Menyamar untuk Cinta?

Viewpoints

Jika kita sudah hilang rasa cinta dan rasa hormat kepada sesama kita, pada saat itulah kita pada sebetulnya telahpun mati.’ – Maya Angelou.

Betapakah besar nilai hormat sebetulnya? Sehinggakan begitu sukar masyarakat zaman ini untuk saling hormat sesama manusia. Ada yang menghina hormat dengan menyerang keperibadian seseorang lain secara terus, tapi dek kerana ramai yang bacul sekarang ini, ada juga yang mengambil langkah lebih halus dengan mencemar hormat secara sembunyi. Tidaklah penghinaan terhadap rasa hormat ini dapat dimaafkan hanya dengan mengatakan semuanya dilakukan demi cinta.

Kebelakangan ini semakin banyak penularan mengenai kes-kes gangguan seksual di atas talian. Insiden ini berlaku kerana rangkaian internet telah memberikan ruang yang besar untuk menyorok identiti sebenar di sebalik pengguna. Bagi memperhalusi peruntukan undang-undang sedia ada, Penulis berharap dalam komitmen Kerajaan untuk menggubal Akta Gangguan Seksual, akan turut dimasukkan peruntukan yang khusus bagi mengharamkan perbuatan penipuan samaran atas talian bagi maksud untuk mempengaruhi mana-mana orang melakukan sebarang perbuatan berbentuk seksual.

Ini kerana semakin banyak kes yang melibatkan penipuan atas talian termasuklah apabila ada yang sanggup menyamar menggunakan identiti palsu untuk meraih cinta. Kes yang banyak didengar adalah apabila penipu (scammer) menggunakan kaedah ini dengan memuat naik nama palsu dan gambar mat salleh rupawan untuk menggoda mangsa sehingga berjaya mendapatkan ribuan ringgit daripada mangsa mereka dengan hanya bermodalkan cinta.

Namun, ada juga insiden di mana pemangsa atas talian melakukan ‘catfishing’ dengan menggunakan nama sebenar tetapi meletakkan pula gambar orang lain, yang selalunya lebih berupa daripada wajah sebenar pemangsa, sebagai samaran untuk menarik perhatian orang yang mereka sukai sehingga mangsa terpedaya dengan rupa paras yang dicuri pakai. Masalah timbul apabila mangsa bersetuju untuk memulakan perhubungan dengan pemangsa atas helah ini sehinggalah kebenaran terbongkar. Hal ini sememangnya dianggap remeh berbanding pelbagai lagi masalah dunia yang besar-besar tetapi kesan perilaku ini kepada mereka yang terlibat adalah amat menggoncang; hak privasi mereka dicabul dan reputasi mereka dijarah.

Sedangkan Artikel 12 Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia (UDHR) dengan jelas memperuntukkan perlindungan undang-undang bagi memelihara hak privasi. Walaupun di serata dunia, undang-undang bagi menangani penipuan dalam bentuk penyamaran (catfishing) sebegini masih belum meluas, namun di Malaysia, kita amat bertuah kerana peruntukan yang besar di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] turut memungkinkan kes-kes pemalsuan identiti atau penyamaran atas talian disiasat di bawah peruntukan Akta 588.

Sebagai contoh, pemalsuan identiti boleh disiasat sebagai suatu kesalahan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta 588, yang ringkasnya memperuntukkan bahawa seseorang yang menggunakan mana-mana kemudahan atau perkhidmatan rangkaian atau aplikasi bagi memulakan komunikasi yang palsu dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain boleh boleh didenda tidak melebihi RM50,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi setahun atau kedua-duanya.

Misalnya dalam kes rayuan Ahmad Abd Jalil v. PP [2015], perayu telah menggunakan nama ‘Zul Yahya’ sebagai samaran semasa melakukan kesalahan memuat naik komen jelik terhadap Sultan Johor di laman media sosial, Facebook. Walaupun tumpuan penyiasatan dan pertuduhan adalah mengenai penyiaran komen jelik yang dilakukan perayu, tetapi tidaklah boleh dinafikan penyiasatan pihak polis telah mengorek fakta kes melangkaui identiti palsu yang digunakan sehingga membolehkan pihak polis mendedahkan identiti sebenar perayu sebagai pihak yang memuat naik komen jelik itu. Begitu juga dengan pertuduhan terhadap kartunis terkemuka Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin v. PP [2019] yang melibatkan penyiaran gambar yang dilekatkan dengan logo Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (‘SKMM’) secara palsu.   

Tambahan pula di bawah Seksyen 416 Kanun Keseksaan [Akta 574] menjadikan menipu dengan jalan samaran sebagai suatu kesalahan yang boleh dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tidak melebihi 7 tahun atau dengan denda atau kedua-duanya. Peruntukan ini dengan jelas membolehkan mana-mana orang yang menipu dengan berpura-pura sebagai orang lain disabitkan kesalahan. Harus ditekankan bahawa peruntukan Seksyen 415 Akta 574 yang mentakrifkan kesalahan tipu tidak menghadkan kesalahan kepada kesan penipuan, cukup bahawa telah wujud niat penipuan melalui penyamaran.

Maka jikapun mangsa tidak kerugian wang ringgit, cukup dengan kerosakan atau mudarat kepada badan, ingatan, atau reputasi, mangsa boleh membuat aduan tentang insiden penipuan di atas talian ini kepada pihak polis. Sayangnya, rata-rata tindakan yang kerap diambil SKMM atas pengaduan penipuan identiti dalam media sosial adalah dengan menutup akaun media sosial itu. Tindakan ini lemah kerana dengan mudah akaun baru boleh dibuka pemangsa. Suatu langkah yang lebih bertaring dan efektif harus diadakan segera.

Pengguna media sosial juga perlu semakin peka untuk lebih berhati-hati dalam meneruskan interaksi atas talian dan beringat bahawa di mana kayu bengkok, di sanalah musang meniti. Jangan beri peluang kepada pemangsa atas talian untuk menggunakan rangkaian sebagai tabir menyamar identiti mereka sehingga merendahkan nilai hormat dalam interaksi sesama kita. Jadilah rakyat Malaysia yang sedar dengan hak dan nilai hormat diri sendiri sehingga segan untuk kita merendahkan kehormatan orang lain.

Fatihah Iliani Jamhari
Ketua Exco Undang-Undang & Hak Asasi
International Women’s Alliance for Family and Quality Education
WAFIQ

(Rencana ini telah disiarkan di akhbar Utusan Malaysia melalui ruang Cakna pada 4 September 2020. Penulis juga merupakan salah seorang Kolumnis bahagian rencana di Utusan Malaysia)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *