Benarkah Sheikh Tantawi Haruskan Ubah Jantina?

Dr Sanusi's Article

1. Saya ditanya berkenaan satu thread twitter yang menukilkan pandangan Sheikh Tantawi yang membenarkan pembedahan jantina dilakukan. Ia merujuk pada kes pembedahan jantina seorang pelajar perubatan al-Azhar dari seorang lelaki menjadi perempuan. Perbahasan berhubung perkara ini telah pun dilakukan secara akademik oleh Skovgaard-Petersen (1995), M.J. Veneuse (2010) dan M. Alipour (2017). (Lihat rujukan)

2. Dalam fatwa tersebut, Sheikh al-Tantawi memulakan perbahasan dengan menukilkan hadith Usamah ibn Sharik (seperti yang dinukilkan penulis twitter). Hadith Usamah ini langsung tiada kena mengenakan dengan transgender atau ubah jantina.

Melalui hadith ini, Sheikh al-Tantawi sekadar ingin memberikan gambaran bahawa setiap penyakit ada penawarnya. Transgender barangkali dilihat sebagai penyakit oleh Sheikh Tantawi. Lalu beliau menukilkan hadith Usamah ibn Sharik ini:

عن أسامة بن شريك قال (جاء أعرابى فقال يا رسول الله أنتداوى. قال نعم فإن الله لم ينزل داء إلا أنزل له شفاء علمه من علمه وجهله من جهله) – رواه أحمد

“Daripada Usamah ibn Sharik, beliau berkata: Seorang Arab Badawi datang lalu bertanya kepada Rasulullah, Wahai Rasulullah, bolehkah kami berubat? Rasulullah lalu menjawab. “Boleh, sesungguhnya Allah tidak menurunkan (menjadikan penyakit) melainkan diturunkan bersamanya penawar. Ada orang yang mengetahuinya dan ada orang yang tidak mengetahui penawarnya” (HR Ahmad).

Jelas di sini, hadith Usamah hanyalah bagi menggambarkan bahawa Allah menjadikan penyakit di muka bumi ini dan Allah yang menjadikan penawar bagi setiap penyakit. Dengan menukilkan hadith ini, barangkali Sheikh al-Tantawi melihat transgender (iaitu isu yang dibincangkan) adalah satu penyakit yang mesti dirawat.

3. Kemudian, Sheikh al-Tantawi menyebut juga tentang dalil harusnya pembedahan atau memotong anggota badan melalui hadith yang diriwayatkan oleh Jabir yang menyatakan:

بعث رسول الله صلى الله عليه وسلم إلى أبى بن كعب طبيبا فقطع منه عرقا ثم كواه. رواه أحمد ومسلم

“Rasulullah telah mengutuskan seorang doktor buat Ubay ibn Ka’b, maka doktor tersebut telah memotong satu urat lalu membakarnya.” (HR Ahmad dan Muslim).

Hadith ini secara zahirnya menjelaskan keharusan proses pembedahan berlaku. Ia tidak secara direct juga memberikan kewajaran seorang transgender untuk melakukan pembedahan atau memotong apa yang ingin diubah.

Cuma, hadith pembedahan ini dikaitkan dengan pandangan Ibn Hajar al-Asqalani dan Ibn Hajar al-Qastalani yang membolehkan seorang khunsa (yang dilahirkan dengan dua kemaluan) untuk melakukan pembedahan terhadap salah satu kemaluannya. Perbahasan ini secara jelas adalah menunjukkan bahawa, konteks perbahasan Ibn Hajar al-Asqalani dan al-Qastalani adalah pada isu al-mukhannath.

4. Bahkan Sheikh Tantawi memberi amaran bahawa pembedahan ini tidak boleh dilakukan hanya kerana kehendak peribadi untuk mengubah jantina. (This operation can not be granted at the mere wish to change sex with no clear and convincing corporal motives).

Jika tidak, mereka yang melakukan ini akan tergolong dalam golongan yang terlaknat seperti mana yang disebutkan di dalam hadith al-Bukhari. Hadith tersebut menyebutkan:

عن أنس قال: “لعن رسول الله صلى الله عليه وسلم المخنثين من الرجال والمترجلات من النساء.

“Rasulullah melaknat golongan mukhannath (yang menyerupai wanita) dari kalangan lelaki, dan perempuan yang menyerupai lelaki” HR al-Bukhari.

Amaran dan hadith al-Bukhari ini nampaknya tidak disebutkan di dalam thread twitter tersebut.

5. Setelah membentangkan hujah dari hadith yang pelbagai, Sheikh Tantawi menulis beberapa panduan sebagai kesimpulan. Nah! Di sinilah sepatutnya setiap kita ambil perhatian. Skovgaard-Peterson menterjemahkan kesimpulan tersebut iaitu:

(a) Pembedahan hanyalah dibenarkan bagi menzahirkn organ yang tersembunyi daripada organ lelaki atau wanita (It is permissible to perform the operation in order to reveal what was hidden of male or female organs.)

(b) Pembedahan tersebut hanyalah dibenarkan setelah mendapat pemeriksaan dan nasihat dari doktor pakar. (Indeed, it is obligatory to do so on the grounds that it must be considered a treatment, when a trustworthy doctor advises it.)

(c) Pembedahan tersebut tidak boleh dilakukan secara sewenangnya atas kehendak sendiri (mere wish). (It is, however, not permissible to do it at the mere wish to change sex from woman to man, or vice versa.)

6. Selain Sheikh Tantawi, Mufti Mesir yang lain seperti Sheikh Jad al-Haq juga pernah menukilkan fatwa yang hampir sama. Fatwa ini dikeluarkan pada 27 June 1981. Kesimpulan yang hampir sama juga dinukilkan iaitu pembedahan tidak boleh dilakukan sesuka hati tanpa nasihat doktor pakar atas penyakit mereka ini.

7. Fatwa sebegini juga pernah dikeluarkan kali ketiga oleh Mufti Mesir Sheikh Atiyyah Saqar yang menegaskan bahawa pembedahan ini tidak boleh dilakukan atas kehendak nafsu sendiri. Jika tidak mereka ini tergolong dalam golongan yang disebutkan oleh hadith sebagai kumpulan yang terlaknat. (Sheikh Atiyyah Saqar, Fatawa Dar al-Ifta’ al-Misriyyah, May 1997.)

Moga penulisan ini membantu buat yang bertanya.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Oxford Centre for Islamic Studies

Rujukan:

1. Skovgaard-Petersen, J. (1995). Sex change in cairo: gender and Islamic law. Journal of the International Institute, 2(3).

2. Alipour, M. (2017). Islamic shari’a law, neotraditionalist Muslim scholars and transgender sex-reassignment surgery: A case study of Ayatollah Khomeini’s and Sheikh al-Tantawi’s fatwas. International Journal of Transgenderism, 18(1), 91-103.

3. Fatawa Dar al-Ifta’ al-Misriyyah,

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *