Keseimbangan Peranan Lelaki & Wanita Dalam Keluarga

Statements

Lelaki merupakan individu penting yang berperanan sebagai suami, bapa, datuk yang kebanyakannya memegang tanggungjawab sebagai ketua keluarga. Tanggungjawab ini dikongsi bersama wanita dan kedua-duanya mempunyai peranan yang sama penting di dalam institusi kekeluargaan. Rasulullah SAW telah bersabda: “Orang lelaki adalah penjaga ke atas ahli keluarganya dan dia bertanggungjawab terhadap mereka, dan perempuan penjaga ke atas rumah tangga dan anak-anaknya dan dia bertanggungjawab terhadap mereka” (HR Bukhari dan Muslim).

Sebgai ketua keluarga, ia adalah sebuah amanah yang sangat besar kerana selain mencari kebahagiaan duniawi, mereka bertanggungjawab dalam memastikan kesejahteraan dunia dan kebahagiaan ukhrawi buat ahli keluarganya. Sebagai peringatan, Allah SWT telah berpesan di dalam al-Quran: “Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu…” (Surah al-Tahrim: 6). Ayat ini merupakan peringatan terbaik untuk sentiasa bertanggungjawab ke atas semua peranan yang digalas di dalam sebuah keluarga, dan insan terbaik yang menjadi contoh sepanjang zaman adalah Nabi Muhammad SAW.

Rasulullah SAW Contoh Terbaik

Sebelum dilantik menjadi Rasul, baginda telah memegang jawatan ‘suami’ sebagai individu penting di dalam sebuah keluarga. Rasulullah SAW juga merasai kehebatan menjadi seorang bapa dan sentiasa menunjukkan akhlak yang terbaik. Baginda juga tidak lari daripada melakukan tugas-tugasan di rumah dan sentiasa cakna dengan apa yang berlaku ke atas ahli keluarganya. Dicatatkan di dalam hadis, dari Al-Aswad, dia bertanya kepada ‘Aisyah, “Apa yang Nabi SAW lakukan ketika berada bersama keluarganya?” ‘Aisyah menjawab, “Rasulullah SAW biasa membantu pekerjaan keluarganya di rumah. Jika telah tiba waktu solat, beliau berdiri dan segera menuju solat” (HR Bukhari).

Antara perkara yang memberi kesan besar di dalam kehidupan baginda adalah anak-anak yang dikurniakan hasil perkahwinan baginda dnegan Khadijah RA tidak mempunyai usia yang panjang melainkan Fatimah RA. Kelahiran Fatimah RA pada tahun kelima selepas kerasulan Nabi Muhammad SAW mencipta kebahagiaan yang sempurna dan hubungan rapat mereka banyak dicatatkan di dalam hadis dan kitab-kitab sirah.

Antaranya adalah kesungguhan Rasulullah SAW untuk berpihak kepada Fatimah RA jika ada yang cuba untuk menyakitinya kerana apa yang dirasai oleh anak perempuannya akan turut dirasai oleh baginda. Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Fatimah RA adalah sebahagian dari ku, menyakitiku apa yang menyakitinya dan menyusahkanku apa yang menyusahkannya” (HR Tirmdhi).

Baginda memanggil Fatimah RA dengan gelaran “Ummu Abiha” yang bermaksud ibu kepada bapanya kerana Fatimah RA sentiasa mengambil berat tentang ayahandanya samada sebelum atau selepas kewafatan ibunya, Khadijah. Berbanding anak Rasulullah SAW yang lain, Fatimah RA tinggal bersama dengan bapanya dan dia berpeluang menyaksikan sendiri kewafatan Nabi SAW yang menjadi kehilangan terbesar di dalam hidupnya. Beberapa tahun setelah itu, Fatimah RA meninggal dunia dan meninggalkan empat orang anak cahaya mata; Hassan, Husain, Zainab dan Ummu Kalthum.

Dalam masa yang sama, baginda tidak akan bertolak ansur jika anak perempuan yang dikasihinya itu melakukan kesilapan yang bertentangan dengan ajaran Islam. Oleh kerana itu, Nabi SAW telah menyatakan bahawa sesiapa yang melanggar hukum Allah tetap akan dihukum termasuklah anaknya, seperti di dalam sebuah hadis, baginda berkata: “Demi Tuhan! Kalau sekiranya Fatimah RA binti Muhammad mencuri, aku potong juga tangannya!” (HR Bukhari dan Muslim).

Kasih sayang yang ditonjolkan oleh Rasulullah SAW kepada anak, isteri dan ahli keluarganya tidak menghalang baginda untuk terus menyampaikan dakwah dan ajaran al-Quran kepada masyarakat. Baginda diberikan kekuatan luar biasa untuk menyeimbangkan tuntutan dakwah dan tanggungjawab bersama keluarga serta menjaga hubungan baik dengan para sahabat. Keseimbangan ini membantu baginda untuk menjadi qudwah hasanah dalam setiap sudut dengan menjalankan amanah sebagai pemimpin keluarga dan pemimpin masyarakat.

Keseimbangan Keluarga dan Kerjaya

Kebiasaannya, momokkan untuk menyeimbangkan tuntutan keluarga dan kerjaya sering dihalakan kepada wanita kerana masyarakat mengganggap bahawa wanita seharusnya bekerja di dalam rumah berbanding luar rumah. Hal ini sewajarnya ditujukan kepada kedua-dua lelaki dan wanita, kerana mereka mempunyai hak yang sama rata untuk menyeimbangkan tanggungjawab di dalam dan luar rumah iaitu keluarga dan kerjaya.

Oleh yang demikian, lelaki juga wajar diberikan hak mereka untuk mengambil cuti paterniti, cuti kuarantin untuk menjaga anak yang sakit, cuti kecemasan sekiranya terdapat urusan keluarga, dan cuti untuk berehat bersama keluarga. Inisiatif untuk memberi atau mengambil cuti juga perlu diseimbangkan kepada kedua-dua lelaki dan wanita, dan setiap indidivdu perlu bijak meletakkan keutamaan kepada perkara-perkara yang lebih utama.

Islam telah meletakkan garis panduan bahawa setiap lelaki dan wanita mempunyai peranan dan keistimewaan yang berbeza, namun ia tidak bermakna mereka tidak boleh saling melengkapi dan membantu antara satu sama lain terutama dalam urusan keluarga. Hal ini telah ditunjukkan sendiri oleh Rasulullah SAW yang tidak menjadikan kerja rumah sebagai amalan stereotaip buat wanita semata-mata, malah tidak akan kurang walau sedikit pun sifat kelelakian seseorang lelaki jika melakukan kerja-kerja rumah dan mendidik anak-anak.

Dr. Nur Saadah Khair
Exco Kajian Islam & Hadis
International Women’s Alliance for Family and Quality Education
WAFIQ

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *