Pertahankan Kedudukan Mahkamah Syariah

Viewpoints

SUDAH tiba masanya bidang kuasa Mahkamah Syariah dalam negara dinaik taraf dan dikuatkuasakan di peringkat Persekutuan. Harapan umat Islam untuk melihat undang-undang Islam diberi penghormatan dan kedudukan yang sepatutnya kembali mekar apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menuntut supaya Pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 [Akta 355] direalisasikan sebelum beliau pergi. Biarpun berhadapan beberapa siri tentangan dan cabaran daripada golongan liberal, puak cauvinis dan parti politik berhaluan kiri, RUU 355 dipercayai bakal membuat kemunculan semula sejak pertama kali dibentangkan sebagai usul persendirian di Parlimen oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada tahun 2016.

Tatkala berbicara mengenai cabaran menaik taraf bidang kuasa Mahkamah Syariah, seringkali kita memetik peruntukan Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan, berkaitan bidang kuasa eksklusif Mahkamah Syariah. Ia jelas memberi implikasi bahawa Mahkamah Tinggi Sivil tidak boleh lagi ada campur tangan dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah. Pengasingan kuasa di antara institusi kehakiman syariah dan sivil menunjukkan bahawa Perlembagaan Persekutuan benar-benar mengiktiraf kedudukan Islam sebagai agama persekutuan sebagaimana termaktub dalam Perkara 3(1).

Hakim Yang Arif Dato’ Mohd Noor Abdullah ketika menafsirkan Perkara 3 di dalam kes Meor Atiqulrahman v Fatimah Sihi & Lain-lain menyatakan “Islam bukan setaraf dengan agama lain. Bukan duduk berganding bahu dengan agama lain atau berdiri sama tegak. Ia duduk di atas, berjalan dahulu, terletak di tempat medan, dan suaranya lantang kedengaran. Islam ibarat pokok jati. Tinggi, teguh, dan terang. Jika bukan sedemikian, Islam bukanlah agama bagi Persekutuan.”

Satu hakikat pahit yang perlu ditelan oleh masyarakat Muslim adalah bahawa masih wujud beberapa individu atau pihak yang sentiasa bergerak pantas serta konsisten dalam mencabar keabsahan keputusan Hakim Mahkamah Syariah dan peruntukan-peruntukan dalam Enakmen Syariah Negeri-negeri demi menegakkan hak atau berkepentingan mereka. Biarpun pindaan Perkara 121(1A) telah dilaksanakan dan Mahkamah Syariah kini mempunyai kuasa prerogatif yang mutlak dalam menentukan sesuatu perkara tanpa campur tangan, yang sebaliknya pula berlaku.

Pengasingan bidang kuasa yang bertujuan untuk menyelesaikan konflik undang-undang di antara Mahkamah Sivil dan Syariah nampaknya tidak berlaku apabila isu pentadbiran harta pusaka, hak pertukaran agama dan jenayah liwat dalam kalangan orang Islam masih boleh diputuskan oleh Mahkamah Sivil.

Jika pada tahun 2007 Mahkamah Persekutuan membuat keputusan bahawa pertikaian mengenai pertukaran agama anak secara sepihak adalah dalam bidang kuasa mahkamah syariah, tetapi akibat kelompongan enakmen Syariah negeri, isu “unilateral conversion” yang dibangkitkan semula oleh Indira Gandhi a/ p Mutho malangnya kini berada dalam bidang kuasa Mahkamah Sivil.

Kudis yang masih belum sembuh ditambah dengan luka baharu apabila Mahkamah Persekutuan baru-baru ini telah memberi kebenaran kepada seorang lelaki untuk mencabar keabsahan Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 berkenaan “persetubuhan luar tabii”. Perkara ini disambut baik oleh pendokong gerakan LGBTQ yang seolah-olah memandang jelik kedudukan utama Mahkamah Syariah dalam memberi arahan kepada mana-mana individu Muslim yang melakukan amalan songsang. Persoalannya: apakah peruntukan enakmen Jenayah Syariah negeri selama ini tidak mempunyai nilai di mata Persekutuan?

Sudah terang lagi bersuluh bahawa apa-apa konflik yang melibatkan individu Muslim perlu diselesaikan di peringkat Mahkamah Syariah dahulu sebelum diuruskan di peringkat Sivil berikutan kedudukan istimewa agama Islam di negara ini. Kedudukan Mahkamah Syariah tidak lagi dijadikan eksklusif buat orang Islam malah lari daripada niat sebenar pindaan Perkara 121(1A). Kerencatan pindaan RUU 355 di peringkat Parlimen turut disumbang oleh pendirian skeptik sebahagian masyarakat dan pemimpin kita terhadap keupayaan Mahkamah Syariah dan beranggap bahawa hukuman yang mengikut lunas agama sebagai kolot dan zalim. 

Tidak dapat tidak, kedudukan Mahkamah Syariah terletak pada kuasa pemerintahan tertinggi Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja setiap Negeri malah Perdana Menteri. YDPA telah bersumpah untuk mempertahankan Islam pada setiap masa, Perlembagaan pula meletakkan Islam pada kedudukan tersendiri malah terdapat peruntukan khusus untuk sistem pendidikan Islam. Oleh itu, tiada lagi alasan bagi sesiapa pun untuk tidak mendaulatkan undang-undang Islam melalui Mahkamah Syariah dan menuntut supaya RUU 355 diperkasa di peringkat Persekutuan.

Nur Farihah Meor Mazli
Exco Belia & Media
International Women’s Alliance for Family Institution & Quality Education (WAFIQ)

(Rencana ini telah disiarkan di akhbar Utusan Malaysia melalui ruang Cakna pada 21 Ogos 2020. Penulis juga merupakan salah seorang Kolumnis bahagian rencana di Utusan Malaysia.)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *