Penyediaan TASKA: Kepuasan wanita bekerja termasuk penjagaan anak

Family Statements Women

Langkah menambah Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) di bangunan kerajaan dapat memberi kepuasan yang secara langsung mendorong penyertaan lebih ramai wanita dalam sektor pekerjaan.

Presiden Perikatan Wanita Antarabangsa Untuk Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ), Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar, berkata ia selari hasil kajian mengenai kepuasan wanita bekerja pernah dijalankan organisasi itu bersama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) serta Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA).

Beliau berkata, hasil kajian itu mendapati hampir 98 peratus wanita berkenaan turut menekankan kepentingan keluarga, termasuk aspek penyediaan sokongan dalam hal penjagaan anak.“Saya berharap subsidi penjagaan anak akan turut diperluas ke sektor swasta kerana ia membantu mengimbangi antara kerjaya dengan keluarga,” katanya ketika dihubungi, di sini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, dalam pembentangan Belanjawan 2019 di Parlimen, semalam, mengumumkan peruntukan RM10 juta bagi menambah 50 TASKA di bangunan kerajaan ke arah meringankan beban ibu bekerja. Selain itu, beliau berkata, kerajaan akan terus menggalakkan dan memberi insentif kepada sektor swasta ke arah memastikan peluang pekerjaan saksama bagi wanita.

Guan Eng berkata, kadar semasa penyertaan wanita dalam tenaga kerja hanya 53.5 peratus berbanding 77.7 peratus bagi lelaki pada tahun lalu. Daripada jumlah mereka yang tidak bekerja, katanya, 60 peratus atau 2.6 juta wanita memaklumkan bebanan kerja di rumah sebagai sebab utama.

Sementara itu, Timbalan Dekan (Pengajian Siswazah dan Jaringan Industri & Masyarakat), Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohamad Fazli Sabri, berkata penyertaan wanita dalam sektor pekerjaan berupaya meningkatkan ekonomi isi rumah dan negara.

Beliau berkata, pembinaan TASKA adalah antara langkah terbaik bagi menggalakkan perkara itu, justeru ia perlu turut diperkukuhkan terhadap majikan dalam sektor swasta. “Saya berpendapat bahawa antara sektor awam dengan swasta tidak seharusnya ada perbezaan dalam hal penjagaan anak. Ini kerana antara kepuasan bekerja bagi wanita ialah urusan penjagaan anak juga berada dalam keadaan terjamin,” katanya.

Presiden Persatuan Wanita dan Ibu Tunggal Nur Iman Kuala Lumpur dan Selangor (WITUS), Sheila Tukimin pula berharap kerajaan memberi keutamaan kepada pengusaha dan pekerja TASKA daripada golongan ibu tunggal dalam B40.

Beliau berkata, ini kerana kebanyakan ibu tunggal dalam B40 menyara kehidupan dengan mengambil upah menjaga anak jiran. “Latihan diberi kepada ibu tunggal secara tidak langsung dapat membantu mereka membina ekonomi masing-masing,” katanya. Pengarah Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datin Dr Norizan Abdul Razak, berkata langkah menambah TASKA itu amat dialu-alukan. Bagaimanapun, katanya, kepentingan aspek pengasuh terlatih dan memiliki pensijilan kecekapan juga perlu diteliti bagi memastikan anak diletakkan bawah jagaan mereka adalah terpelihara serta selamat.

Mengenai usaha meningkatkan pembabitan wanita pada peringkat pembuat keputusan pula, beliau berkata, peratusan masih rendah dalam sektor swasta memerlukan intervensi segera supaya golongan itu diberi peluang menyandang jawatan lebih tinggi. “Antara tindakan boleh diambil ialah memberi latihan dan menubuhkan akademi kepemimpinan yang fokus melahirkan pemimpin wanita pada masa depan,” katanya.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/11/494121/penyediaan-taska-kepuasan-wanita-bekerja-termasuk-penjagaan-anak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *