MACSA : Kesatuan Eropah Perlu Hormat Nilai Yang Dipegang Rakyat Malaysia

MACSA's Official Statement Statements

Pada 11 November yang lalu, jurucakap Kesatuan Eropah (EU) bagi Hubungan Luar dan Polisi Keselamatan, Maja Kocijancic telah mengeluarkan kenyataan menuntut pembebasan lima lelaki Muslim yang ditahan di Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Selangor atas kesalahan hubungan seks di luar tabie.

EU memberi alasan bahawa hak asasi Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender (LGBT) adalah terpelihara mengikut konvensyen hak asasi antarabangsa. 

Organisasi Masyarakat Sivil Malaysia dalam Proses UPR (MACSA) dengan tegas membidas kenyataan ini.

Kenyataan EU jelas bercanggah dengan nilai-nilai moral dan agama yang dipegang Malaysia sebagai sebuah negara Asia yang meletakkan Islam sebagai agama persekutuan negara mengikut Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan, dan institusi syariah yang mentadbir undang-undang Islam dianggap lex loci (law of the land), atau undang-undang sebenar di Tanah Melayu seperti diputuskan di dalam kes Rama v Laton 1927.

Kenyataan EU juga adalah satu pemahaman yang silap,  apabila ia cuba menggambarkan hak asasi LGBT dijamin di bawah Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia (UDHR).

Hakikatnya adalah, dokumen asal UDHR pada tahun 1948, dan diterimapakai oleh Malaysia apabila kita menyertai Pertubuhan Bangsa- bangsa Bersatu selepas kemerdekaan, tidak memperuntukkan orientasi seks songsang di luar tabie sebagai suatu hak asas. 

Dalam artikel 2 UDHR, hak-hak asasi yang termaktub dan disepakati untuk dilindungi adalah tanpa pembezaan dari sudut bangsa, warna kulit, jantina, bahasa, ugama, faham politik atau lain- lain pemahaman, asal usul bangsa keturunan atau sosial harta benda,  kelahiran atau apa-apa taraf lain. Tidak termasuk dalam Artikel ini,  orientasi seks atau identiti gender.

Bahkan pada tahun 2011, Malaysia menyertai 18 lagi negara anggota Majlis Hak Asasi Manusia (Human Rights Council atau HRC) menolak resolusi 17/19 HRC yang meluluskan orientasi seks dan identiti gender sebagai hak asasi yang baru. 

MACSA ingin mengingatkan EU bahawa lima lelaki yang dihukum itu adalah individu yang beragama Islam maka mereka tertakluk di bawah peruntukan syariah. 

Hukuman sebatan yang dikenakan kepada 5 lelaki ini juga tidak boleh digambarkan sebagai amalan yang kejam dan tidak berperikemanusiaan, penghinaan atau satu bentuk penyeksaan seperti yang ditakrifkan oleh Artikel 1 Konvensyen Menentang Penyiksaan (CAT) kerana adalah jelas dibawah artikel ini,  penyiksaan yang dimaksudkan adalah kaedah yang digunakan dalam mendapatkan maklumat secara paksaan dari seseorang semasa proses interogasi.  

Artikel 1 CAT mengecualikan mana-mana hukuman yang telah dikuatkuasakan secara sah sebagai balasan kepada pelakuan jenayah, umpamanya di dalam kes 5 lelaki ini, iaitu hukuman sebatan yang telah termaktub secara sah mengikut Seksyen 52(1)(a) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang dibaca bersama Seksyen 28. Oleh itu, tidak timbul isu hukuman ini melanggar sebarang hak pesalah-pesalah Muslim ini.  

Bahkan, tindakan EU mempersoalkan dan menentang  penerapan undang-undang syariah di Malaysia sebagaimana dalam kenyataan mereka, adalah suatu pencabulan yang serius terhadap hak kebebasan beragama, yang dilindungi oleh UDHR sendiri dan tidak menghormati  pelbagai konvensyen antarabangsa yang lain yang ditandatangani Malaysia seperti Deklarasi Kaherah Hak Asasi Manusia dalam Islam (Cairo Declaration of Human Rights in Islam @ CDHRI) dan Deklarasi Hak Asasi Asean (AHRD).

Perkara 7 AHRD menyatakan bahawa walaupun hak asasi manusia adalah universal dan tidak dapat dipisahkan, kesedaran mereka mesti dipertimbangkan dalam konteks serantau dan negara, antara lain latar belakang undang-undang, budaya, sejarah dan agama yang berlainan. Ia adalah selaras dengan pendirian Malaysia yang tidak pernah menerima atau mengesahkan mana-mana instrumen hak asasi manusia antarabangsa yang membenarkan amalan homoseksualiti seperti Prinsip Yogyakarta (YP) 2006 dan Resolusi 17/19.

Selain daripada itu, adalah diketahui bahawa amalan homoseksualiti mempunyai risiko yang tinggi dari sudut kesihatan. 

Laporan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia menunjukkan peningkatan kes HIV hampir tiga kali ganda dikalangan  lelaki yang mempunyai hubungan seks dengan lelaki dalam tempoh 3 tahun (dari 8.9% pada tahun 2014 kepada 21.6% pada tahun 2017) di Malaysia yang memerlukan negara kita mengambil pendekatan holistik dalam membendung jangkitan HIV melalui pencegahan termasuklah prinsip keagamaan. Selain itu, terdapat juga kebimbangan mengenai gejala “chemsex” dikalangan pengamal homoseksual. Chemsex adalah apabila sekumpulan  individu berpesta menggunakan ubat-ubatan dan dadah secara berlebihan dan melakukan hubungan seks  berbilang pasangan. Agensi berita Reuters telah melaporkan bahawa golongan homoseksual  yang mengamalkan pesta Chemsex telah meningkatkan  semula wabak HIV dalam kalangan lelaki gay di bandar-bandar Eropah.

MACSA menyeru pihak EU untuk menarik semula kenyataan yang yang dibuat mereka pada 11 November 2019 dan dengan segera meminta maaf kepada semua rakyat Malaysia.

MACSA juga menyeru kepada EU untuk mengguna pakai pendekatan relativis terhadap hak asasi manusia yang membolehkan penerapan secara harmoni terhadap prinsip-prinsip universal yang menyokong hak tersebut.

Prof Madya Dr. Rafidah Hanim Mokhtar,

Presiden WAFIQ and Pengerusi Bersama MACSA.

The Malaysian Alliance of Civil Society Organisations in the Universal Periodic Review (UPR) Process (MACSA) is a coalition of civil society organisations with the specific aim and object to look into, as well as advocate, human rights issues in Malaysia for the UPR Process.

Prof. Madya Dr. Rafidah Hanim Mokhtar
Pengerusi Bersama Malaysian Alliance of Civil Society Organisations in the UPR Process (MACSA)

dan 

Presiden Perikatan Wanita Antarabangsa
Untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *