Dosa Peribadi Adalah Ajaran Liberal

Voice of WAFIQ's Advisor

1. Pada 19 Disember lalu, ML Studios telah memaparkan sebuah video tentang seorang peguam yang mengkritik hukuman yang dikenakan oleh Negeri Terengganu terhadap mereka yang tidak menunaikan solat fardu. Tuan Peguam tersebut menyifatkan langkah Negeri Terengganu itu sebagai tindakan yang memalukan.

2. Peguam tersebut turut melihat kesalahan tidak solat ini hanyalah dosa peribadi yang tidak mengganggu sesiapa pun. Inilah konsep dosa peribadi yang dibawa oleh golongan liberal. Mereka menuntut kebebasan individu yang mutlak.

Ia sama seperti gesaan LGBT yang menuntut kebebasan mutlak untuk melakukan apa sahaja di sebalik pintu. Apakah kita ingin membiarkan masyarakat rosak dengan kehendak peribadi mereka untuk menonton ponografi, berkhalwat, mendekati zina dan sebagainya?

3. Atas sebab itu sebahagian sarjana Muslim mengharuskan operasi siasatan bagi mencegah dosa yang merosakkan individu Muslim di ruang peribadi. Al-Imam Ibn Hajar menegaskan bahawa:

“Benar, seseorang tidak boleh melakukan tajassus (intipan) terhadap Muslim yang lain. Namun sekiranya sesuatu aduan telah dibuat dari orang yang dipercayai (thiqah), maka ia adalah sesuatu yang diharuskan bagi mencegah kemungkaran. (Fath al-Bari, 10/482)

4. Pandangan yang hampir sama dinukilkan oleh al-Imam Nawawi yang menyatakan pandangan al-Imam al-Haramain dan al-Mawardi berhubung keharusan melakukan operasi siasatan bagi mencegah perlakuan jenayah zina (Syarh al-Nawawi, 2/26). Ini bererti “moral policing” adalah sesuatu yang wujud di dalam Islam. Tidak seperti liberal yang menuntut kebebasan mutlak individu dan menolak polis moral.

5. Konsep ini jelas termasuk dalam kempen mencegah kemungkaran yang dituntut dalam Islam. Dalam al-Quran, Allah menyifatkan Bani Israel sebagai bangsa yang dilaknat kerana mereka tidak mencegah kemungkaran. Firman Allah:

كَانُوا لَا يَتَنَاهَوْنَ عَنْ مُنْكَرٍ فَعَلُوهُ لَبِئْسَ مَا كَانُوا يَفْعَلُونَ

“Mereka sentiasa tidak mencegah (sesama sendiri) perbuatan mungkar yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan.” (Surah al-Maidah: 79).

6. Di dalam Surah al-Tawbah pula, Allah menyifatkan antara sifat orang munafiq itu adalah mereka yang tidak mencegah kemungkaran. Firman Allah:

الْمُنَافِقُونَ وَالْمُنَافِقَاتُ بَعْضُهُمْ مِنْ بَعْضٍ يَأْمُرُونَ بِالْمُنْكَرِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمَعْرُوفِ

“Orang-orang munafik lelaki dan perempuan, setengahnya adalah sama dengan setengahnya yang lain; mereka masing-masing menyuruh dengan perbuatan yang jahat, dan melarang dari perbuatan yang baik.” (Surah al-Taubah:67).

7. Bahkan Rasulullah mengingatkan bahawa mereka yang tidak mencegah kemungkaran sedangkan dia mampu, maka akan dibimbangi akan ditimpa azab dari Allah. Sabda Rasulullah:

((ما من قومٍ يُعْمَل فيهم المعاصي، ثم يقدرون على أن يغيِّروا ثم لايغيروا؛ إلا ويوشك الله أن يعمَّهم بعقابٍ))

“Tiada satu kaum yang melakukan maksiat, sedangkan ada dikalangan mereka yang mampu mencegahnya, melainkan akan dibimbangi keseluruhan mereka akan ditimpa azab ke atas kesemuanya” (HR Abu Daud)

Moga Allah membimbing Muslim dengan al-Quran dan menghidupkan semangat amar makruf dan nahi mungkar.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah WAFIQ
Pensyarah Fakulti Quran & Hadith
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *