Membidas G25 Salah Guna Kes Indira Gandhi untuk Sokong SIS

Statements

1. Begitu mudah kumpulan liberal G25 membidas keputusan Mahkamah Tinggi yang tidak memihak kepada SIS dalam kes yang diputuskan baru-baru ini.

2. G25 mendakwa bahawa kononnya keputusan itu bercanggah dengan penghakiman oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Indira Gandhi.

3. Sedangkan, kes Indira Gandhi adalah melibatkan semakan kehakiman ke atas pengeluaran sijil perakuan memeluk Islam berikutan penukaran agama anak-anak secara sepihak oleh si bapa yang memeluk Islam di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Perak 2004 (Enakmen Perak).

4. Manakala kes SIS pula melibatkan semakan kehakiman ke atas pengeluaran fatwa mengenai fahaman liberalisme dan pluralisme agama yang menamakan SIS sebagai salah sebuah organisasi yang mendukung fahaman tersebut di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor (2003) (Enakmen Selangor).

5. G25 kononnya memetik penghakiman kes Indira Gandhi betapa mahkamah sivil tidak sepatutnya menolak untuk mendengar permohonan semakan kehakiman hanya kerana ia tidak mempunyai bidang kuasa sekiranya membabitkan isu keperlembagaan.

6. Hal ini kerana perkara yang dibangkitkan dan perlu diputuskan dalam kes Indira Gandhi tidak mempunyai peruntukan jelas dan tersurat mengenai bidang kuasa mahkamah syariah berhubung semakan kehakiman ke atas pengeluaran sijil perakuan memeluk Islam.

7. Apatah lagi Mahkamah Persekutuan dalam kes Indira Gandhi menolak agar peruntukan dibaca bagi maksud bidang kuasa tersebut diperuntukkan secara tersirat di bawah Enakmen Perak ke atas mahkamah syariah.

8. Namun, kes SIS adalah berbeza kerana mahkamah syariah dikurniakan bidang kuasa untuk membuat semakan kehakiman ke atas keputusan atau tindakan yang dilakukan oleh pihak berkuasa agama yang terletak di bawah bidang kuasa negeri seperti yang jelas termaktub di bawah Seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 (Pindaan 2015).

9. Sekalipun G25 memetik kes Indira Gandhi kononnya mahkamah sivil mempunyai bidang kuasa yang melangkaui batas pembahagian bidang kuasa antara mahkamah sivil dan syariah melalui Perkara 121(1A), dapatan Mahkamah Persekutuan dalam kes Indira Gandhi dikhuatiri terkhilaf kerana mengimport doktrin asing “basic structure”.(1)

10. Tambahan pula, Mahkamah Persekutuan dalam kes Indira Gandhi dikhuatiri terkhilaf apabila membuat keputusan berkenaan pengeluaran sijil perakuan memeluk Islam secara prosedural semata-mata.

11. Hakikatnya, Mahkamah Persekutuan tidak menentukan soal keIslaman secara substantif dari segi Hukum Syarak kerana Enakmen Perak itu membezakan antara memeluk Islam dan pengeluaran sijil perakuan memeluk Islam.

12. Dengan itu, persoalan substantif mengenai fatwa yang mengaitkan SIS dengan fahaman liberalisme dan pluralisme agama adalah hak dan terletak di bawah bidang kuasa ekslusif mahkamah syariah.

13. Maka tepatlah apabila Mahkamah Tinggi, dalam memutuskan kes SIS, menghakimi bahawa “Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidang kuasa berkaitan hukum syarak dalam Undang-undang Syariah. Pada pendapat saya, isu fatwa mempunyai kaitan dengan Undang-undang Syariah dan adalah bidang kuasa eksklusif di bawah Mahkamah Syariah,”.(2)

14. Sekiranya semakan kehakiman dimulakan sekalipun, ia hanya terhad kepada prosedur pembuatan dan pewartaan fatwa itu semata-mata, bukan melibatkan persoalan sama ada ia bertepatan dengan ajaran Islam atau tidak.

15. Dan sekiranya semakan kehakiman dimulakan terhadap prosedur pembuatan dan pewartaan fatwa itu sekalipun, ia telah pun dijawab oleh Mahkamah Tinggi apabila ia memutuskan bahawa “Fatwa itu digubal mengikut peruntukan yang diberikan berdasarkan Perlembagaan Persekutuan…Mahkamah bagaimanapun mendapati keputusan yang dibuat Majlis Fatwa pada 14 Julai 2014 tidak menyalahi undang-undang dan mengikut garis panduan yang ditetapkan,”.(3)

16. Dengan itu, wajarlah kes SIS ditolak dan Mahkamah Tinggi enggan memihak kepada SIS, dan seandainya SIS masih berdegil mahu memohon semakan kehakiman, forum yang sepatutnya dimanfaatkan oleh SIS adalah mahkamah syariah.

17. Sebagai sebuah organisasi yang kononnya memperjuangkan hak wanita dan lelaki dalam hal-hal undang-undang syariah, bukankah lebih baik untuk SIS mematuhi peruntukan Enakmen Selangor dan menghormati bidang kuasa mahkamah syariah?

Rujukan:
1. https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10156038009048610&id=822738609

2. https://www.bharian.com.my/…/mahkamah-tolak-permohonan-sis-…

3. https://www.hmetro.com.my/…/sis-tidak-kebal-dengan-fatwa-itu

Danial Ariff Shaari
Peguam Sivil
18 September 2019

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *