Wajar Hukuman Lebih Berat bagi Pemandu Mabuk

Statements

Berdasarkan rentetan kes kemalangan jalan raya yang telah meragut beberapa nyawa pada awal tahun 2020, WAFIQ menggesa pihak kerajaan agar segera mengambil tindakan bagi mengurangkan risiko kematian akibat pemanduan mabuk.

Menurut laporan Polis Diraja Malaysia (PDRM), terdapat 191 kes kematian berpunca daripada pemanduan mabuk direkodkan pada 2018 dan jumlah itu kian meningkat pada tahun 2019.

Dari sudut kajian kesihatan, pada tahun 2016 School of Medicine, University of Washington menyatakan bahawa terdapat rekod 3 juta kematian di seluruh dunia dikaitkan dengan penggunaan arak. Kajian mereka menyimpulkan bahawa tiada paras selamat bagi mereka yang meminum arak, bermaksud tidak ada jumlah minima yang boleh disyorkan oleh pakar kesihatan bagi menyatakan alkohol adalah selamat diminum.

Dalam tahun 2018 jurnal perubatan antarabangsa, The Lancet telah menerbitkan sebuah kajian yang memperlihatkan bahawa penggunaan alkohol, dalam apa jua kadar, hanya akan mengakibatkan penurunan tahap kesihatan seseorang. Ini disahkan oleh Dr Carina Ferreira Borges, Pengarah Program Kawalan Alkohol dan Dadah Terlarang di WHO European Office for Prevention and Control of Noncommunicable Diseases.

Jelas, penggunaan serta pengambilan arak seharusnya disekat. Pengharaman arak di sisi agama Islam adalah berpandukan dalil wahyu dan ajaran Nabi Muhammad SAW. Allah SWT telah berfirman dalam Surah Al Maidah ayat-90 yang bermaksud “Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya arak, judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) keji dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”

Rasulullah SAW turut bersabda bahawa semua yang memabukkan adalah haram. Malah Aisyah RA telah meriwayatkan tentang bagaimana setiap yang memabukkan itu adalah haram, walaupun ianya diambil pada kadar satu faraq (فرق) ataupun segenggam. Manakala hukuman hudud yang ditetapkan pada peminum arak mengikut hadith adalah sebanyak 40 kali sebatan ditambah dengan hukuman ta’zir dari pemerintah yang harus menjalankan hukuman tersebut sehingga 80 kali sebatan.

Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 telah memperuntukkan undang-undang dimana mana-mana individu yang memandu di bawah pengaruh minuman memabukkan atau dadah dan menyebabkan kematian atau kecederaan boleh dihukum penjara tidak kurang 3 tahun dan tidak lebih 10 tahun dan denda tidak kurang RM 8000 dan tidak lebih RM 20,000. Hukuman sedia ada ini dilihat langsung tidak setimpal dengan sikap cuai lagi merbahaya pengguna jalan raya yang turut meragut nyawa orang lain.

Justeru, kami menyambut baik respon dari Kementerian Pengangkutan yang ingin mengkaji semula peruntukan undang-undang sedia ada berkaitan kesalahan melibatkan pemandu mabuk dengan harapan agar pengedar atau kilang penjualan arak turut dikenakan tindakan sewajarnya.

Dengan ini WAFIQ mencadangkan agar pindaan yang ingin dilakukan terhadap Akta Pengangkutan Jalan 1987 menetapkan hukuman yang lebih berat dengan mengambil kira peningkatan jumlah kematian pengguna jalanraya, trauma pada ahli keluarga mangsa serta risiko terhadap keselamatan orang awam. Tambahan, Kementerian Kesihatan turut digesa agar mengencarkan kempen ‘Jauhi Arak’ serta memberi peringatan secara berterusan mengenai kesan pengambilan arak pada kesihatan mental dan fizikal manusia.

Rujukan:
1. Al Quran dan Hadis
2. Polis Diraja Malaysia (PDRM)
3. Akta Pengangkutan Jalan 1987
4. http://muftiwp.gov.my/ms/artikel/bayan-linnas/659-bayan-linnas-siri-ke-116-hindari-bahaya-arak
5. https://www.sciencedaily.com/releases/2018/08/18

Nur Farihah Meor Mazli
Youth & Media Exco
International Women’s Alliance for Family and Quality Education
WAFIQ

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *