Jenayah Rogol Perlu Kepada Pencegahan Serta Undang-Undang

Statements

Umat Islam cenderung bersikap “judgmental” dalam isu jenayah seksual?

Isu ini menjadi hangat kerana perbincangan antara 2 pihak yang menumpukan kepada 1 faktor sahaja dalam kes rogol sedangkan terdapat beberapa faktor terlibat. Ia juga melibatkan jenayah dan mangsa, jadi perbincangan harus lebih teliti tanpa menyebabkan mangsa lebih terbeban dengan trauma yang dihadapi dan dalam masa yang sama, perspektif agama dibincangkan secara adil.

Di dalam era media sosial, baik Instagram, Twitter, Facebook dan pelbagai lagi, kita berhadapan dengan budaya baru di mana ramai yang meluahkan pandangan dan pendapat di media sosial.  Begitu juga semakin ramai di antara kita yang melihat kepada “social validation” ataupun pengabsahan atau sokongan secara sosial yang digambarkan bukan sahaja melalui pandangan yang diutarakan, tetapi melalui tanda suka (likes), perkongsian (share) atau ulang kicau (retweet).

Saya masih ingat Prof Syed Muhammad Naquib Al-Attas pernah mengatakan bahawa kita telahpun berhadapan dengan fenomena ralat ilmu (error of knowledge) iaitu capaian maklumat yang terlalu pantas dan bebas – masyarakat tidak dapat membezakan di antara ilmuan dan bukan ilmuan sebaliknya menerima sesuatu pandangan berdasarkan retorik dan emosi semata-mata.

Fenomena ini telahpun berleluasa sejak internet diperkenalkan dan kini, dengan adanya media influencer (tokoh media berpengaruh) pandangan-pandangan mereka diambil secara literal dan golongan muda cenderung menerima dan menyamaratakan pandangan media influencer berbanding dengan pandangan ilmuan dalam membahaskan perkara-perkara ini.

Soal jenayah dibincangkan secara mendalam dalam Islam dan Islam sama sekali tidak berkompromi dengan penjenayah. Syariat Islam menganggap pencerobohan terhadap 5 kepentingan iaitu agama, nyawa, keturunan, aqal dan harta sebagai suatu jenayah yang membawa hukuman di dunia dan di akhirat.

Kekeliruan masyarakat umum membicarakan soal rogol ini mungkin berpunca dari hakikat bahawa jenayah rogol adalah dibawah undang-undang sivil, walaupun ia jenayah besar disisi Islam. Di Malaysia, rogol adalah di bawah undang-undang sivil, dibawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman bagi pesalah rogol ialah penjara minima lima tahun dan maksima 20 tahun dan bolehdikenakan sebatan. Ia tidak di dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah yang secara teknikal terhad diikat pada Akta 355.

Oleh kerana ini, perbincangan berkenaan kesalahan merogol dari sudut pandangan Syarak tidak meluas capaiannya menyebabkan perbincangan terus langsung kepada mangsa dan tertumpu kepada hanya faktor pakaian dari pelbagai faktor yang menyumbang kepada jenayah rogol dan gangguan seksual.

Rogol dari sudut pandang jinayah Islam

Di dalam undang-undang Islam, para ulama menggunakan istilah al-zina bi al-ikrah atau zina dengan cara paksaan bagi istilah rogol. Saya memetik tulisan Dr Nik Wajis Nik Rahim, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia dalam tulisan beliau bertajuk Jenayah Rogol dalam Undang-Undang Islam yang jelas menunjukkan bahawa jenayah rogol ini amat dipandang berat dalam Islam dan perogol itu adalah seseorang yang amat benci dipandang oleh agama.

Menurut Ibn aI-Arabi, jenayah rogol adalah termasuk di bawah hudud iaitu hirabah. Tetapi pengikutnya tidak bersetuju. Beliau menyatakan bahawa hanya jenayah yang berkaitan dengan harta seperti rompakan sahaja yang boleh dikategorikan sebagai hirabah sedangkan rogol tiada kaitannya dengan harta. Ibn al-Arabi menjawab persoalan ini dengan bertanya bahawa tidakkah merogol itu lebih dahsyat dari merompak? Beliau menambah bahawa orang ramai biasanya tidak akan melawan untuk mempertahankan harta mereka sekiranya nyawa mereka diancam. Tetapi mereka sanggup menggadai nyawa demi mempertahankan maruah isteri dan juga anak-anak mereka.

Ibn Hazm juga bersetuju bahawa rogol dimasukkan di bawah jenayah hudud iaitu hirabah. Menurutnya “muharib” (penjenayah hirabah) adalah mereka yang membuat kekacauan dengan membunuh orang ramai, merampas harta benda mereka atau merogoI.

Ilmuan lain turut mendefinisikan hirabah sebagai “satu kumpulan bersenjata yang menakut-nakutkan orang ramai dengan membunuh, merompak, merogol atau membinasakan kebun-kebun tanaman mereka”. Pendapat yang sarna juga dipegang oleh mazhab al-Syafie, Maliki dan Mujahid.

Penyelesaian secara bersama

Justeru itu, dalam melihat isu ini, sewajarnya kita mencari penyelesaian secara bersama, dan tidak terikut-ikut dengan kaedah mencari siapa untuk dipersalahkan, adakah ia salah lelaki ataupun ia salah wanita. Dalam mencari penyelesaian, kita kena membezakan dua perkara iaitu:

            1) sokongan dan pemulihan  bagi mangsa rogol

            2) kaedah pencegahan kepada masyarakat.

Kita perlu menyeimbangkan kedua-duanya dengan mengambil laras bahasa yang betul dan menerangkan dengan tertib. Bercakap tentang kaedah pencegahan yang umum bukan suatu konotasi negatif bahawa kita menyalahkan mangsa rogol atas pakaian beliau ketika itu. Tidak sama sekali. Dalam pencegahan jenayah, kita mengambil berat setiap faktor-faktor yang membuka peluang di level mana sekalipun bagi masyarakat umum.

Agama juga bukan sesuatu yang vakum. Ada integrasi naqli dan aqli. Hukum dan nasihat atas sesuatu perkara bukan sesuatu yang terpisah dari kehidupan seharian kita. Dalam kajian kita harus lihat antara causality (penyebab) dan correlation (kaitan). Pakaian bukannya penyebab rogol namun kaitan di antara pakaian dalam langkah pencegahan menutup ruang dan peluang jenayah perlu kita ambil berat.

Pelbagai punca membawa kepada jenayah rogol

Faktor kenapa lelaki merogol dan membuat gangguan seksual adalah pelbagai-faktorial (multifactorial). Antaranya seperti yang dilaporkan kajian ialah faktor individu, faktor hubungan dengan keluarga, faktor komuniti (undang-undang, sistem) dan faktor masyarakat (norma dll).

Dalam faktor individu, pornografi adalah suatu faktor utama yang menyumbang kepada fantasi seksual di kalangan lelaki. Dari segi biologi dan fisiologi, lelaki dan wanita berbeza dari segi rangsangan seksual, dimana lelaki lebih mudah teransang secara visual dan sentuhan berbanding wanita yang lebih kompleks. Dari sini, kita mudah memahami anjuran bahawa sedari awal, lelaki amat dianjurkan untuk menundukkan pandangan.  Namun sebagai perkongsian tanggungjawab bersama (shared responsibility), wanita sepatutnya bersama-sama mengurangkan ransangan visual tersebut. 

Dalam kajian Dress and sex: a review of empirical research involving human participants and published in refereed journals yang diterbitkan dalam tahun 2017 ada menyatakan bahawa pakaian tidak menjadi provokatif, sebaliknya kelakuan yang menyertai pakaian tersebut membuka peluang kepada lelaki yang memang telah ada niat jahat dalam dirinya untuk melakukan jenayah seksual. Kajian yang sama juga menyatakan bahawa pengkaji media dalam abad ke 20 membincangkan tentang fenomena objektifikasi-sendiri atau self-objectification iaitu penekanan berlebihan individu terhadap penampilan sendiri di media sosial mereka untuk merasakan diri mereka berharga melalui pengiktirafan. Mereka juga mengkaji bagaimana objektifikasi-oleh orang lain (other-objectification). Dalam kesimpulan mereka, pakaian memainkan peranan penting dalam kedua-dua jenis objektifikasi dan penting bagi kajian akan datang melihat kaitan antara pakaian dan keganasan.

Selain dari itu, menolak secara langsung kaitan pakaian dan jenayah seksual juga dikhuatiri akan kembali memangsakan wanita jika kita tidak menyimpulkan masalah ini secara cermat dan holistik. Dalam tahun 2018, pramugari syarikat penerbangan Cathay Pacific berjaya mendesak pihak pengurusan mereka menukar uniform mereka, dari skirt pendek kepada seluar. Selama 4 tahun mereka berjuang, menyatakan skirt pendek tersebut mendedahkan mereka kepada gangguan seksual.

Dalam bidang perhotelan, pekerja wanita di Barat juga mengadu bahawa skirt yang singkat dan tidak dibenarkan memakai seluar panjang ketika bekerja menjadi sebab utama mereka berhadapan dengan gangguan seksual. Justeru itu, amatlah malang jika majikan mereka bertegas tidak ingin mengubah peraturan tersebut menggunakan alasan bahawa pakaian tiada kaitan langsung dengan jenayah seksual, dan mengekalkan pakaian seksi sebagai kod pakaian pekerja. Secara fitrahnya, wanita yang bekerja itu inginkan keselamatan dalam mereka mencari rezeki.

Konteks perbincangan perlu bawa mangsa kepada keadilan

Oleh kerana itu, topik ini harus dibincangkan dalam konteks lelaki dan wanita itu sebagai keluarga. Dalam konteks lelaki sebagai pelindung setiap wanita bagi kehormatan dan kemuliaannya, dan wanita sebagai perhiasan yang memahami dia berkuasa dan istimewa membentuk masyarakat yang menjunjung tinggi nilai kesopanan, kekeluargaan dan keharmonian. Topik ini tidak sesuai dibincangkan dalam konteks feminism yang mencari salah siapa, lelaki atau perempuan? Yang memberi label misoginis, hatta kepada pesanan-pesanan ikhlas dari agama, dianggap sesuatu yang memudaratkan. Ia tidak menyelesaikan masalah.

Kepada mangsa rogol, kami sentiasa memberi sokongan. Jangan takut untuk tampil kehadapan. Masyarakat harus berubah dan membantu mangsa mencapai keadilan.

Prof Madya Dr. Rafidah Hanim Mokhtar

Presiden Perikatan Wanita Antarabangsa Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *