Menjawab Kritikan Feminis Terhadap Hadis

Islam & Hadith Research

Pada abad ke-20, Guillaume adalah antara orientalis pertama yang membahaskan hadis-hadis berkaitan wanita dari perspektif yang negatif, selain sokongannya terhadap idea Goldziher dalam menolak hadis. Di dalam bukunya yang bertajuk The Traditions of Islam (1966), beliau telah memilih lima hadis berkaitan karakter dan peranan wanita yang dianggap sebagai diskriminasi terhadap wanita. Walaupun Guillaume menekankan lebih banyak mengenai isu kepalsuan hadis, beliau secara tidak langsung membincangkan bahawa wacana misogini boleh ditemui dalam hadis-hadis Nabi SAW sama ada secara langsung mahupun tidak langsung. 

Istilah ‘merendahkan wanita’ (woman-demeaning) dan ‘pernyataan tidak-mesra-wanita’ (woman-unfriendly) pertama kali digunakan oleh Juynboll (1996) dalam kajian kritikalnya terhadap metod di dalam sanad hadis. Merujuk kepada bilangan hadis yang telah ditafsirkan sebagai anti-wanita, beliau mendapati bahawa imej wanita yang yang terdapat di dalam hadis telah membawa kepada tafsiran negatif yang telah diterapkan di dalam konteks sosio-sejarah, dan dipengaruhi oleh pelbagai lokasi dan tradisi yang berbeza. Walaupun terdapat juga hadis yang mempromosikan keadilan buat wanita, tetapi hadis masih didakwa bukan sahaja sebagai anti-sains dan anti-logik, tetapi juga anti-wanita.

Hal yang sama juga telah dibahaskan oleh beberapa feminis. Mereka berpendapat bahawa Islam adalah sebuah agama yang menyekat hak dan kebebasan wanita. Teks agama dipersalahkan kerana dikatakan telah menggalakkan kecenderungan terhadap diskriminasi jantina dan telah menunjukkan keutamaan kepada lelaki berbanding wanita. Kemudian, istilah misogini (anti-wanita) di dalam hadis muncul kerana ia selari dengan sistem sosial patriarki di mana lelaki mendominasi hirarki dalam institusi agama dan ianya menyebabkan teks-teks agama dipengaruhi oleh budaya patriarki.

Antara feminis yang membincangkan isu misogini di dalam hadis adalah Riffat Hassan di dalam tulisan-tulisannya sejak tahun 80-an. Beliau mempersoalkan status hadis sahih yang mengandungi wacana anti-wanita dan menekankan kepentingan untuk menggali isu ini yang telah lama berakar dalam teologi Islam. Kenyataan bahawa “wanita adalah tulang rusuk yang bengkok” yang ditemui di dalam hadis adalah salah satu fokus utama beliau dalam mengupas isu mengenai penciptaan wanita secara falsafah dan teologi, kerana ia menjadi akar dalam membentuk pandangan bahawa “status wanita rendah dalam tradisi Islam”. Beliau juga menganalisis beberapa hadis lain dalam kedua-dua aspek sanad dan matn dan akhirnya membuat keputusan untuk menolak hadis yang mengandungi wacana misogini walaupun hadis tersebut berstatus sahih.

Selain itu, Fatima Mernissi juga adalah salah seorang feminis yang menemukan wacana anti-wanita dalam hadis-hadis yang sahih. Beliau menggelarkan hadis tersebut sebagai hadis misoginistik yang merangkumi beberapa hadis dari Saḥīḥ al-Bukhāri dan beliau telah menganalisisnya secara terperinci dalam bukunya, The Veil and the Male Elite: A Feminist Interpretation of Women’s Rights in Islam (1991). Beliau percaya bahawa tidak terdapat hadis palsu atau cacat yang telah diriwayatkan oleh wanita, tetapi kebanyakkannya telah diriwayatkan oleh perawi lelaki. Malah menurutnya, terdapat lambakan hadis telah ditafsirkan oleh ulama lelaki untuk kepentingan peribadi mereka sendiri. 

Oleh itu, Mernissi meletakkan kesalahan ke atas kaum lelaki terutama kepada mereka yang memegang kuasa terhadap naratif agama kerana mereka bertanggungjawab dalam menyebarkan wacana misogini dalam teks-teks agama. Bagi Mernissi, semua Hadis, termasuk yang berstatus sahih adalah terbuka untuk dipersoalkan dan mesti dinilai semula, apatah lagi hadis-hadis yang mengandungi wacana misogini yang mungkin telah direka atau dimanipulasi oleh perawi yang berjantina lelaki. 

Selain Riffat Hassan dan Fatima Mernissi, terdapat beberapa feminis lain yang menggunakan hujah yang sama bahawa hadis mengandungi interpretasi anti wanita dan misogini sama ada secara langsung mahupun tidak langsung. Antaranya ialah Barbara Stowasser, Ruth Roded, Kecia Ali (2006)  dan lain-lain.

Pandangan ini juga telah dibawa oleh beberapa organisasi yang bergerak di beberapa negara seperti Mesir, United Kingdom dan negara-negara lain termasuklah Malaysia. Salah satu NGO yang aktif di Malaysia ialah Sisters in Islam (SIS) yang telah ditubuhkan pada pertengahan tahun 1980-an di bawah Persatuan Peguam Wanita dan telah dikreditkan sebagai persatuan feminis Islam pertama. Menurut Noraini Othman, SIS ditubuhkan bertujuan untuk memperjuangkan hak wanita menurut pandangan Islam secara khusus, dan wanita secara umum dalam struktur undang-undang, politik, ekonomi dan sosial baik di peringkat nasional dan serantau. 

SIS telah menggunakan hujah yang sama dalam mempersoalkan hadis yang didakwa mempromosikan diskriminasi gender dan memberi kesan negatif ke atas status wanita di dalam Islam. Tambahan itu, SIS mendesak untuk menilai semula kandungan teks-teks agama dan menuntut agar ditafsirkan mengikut konteks yang betul, kerana SIS berpandangan bahawa bidang agama yang dikuasai oleh lelaki mempunyai kecenderungan untuk berlaku tidak adil terhadap hak-hak wanita. Pendekatan hermeneutik modernis Islam seperti Fazlur Rahman, Abdullah an-Naim dan Nasr Hamid Abu Zayd, telah mempengaruhi banyak wacana yang disuarakan oleh SIS. 

Dalam beberapa hasil penerbitan, SIS telah mendakwa bahawa terdapat hadis yang telah mengancam hak-hak wanita khasnya dalam isu rumahtangga. Hadis-hadis tersebut dianalisis dan dikritik, dan akhirnya SIS menolak idea bahawa: pertama, hak seksual suami perlu dipatuhi dalam apa jua keadaan, dan kedua, hak suami dalam menentukan syurga atau neraka akan menjadi destinasi di akhirat untuk isteri mereka. Selain itu, poligami yang telah disebutkan di dalam al-Quran juga telah ditolak atas sebab kesaksamaan dan keadilan bagi wanita. SIS juga menolak untuk menerima hadis yang difahami sebagai larangan untuk melantik wanita menjadi pemimpin, kerana berpandangan bahawa hadis tersebut bertentangan dengan al-Quran dan bertentangan dengan fakta sejarah, yang semuanya dianggap sebagai unsur pemalsuan.

Pengaruh SIS kepada fahaman dan ideologi Barat adalah sangat besar sehingga terlupa bahawa hadis merupakan salah satu sumber terpenting di dalam Islam. Label Islam yang dibawa di dalam nama SIS tidak menggambarkan Islam yang sebenar, malah cuba membawa fahaman yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Status Saḥīḥ al-Bukhāri sebagai kitab hadis sahih yang menduduki tempat tertinggi tidak boleh dinafikan. Malah, hadis-hadis yang ditolak oleh golongan feminis mempunyai status sahih yang telah disepakati oleh ulama-ulama hadis. Malangnya, fakta ini telah dipersoalkan bukan sahaja oleh mereka yang menolak hadis secara keseluruhan, tetapi juga telah dikritik oleh mereka yang mendakwa bahawa hadis telah dipengaruhi oleh budaya patriarki. 

Walaupun demikian, kajian telah mendapati bahawa daripada sejumlah besar hadis yang terkandung di dalam Saḥīḥ al-Bukhāri, hanya sebahagian kecil sahaja yang berkaitan dengan isu-isu wanita. Sebanyak 696 hadis daripada 7563 hadis, yang terkandung di dalam 82 bab daripada 97 bab, didapati bahawa peratusan bagi bilangan tersebut adalah sebanyak 9.2%. Daripada jumlah tersebut, hanya 36 hadis yang ditemui telah ditafsirkan secara negatif kerana dianggap sebagai mengancam status dan kedudukan wanita sebagaimana digambarkan oleh feminis. Ini menunjukkan bahawa peratusan misogini di dalam hadis Saḥīḥ al-Bukhāri adalah 0.48% dan ianya hanyalah jumlah yang sangat kecil jika dibandingkan dengan hadis-hadis yang tidak dituduh sebagai anti-wanita.

Untuk menyelesaikan hal ini, ulama telah meletakkan garis panduan bahawa terdapat beberapa hadis yang tidak boleh difahami secara literal, dan perlu menggunakan metod yang berbeza. Metod tersebut adalah dengan menggunakan pendekatan kontekstualisasi dalam memahami teks-teks agama, dan ia bukanlah suatu kaedah yang baru untuk memahami al-Quran dan juga hadis Nabi SAW. Antara ulama yang menggunakan kaedah ini adalah Imam al-Tabari, Ibn Kathir, Ibn Hazm, dan para penafsir klasiklain yang menafsirkan Al-Qur’an dengan merujuk kepada asbāb nuzūl (sebab penurunan ayat), konteks sejarah dan peristiwa, hadis, logik dan pengalaman individu, serta sirah Nabi SAW. Pendekatan kontekstual juga diterapkan untuk menilai seusuatu hadis dengan merujuk kepada asbāb wurūd (sebab periwayatan hadis), konteks sejarah, sosiologi, dan antropologi di mana hadis tersebut disampaikan. 

Walau bagaimanapun, pendekatan ini hanya boleh digunakan kepada hadis yang termasuk di dalam kategori al-mutaghayyirāt (pemboleh ubah), di mana pelaksanaannya berubah mengikut perubahan masa dan tempat. Oleh itu, metod kontekstual tidak sesuai untuk hal-hal yang berkaitan al-thawabit (tetap dan kekal), yang tidak tertakluk kepada perubahan selama-lamanya. Selain itu, pendekatan kontekstual hanya boleh digunakan apabila terdapat petunjuk kuat bahawa hadis mesti difahami secara kontekstual dan bukan sekadar literal dan tekstual melalui terjemahan sahaja. Menurut Yusuf al-Qaradawi, petunjuk untuk menggunakan pendekatan ini adalah berbeza-beza berdasarkan situasi dan tempat yang berbeza. Ia juga harus mempertimbangkan aspek sejagat, rasional, dan budaya yang sama sekali tidak boleh bertentangan dengan kandungan al-Quran.

Walaupun terdapat persamaan antara pendekatan kontekstual yang diterapkan oleh kaum feminis dan para ulama kontemporari, kaedah ini digunakan bergantung kepada kepentingan, matlamat, dan impaknya yang bervariasi kepada sesuatu hal mahupun individu tertentu. Pendekatan ini, bagaimanapun, ditolak oleh golongan fundamentalis kerana mereka mendakwa ia boleh mengurangkan kesucian teks agama. 

Perlu difahami bahawa pendekatan kontekstual yang digunakan mestilah tidak menjejaskan keaslian, kesahihan dan kewibawaan hadis tersebut. Konteks setiap individu secara umumnya dan wanita secara khususnya dalam memahami hadis mungkin berbeza tetapi adalah penting untuk menekankan juga bahawa teks dan konteks sesuatu hadis adalah universal dan terpakai tanpa mengira masa dan tempat.

Dr. Nur Saadah Khair
Exco Kajian Islam & Hadis
International Women’s Alliance for Family and Quality Education
WAFIQ



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *