Tutup Aurat dan Tundukkan Pandangan

Dr Sanusi's Article

Perbahasan berkenaan aurat bukan sahaja menjadi perbahasan ahli parlimen Muslim, bahkan yang non-Muslim turut memberikan pandangan.

Benar apa yang dikatakan oleh ahli parlimen Batu Kawan, al-Quran meminta Muslim samada lelaki atau perempuan supaya menundukkan pandangan. Perkara ini disebutkan di dalam Surah al-Nur kalau tidak silap saya dan bukannya Surah al-Nisa seperti yang disebutkan di dalam video.

Yang menariknya, perbincangan berkenaan menundukkan pandangan ini datang dalam Surah al-Nur yang turut meminta kaum wanita supaya menutup aurat mereka. Sebaik sahaja Allah meminta lelaki Muslim supaya menundukkan pandangan dalam ayat ke 30, ayat ke 31 meminta para wanita Muslimah supaya menutup aurat. Jadi, al-Quran bukan sahaja meminta lelaki menundukkan pandangan, malah menyuruh Muslimah menutup aurat mereka.

Apa yang lebih menarik lagi, sebahagian ahli tafsir menyebutkan bahawa ayat menutup aurat yang diturunkan di dalam Surah al-Ahzab turun lebih awal dari ayat yang meminta menundukkan pandangan. Perkara ini dibahaskan dengan panjang lebar oleh Abu A’la al-Maududi. Ia juga disentuh dengan mendalam oleh al-Imam Ibn Hajar tentang perselisihan kronologi penurunan ayat tersebut.

Sekiranya kita berpegang kepada pandangan Ibn Ishaq dalam kronologi peristiwa Sirah, ayat dari Surah al-Ahzab dilihat turun lebih awal sebelum turunnya ayat di dalam Surah al-Nisa. Ini bererti, ayat menutup aurat turun lebih awal dari ayat tentang menundukkan pandangan. Namun pada saya, tidak kiralah ayat mana yang turun dahulu, kedua-duanya adalah arahan yang wajib yang tidak seharusnya terpisah dan diambil sekerat-sekerat.

Moga Allah membimbing Malaysia ke arah negara yang sejahtera bersama Islam.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah WAFIQ
Pensyarah Fakulti Quran & Hadith
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *