dengan tugasan harian sehingga mereka tidak pernah memikirkan soal syahwatnya. (al-Tabari, Jami al-Bayan)

Jelas daripada huraian sarjana Muslim di atas, golongan transgender ini tidak dikategorikan sebagai Ghayr Ulil Irbati pun. Bagaimana kita boleh mengesahkan bahawa transgender pada hari ini tidak mempunyai nafsu dan membenarkan mereka masuk ke tandas perempuan Muslimah kita. Dengan itu, kita tidak boleh semudahnya menyamakan transgender dengan golongan Ghayr Ulil Irbari sebagai alasan untuk kita membolehkan mereka berkongsi tandas dengan wanita.

Menurut al-Imam al-Syawkani (Nayl al-Autar, Dar al-Hadith, 1993, 2654), Rasulullah mengusir mukhannath ini adalah disebabkan kerana tiga sebab utama iaitu:

(a) أنه كان يظن أنه من غير أولي الإربة ثم لما وقع منه ذلك الكلام زال الظن

Pertamanya mereka menyangkakan bahawa mukhannath yang masuk ke rumah isteri Rasulullah tersebut adalah golongan yang tidak mempunyai nafsu terhadap wanita. Namun setelah mendengar perbualannya tentang perempuan Taif (anak-anak Ghaylan), telah nyata, mukhannath ini mempunyai nafsu atau tahu kehendak nafsu lelaki terhadap wanita, maka Rasulullah mengusirnya. Untuk transgender yang ada pada hari ini, bagaimana kita boleh tahu mereka yang masuk ke tandas wanita tidak mempunyai nafsu terhadap mereka?

(b) وصفه النساء ومحاسنهن وعوراتهن بحضرة الرجال

Mukhannath tadi telah menceritakan sifat-sifat kecantikan wanita serta aurat mereka ketika beradanya orang lelaki bersama mereka. Ini adalah satu kebimbangan besar. Mukhannath yang duduk bersama Muslimat boleh mengetahui aurat mereka dan mendedahkannya kepada orang lain. Bahkan pada hari ini boleh ambil gambar atau video. Atas dasar itu Rasulullah mengusirnya dari bersama dengan wanita Muslimah.

(c) أنه ظهر له منه أنه كان يطلع النساء وأجسامهن وعوراتهن

Mukhannath tadi terdedah kepada perbuatan meneliti atau melihat tubuh wanita Muslimah dan aurat mereka. Bimbang akan keadaan ini maka Rasulullah mengarahkan kepada isteri Baginda:

لا يدخل هؤلاء عليكم
“Jangan biarkan mereka ini (mukhannath) masuk bersama dengan kamu (wanita)!”

Jelas di sini, hadith-hadith ini tidak semudahnya digunakan bagi menggambarkan bahawa Rasulullah dan para isteri Baginda membenarkan golongan mukhannath (transgender) masuk dan duduk bersama dengan mereka. Atas sebab itu al-Bukhari meriwayatakan arahan Rasulullah yang meminta supaya mereka ini diasingkan kerana bimbang kemudaratan dan bukan kerana kebencian. Sabda Rasulullah:

{ أخرجوهم من بيوتكم قال : فأخرج فلانا وفلانا } ورواه البيهقي وزاد ” وأخرج عمر مخنثا ” وفي رواية ” وأخرج أبو بكر آخر ”

Keluarkan mereka dari rumah kamu kerana bimbang kesan negative yang mungkin datang. Al-Bayhaqi menambah riwayat ini dengan berkata: Umar turut mengeluarkan/ mengusir mukhannath, dan dalam riwayat yang lain, Abu Bakar turut mengusir yang lain.

Harus difahami, arahan mengusir ini bukan atas dasar kebencian. Malah Islam melarang kita menyakiti. Perkara ini telah saya huraikan dalam artikel yang lepas:

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=705010093169453&id=630358917301238

Moga Allah membimbing kita semua.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah WAFIQ
Pensyarah Fakulti Quran & Hadith
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *