Memorandum Petani dan Organisasi Masyarakat Sivil Berkenaan Penggubalan Rang Undang-Undang Benih Tanaman 2019

Statements

Women’s Alliance for Family Institution and Quality Education (WAFIQ)

8 Mei 2019

Rang Undang-Undang (RUU) Benih Tanaman yang telah dimuktamadkan dan kini sedang dalam proses untuk pembentangan di Parlimen dikhuatiri akan menafikan hak-hak petani dan menjejaskan biodiversiti tanaman seperti yang telah termaktub dalam perjanjian dan konvensyen antarabangsa yang telah disertai Malaysia iaitu;

I. Convention on Biological Diversity 1992 (CBD) (1);

II. Nagoya Protocol on Access and Benefit Sharing (2);

III. International Treaty on Plant Genetic Resources for Food and Agriculture 2001 (ITPGRFA) (3);

IV. UN Declaration on the Rights of Indigenous Peoples (UNDRIP) (4); dan

V. UN Declaration on the Rights of Peasants and Other People Working in Rural Areas 2018 (5).

Kami menegaskan bahawa proses yang sedang berjalan untuk penggubalan Rang Undang-Undang ini mesti dihentikan sehingga semua pihak yang berkepentingan dirujuk dan satu kesepakatan dapat dicapai. Apa-apa undang-undang berkaitan yang mahu diperkenalkan mestilah tidak bercanggah dan sebaliknya mengangkat prinsip-prinsip dan objektif-objektif rangka kerja antarabangsa yang disebut di atas.

Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Tani, Datuk Mohd. Sallehhuddin Hassan telah mengumumkan pada 16 September 2018 bahawa kerajaan sudah meneliti dan mencadangkan tiga RUU membabitkan RUU Baja, RUU Kualiti Benih Tanaman dan RUU Biosekuriti Tumbuhan (6).

Beliau menjelaskan, proses ini akan dibawa ke Kabinet dan kemudian ke Jabatan Peguam Negara untuk semakan dan sekali lagi ke Kabinet sebelum disyorkan dibentang dalam Parlimen6. Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, YB Datuk Salahuddin Ayob pada 8 April 2019 telah mengesahkan melalui kenyataan akhbar bahawa RUU Benih Tanaman sedang digubal bagi mengawal dan menangani pengedaran benih padi tidak sah yang semakin berleluasa di pasaran (7) dan akan dibentangkan di Parlimen selepas selesai sesi rundingan dengan agensi-agensi lain.

Kami menyokong langkah kerajaan untuk memastikan benih berkualiti yang bebas dari penyakit dibekalkan dan ditanam oleh petani; namun kajian kami tentang undang-undang pensijilan benih di negara lain dan melalui maklumat yang kami terima dari sumber-sumber tertentu, menimbulkan beberapa kebimbangan iaitu;

Undang-undang benih melarang amalan penyimpanan, pertukaran dan penjualan benih tanaman oleh petani.Amalan ini adalah satu kebiasaan bagi petani di Malaysia sejak sekian lama, hukuman denda dan penjara yang dikenakan kepada petani hanya kerana mereka melaksanakan amalan kebiasaan mereka dianggap sebagai penindasan dan boleh mencetuskan bantahan sepertimana yang telah berlaku di Indonesia. Antara tahun 2004 dan 2010 terdapat 14 kes seumpama ini berlaku (8). Akhirnya, pada tahun 2013, Mahkamah Perlembagaan Indonesia memutuskan bahawa Undang-Undang Sistem Penanaman Tumbuhan 1992 yang melarang amalan penyimpanan, pertukaran dan penjualan benih itu tidak mengikut perlembagaan dan memutuskan bahawa petani tidak lagi perlu meminta izin syarikat (8).

Undang-undang benih mewajibkan petani, pembiak baka dan pengeluar benih untuk melakukan ujian makmal, memohon pensijilan dan mendaftarkan benih mengikut pra-syarat yang telah ditentukan sebelum ditanam dan dipasarkan. Di Eropah, hanya benih yang tersenarai dalam ‘EU Common Catalogues’ dibenarkan untuk dijual (9).

Ini menggalakan amalan monokultur dalam pertanian di mana varieti yang diperkenalkan di pasaran akan berkurangan secara berperingkat dan akan mendiskriminasi kepelbagaian varieti petani dan sistem benih petani sekaligus memusnahkan kepelbagaian biologi secara umum seterusnya merisikokan pengeluaran makanan setempat dan dunia. Ini kerana risiko rumpai, perosak dan penyakit baharu adalah lebih tinggi terhadap tanaman monokultur.

Proses pendaftaran berasaskan sifat wajib benih yang mesti jelas berbeza, seragam dan stabil (distinct, uniform and stable) serta proses ujian makmal ‘Value for Cultivation and Use (VCU)’ yang perlu dilakukan setiap tahun akan meningkatkan kos pengeluran benih dan seterusnya meningkatkan harga pasaran benih (10).

Syarikat-syarikat besar akan mengawal sistem benih Malaysia. Merekalah yang akan menguji varieti, menyediakan benih asas, menghasilkan benih, merancang pengeluaran benih bersama agensi tempatan, menyediakan modul latihan dalam amalan pengeluaran benih dan pengurusan tanaman, memberi nasihat dalam kawalan kualiti benih, memproses dan menyimpan benih, serta menyebarkan dan menjual benih.

Pelaburan awam dalam penyelidikan pertanian telah berkurangan sejak bertahun-tahun dengan pengiktirafan yang tidak mencukupi mengenai peranan petani dalam pemuliharaan dan penggunaan benih. Lebih malang lagi apabila wang kerajaan digunakan untuk mensubsidi sistem benih swasta ini dan mendiskriminasi sistem benih tempatan. Peranan penting petani dalam sektor pertanian akan berkurangan beransur-ansur.

Petani hilang kebebasan dan hak untuk menentukan sistem pemilihan benih dan pengeluaran makanan mereka sendiri. Akan terdapat hanya pilihan benih yang terhad di pasaran dan petani terpaksa mengikuti setiap syarat dan sistem yang telah ditentukan syarikat-syarikat benih. Ini akan meningkatkan kebergantungan sistem jaminan bekalan makanan negara kepada negara luar yang banyak mengeluarkan benih-benih baru.

Varieti tradisi petani dan juga peranan petani kecil diiktiraf oleh ‘Food and Agriculture Organization (FAO), ITPGRFA, CBD dan juga deklarasi-deklarasi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang disenaraikan di atas.

Artikel 8(j) dalam CBD menghendaki pihak-pihak yang menandatangani konvensyen untuk menghormati, memelihara dan mengekalkan pengetahuan, inovasi dan amalan masyarakat pribumi dan masyarakat tempatan serta menggalakkan perkongsian faedah yang saksama yang timbul daripada penggunaan pengetahuan, inovasi dan amalan sedemikian (1).

Artikel 6 dalam ITPGRFA menghendaki pihak-pihak yang menandatangani perjanjian untuk membangun dan menyelenggarakan dasar dan langkah-langkah hukum yang sesuai yang mempromosikan penggunaan sumber genetik tumbuhan yang mampan untuk makanan dan pertanian termasuk menyokong pembangunan dan penyelenggaraan kepelbagaian sistem pertanian, menggalakkan penyertaaan pelbagai pihak dalam kegiatan pembiakbakaan tumbuhan, mengukuhkan kapasiti untuk membangunkan varieti tumbuhan yang sesuai dengan keadaan sosial, ekonomi dan ekologi setempat, serta memperluaskan asas genetik tanaman dan lain-lain (2).

Artikel 9 dalam ITPGRFA pula menyatakan kerajaan bertanggungjawab untuk mengambil langkah-langkah melindungi dan mempromosikan hak-hak petani termasuk hak untuk menyimpan, mengguna, menukar dan menjual biji-biji benih yang diambil dari ladang mereka, kerajaan juga bertanggungjawab melindungi hak mereka untuk mengekalkan pengetahuan tradisi dan terlibat secara saksama dalam perkongsian manfaat yang timbul daripada penggunaan sumber genetik tumbuhan untuk makanan dan pertanian (3).

UN Declaration on the Rights of Peasants yang diterima pakai oleh Majlis Hak Asasi Manusia dan Perhimpunan Agung PBB menghendaki negara-negara untuk “mengambil langkah untuk menghormati, melindungi dan memenuhi hak petani dan orang lain yang bekerja di kawasan luar bandar terhadap benih” yang merangkumi Hak Petani. Perlaksanaan deklarasi ini menghendaki Malaysia untuk mengekalkan ruang dasar sepenuhnya untuk membolehkan kerajaan melaksanakan langkah yang relevan (4).

Oleh itu, kami memohon agar pihak Kementerian ini mendedahkan teks Rang Undang-Undang Benih Tanaman tersebut kepada umum dan berunding dengan organisasi yang bekerja dengan petani di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak serta kumpulan petani sendiri sebelum membentangkan RUU Benih Tanaman ini di Parlimen.

Kami menegaskan, apa-apa undang-undang yang ingin diperkenalkan mestilah bermatlamatkan kesejahteraan untuk petani dan kedaulatan makanan negara tanpa mengorbankan hak-hak dan kebebasan terhadap benih dan sistem pertanian tradisi. Untuk memastikan hal ini terlaksana, pihak petani mesti terlibat secara langsung dalam proses membuat keputusan.

Disokong oleh;

  1. Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
  2. Angkatan Gerak Minda Malaysia (AGRA)
  3. Badan Bertindak Pesawah MADA
  4. Badan Bertindak Selamatkan Industri Padi Dan Beras Malaysia (Padi Rescue)
  5. Blindspots
  6. Center for Human Rights Research & Advocacy (CENTHRA)
  7. Ecoknight
  8. Gerakan Rakyat Marhain (MARHAIN)
  9. Grup Sukarelawan Darul Ehsan
  10. Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOASM)
  11. Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT)
  12. Koperasi Petani Tambatoun (KOPETA)
  13. Kelab Pendidikan Dan Pemeliharaan Alam Lebah Bujang Lestari
  14. Majlis Perundingan Islam Malaysia (MAPIM)
  15. Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM)
  16. Malaysian Institute of Sustainable Agriculture
  17. MiM Humanitarian – Rice & Roses
  18. Parti Sosialis Malaysia
  19. Partners Of Community Organization (PACOS)
  20. Persatuan Agroekologi Malaysia (SRI-Mas)
  21. Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA)
  22. Persatuan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (GRASS MALAYSIA)
  23. Persatuan Iban Marudi, Baram Sarawak(PIMB)
  24. Persatuan Keusahawanan Asas Tani dan Penternakan Kerian (PAKAT)
  25. Persatuan Melayu Marudi (PMM)
  26. Persatuan Niagakawi Langkawi
  27. Persatuan Pendidikan Dan Kebajikan Jaringan Nelayan Pantai Malaysia (JARING)
  28. Persatuan Penduduk kampung Long Pilah Telang Usan Miri (PPKLPTUM)
  29. Persatuan Penduduk Kampung long Daloh Sg Patah Baram (PPKLDSPB)
  30. Persatuan penduduk Kampung Long Luyim, Sg.Pelutan Baram (PPKLLSPB)
  31. Persatuan Penduduk Kampung Long Miri Baram (PPKLMB)
  32. Persatuan Penduduk Kampung Long Tepen, Pelutan Baram(PPKLTPB)
  33. Persatuan Penduduk Kampung Sg Senga Sebauh Bintulu Sarawak (PPKSS)
  34. Persatuan Penduduk Kampung Sungai Peking Tinjar (PPSPT)
  35. Persatuan Penduduk Kampung Uma Bawang
  36. Persatuan Penduduk Rumah Labang Nanga Seridan Tinjar Beluru Miri (PPRLNSTBM)
  37. Persatuan Penduduk Rumah Lachi Anak Bikang Sebatuk Baru, Suai Niah
  38. Persatuan Penduduk Rumah Sengok Sg Binyok Pandan Sebauh Bintulu (PPRSBPSB)
  39. Persatuan Penduduk Sg Malikat Marudi Baram (PPSMMB)
  40. Persatuan Penduduk Sungai Buri Bakong Marudi (PPSBBM)
  41. Persatuan Penduduk Sungai Linei Tutoh
  42. Persatuan Penduduk Sungai Satai Bintulu
  43. Persatuan Penduduk Sungai Tarak, Lubok Amam, Marudi (PPSTLA)
  44. Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)
  45. Persatuan Pengusaha Padi Wangi Negeri Kelantan
  46. Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysia (SALIMAH)
  47. Persatuan Sahabat Sg Bernam
  48. Persatuan Usahawan Organik Kelantan (PUOK)
  49. Persatuan Usahawan Tani Cinta Alam (PUNCAK)
  50. Pertubuhan Akademi Pendidikan Demokrasi dan Kewarganegaraan Malaysia (APDK)
  51. Pertubuhan Aktivis Pengupayaan Insan Malaysia (API)
  52. Pertubuhan Gabungan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ)
  53. Pertubuhan Muafakat Warga Desa Negeri Kedah (Rural Citizen)
  54. Pertubuhan Pembangunan Antarabangsa & Penyelidikan Untuk Kelestarian (IDRIS)
  55. Pertubuhan Pendidikan Sejahtera Malaysia (PENDIDIK)
  56. Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH)
  57. Pertubuhan Rangkaian Pembangunan Berkesinambungan Malaysia (SUSDEN)
  58. Pop & Chee Healthy Home Farm
  59. Sahabat Alam Malaysia (SAM)
  60. Serukam Organic Farm
  61. Seed Malaysia
  62. Teras Pengupayaan Melayu (TERAS)
  63. Third World Network (TWN)
  64. Women Equality Association ( WEA)

____________________________________

1 Available at https://cbd.int/doc/legal/cbd-en.pdf

2 Available at https://cbd.int/abs/doc/protocol/nagoya-protocol-en.pdf

3 Available at http://fao.org/3/a-i0510e.pdf

4 Available at https://ohchr.org/EN/Issues/IPeoples/Pages/Declaration.aspx

5 Available at https://digitallibrary.un.org/record/1650694

6 Jaafar, M.(2018). Pinda akta demi keselamatan rakyat. [online] Utusan Online. Available at: http://utusan.com.my/berita/nasional/pinda-akta-demi-keselamatan-rakyat-1.748917

7 MalaysiaGazette. (2019). Akta Benih Tanaman hampir siap – MalaysiaGazette. [online] Available at: https://malaysiagazette.com/blog/2019/04/08/akta-benih-tanaman-hampir-siap/

8 Grain.org. (2015). Seed laws that criminalise farmers: resistance and fightback. [online] Available at: https://grain.org/article/entries/5142-seed-laws-that-criminalise-farmers-resistance-and-fightback

9 Raadvoorplantenrassen.nl. (n.d.). EU Common Catalogue-Board For Plant Varieties [online] Available at: https://raadvoorplantenrassen.nl/en/dutch-variety-register/eu-common-catalogue/

10 Seedquest.com. (2006). SeedQuest – Central information website for the global seed industry. [online] Available at: https://seedquest.com/News/releases/2006/october/17227.htm

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *