Wasiat Nabi SAW Kepada Wanita

Islam & Hadith Research Statements

Kedatangan Islam membawa rahmat yang besar kepada seluruh alam, kaum, dan jantina. Khasnya wanita, tradisi Jahiliyyah dihapuskan secara berperingkat dengan penurunan wahyu yang membela hak-hak wanita. Banyak perubahan yang telah dibawa oleh Nabi Muhammad SAW, antaranya ialah menghapuskan amalan membunuh bayi perempuan, sumbang mahram, poligami tanpa had dan lain-lain amalan yang bertentangan dengan ajaran al-Quran.

Walaupun kandungan al-Quran dan hadis adalah umum kepada semua manusia, tetapi terdapat beberapa pendekatan yang ditujukan khas buat wanita. Beberapa contoh kisah wanita telah dinyatakan dengan jelas di dalam al-Quran, malah sebuah surah telah dikhaskan buat wanita bagi membuktikan keistimewaan seorang wanita. Begitu juga hadis, banyak juga hadis-hadis yang diriwayatkan disebabkan wanita, malah terdapat juga hadis yang satu-satu perawinya adalah wanita.

Antara hadis yang ditujukan khas buat wanita adalah wasiat Nabi SAW yang bermaksud: “Saling berwasiat kebaikanlah terhadap wanita, karena mereka tercipta dari tulang rusuk. Dan sesungguhnya tulang rusuk yang paling bengkok adalah yang berada pada tempat yang paling atas, jika engkau berusaha meluruskannya ia pasti akan patah, dan jika engkau membiarkannya ia pasti tetap bengkok, maka berwasiat kebaikanlah terhadap wanita.” (HR Bukhari)

Para ulama mempunyai pandangan yang berbeza terhadapa hadis ini, tetapi ramai ulama termasuk Ibn Hajar dan Imam al-Qurtubi menjelaskan bahawa wanita diciptakan daripada tulang rusuk adalah sekadar perumpamaan dan ia bukannya menunjukkan akan hakikat penciptaan wanita. Merujuk kepada Fath al-Bari, ini adalah perumpamaan bagi talak iaitu jika kamu ingin daripadanya untuk meluruskan apa yang tidak lurus itu maka ia akan membawa kepada perpisahan. 

Syeikh Syuaib al-Arna’outh juga berpendapat: “Apa yang dimaksudkan di sini (iaitu hadis bahawa wanita diciptakan daripada tulang rusuk) adalah sekadar perumpamaan dan ini jelas dinyatakan di dalam riwayat yang lain iaitu “Sesungguhnya wanita itu seperti tulang rusuk”. Begitu juga, ia tidak bermaksud bahawa wanita ini diciptkan daripada tulang rusuk Adam sebagaimana yang didakwa oleh sebahagian manusia dan dakwaan tersebut tidak ada dinyatakan di dalam sunnah (hadis) yang sahih”.

Tambahan daripada itu, mesej utama hadis tersebut bukanlah merujuk kepada tulang rusuk yang bengkok, tetapi galakkan untuk memberi wasiat yang baik kepada wanita. Ini adalah kerana fitrah wanita yang lembut hanya boleh menerima sesuatu yang lembut dan penuh kebaikan buatnya.

Khutbah Terakhir Nabi SAW

Hadis-hadis yang dibawa oleh Nabi SAW kebanyakannya memberi nasihat positif kepada wanita selari dengan fitrah mereka. Para wanita yang hidup sezaman dengan baginda juga mengakui bahawa Nabi SAW adalah insan terbaik yang membela keadilan dan menghormati wanita dengan cara yang tersendiri.

Sikap Nabi SAW yang mementingkan pembelaan terhadap kaum wanita berlanjutan sehinggalah akhir hayat hidup baginda. Dalam khutbah terakhir yang disampaikan Nabi SAW kepada kaum Makkah juga mengandungi peringatan khas untuk menjaga hak-hak wanita.

Nabi SAW berkata: “Wahai manusia sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak ke atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak diberikan makan dan pakaian, dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina. (HR Muslim, no. 2137, HR Abu Daud, no. 1628, HR al-Tirmidhi, no. 3012, HR Ibnu Majah, no. 3065, HR al-Darimi, no. 1778, HR Ahmad, no. 19774).

Hari Wanita Sedunia

Jika Barat memperjuangkan hak kesaksamaan jantina, Nabi Muhammad SAW juga telah lama menegaskan bahawa semua manusia adalah sama, yang membezakan hanyalah takwa: “Wahai manusia! Sesungguhnya tuhan kamu sama, bapa kamu sam a (Adam). Ketahuilah! Tiada kelebihan orang Arab ke atas ‘ajam (yang bukan Arab), atau ‘ajam ke atas Arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan” (HR Ahmad dan al-Baihaqi)

Kesungguhan baginda dalam memperjuangkan hak sama rata antara lelaki dan wanita perlu dilihat dalam konteks yang lebih besar. Hak wanita yang telah dinyatakan di dalam al-Quran termasuklah hak untuk mendapat pendidikan, hak memilih pekerjaan, hak menyertai politik, hak memperolehi harta pusaka, hak dalam undang-undang, dan hak-hak sivil yang sesuai dengan sifat wanita. Hadis-hadis Nabi juga mengakui hak-hak yang dimiliki oleh kaum wanita, malah Nabi Muhammad SAW secara peribadinya menghormati wanita dan mengiktiraf sumbangan besar yang telah diberikan oleh wanita khasnya pada zaman baginda.

Walaupun terdapat beberapa usaha yang mengkaitkan sambutan Hari Wanita dengan agenda Barat, perlu difahami bahawa Islam adalah sebuah agama yang mengiktiraf hak dan peranan wanita. Tidak salah dalam memperjuangkan hak wanita pada hari apa pun (termasuk membuat hari sambutan khas), tetapi biarlah sambutan tersebut selari dengan pandangan al-Quran dan hadis.

Oleh itu, pada Hari Wanita yang disambut seluruh dunia ini, ayuh membuang persepsi bahawa Islam menyekat hak kebebasan wanita, dan membangkitkan semula prinsip-prinsip agama yang memandang tinggi terhadap kedudukan wanita. Ia adalah tanggungjawab bersama untuk menghormati wanita dan peranannya dari aspek teori dan juga praktikal dalam masyarakat yang penuh cabaran pada masa kini.

Wanita adalah golongan istimewa yang diberikan hak, tanggungjawab dan perlindungan yang istimewa di dalam Islam. Hak wanita perlu diperjuangkan secara sama-rata dengan berlandaskan syariah Islam, bukannya berdasarkan kebebasan hawa nafsu dan logik akal semata-mata. Malah, mesej keseimbangan yang dibawa perlu diterjemahkan dengan bahasa wahyu, bukan bahasa nafsu. Kini, perbahasan utama terletak kepada perlaksanaan dan tindakan yang perlu diambil bagi menjamin kesejahteraan dan kebahagian yang seimbang duniawi dan ukhrawi.

Dr. Nur Saadah Khair
Exco Kajian Islam & Hadis
International Women’s Alliance for Family and Quality Education
WAFIQ

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *