Isu Vaksin : Menggunakan Akal Dalam Menilai Teori Konspirasi

Education Health Prof Madya Dr Rafidah Hanim Statements

WHO telah mengisytiharkan Virus Zika sebagai satu Darurat Kesihatan Global “Global Health Emergency” pada 1 Februari 2016. Virus Zika ini dikatakan telah menyebabkan beribu-ribu kelahiran bayi dengan kecacatan kepala dan otak yang kecil “microcephaly” di Brazil. Semenjak bulan November 2014, negara Brazil telah mencatatkan 404 kes bayi baru lahir yang disahkan sebagai microcephaly, 17 darinya telah disahkan kaitan dengan virus tersebut. Pihak kesihatan Brazil masih menyiasat 3,670 kes yang disyaki.

Pada hari Jumaat lepas, 5 hari selepas WHO mengisytiharkan darurat, pihak kesihatan Brazil melaporkan bahawa virus Zika turut dikesan melalui air liur dan air kencing. Ini mendorong presiden bagi sebuah pusat kajian biomedik di Brazil menggesa agar wanita mengandung mengelakkan ciuman bebas terutama dari orang yang tidak dikenali, sementara Amerika Syarikat melalui Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit ( U.S. CDC) mengambil langkah lebih ketat dengan mengeluarkan nasihat agar lelaki yang mengunjungi ke negara-negara yang dilanda wabak menggunakan kondom atau mengelakkan seks bersama pasangan yang mengandung.

Masyarakat perubatan mengikuti dengan teliti perkembangan virus Zika, dimana sehingga kini belum ada vaksin baginya, sama seperti penyakit penyakit bawaan nyamuk yang lain seperti Denggi dan Chikugunya. Walaupun ada kajian klinikal berskala kecil melibatkan 25 pesakit di Amerika Syarikat, yang telah diterbitkan oleh jurnal Lancet dalam tahun 2014, telah menunjukkan keputusan memberangsangkan tentang keberkesanan vaksin yang dihasilkan mereka ke atas virus Chikugunya, hakikatnya kos yang tinggi dan kajian klinikal dalam skala besar memerlukan masa sehingga 4-5 tahun sebelum vaksin dapat dihasilkan dan diuji keberkesanannya.

TEORI KONSPIRASI DAN KEMPEN PENOLAKAN VAKSIN

Wabak virus Zika dengan pantas menjadi satu lagi peluru berpandu oleh gerakan anti-vaksin bagi menolak vaksin sedia ada dalam melawan penyakit serius terutama dikalangan kanak-kanak.

Teori konspirasi Yahudi dengan mudah disogok agar umat Islam menolak sesuatu yang bermanfaat. Ini menyebabkan sebahagian umat Islam menjadi malas untuk membaca dan menganalisa bukti-bukti dan fakta sains yang ada untuk membuat kesimpulan. 

Dalam kes virus Zika misalnya, terdapat dakwaan bahawa wabak ini disebarkan secara sengaja oleh pihak-pihak tertentu dengan membebaskan nyamuk yang telah mengalami perubahan genetik didalam makmal atau “genetically modified (GM)” ke kawasan tertentu di Brazil. Hakikatnya, kemajuan penyelidikan di Barat telahpun mampu sehingga menghasilkan strain nyamuk jantan GM melalui kajian makmal dan kajian dilapangan. Oxitec sebuah syarikat di Britain, menghasilkan nyamuk jantan ini sebagai langkah mengurangkan pembiakan nyamuk Aedes aegypti yang membawa virus denggi. Apabila nyamuk GM ini mengawan dengan nyamuk betina Aedes aegypti, ia menghasilkan larva nyamuk yang tidak dapat hidup lama.

Kajian kawalan pembiakan begini melaporkan kejayaan mengurangkan populasi nyamuk Aedes sebanyak 80% di Pulau Cayman pada tahun 2010 dan sebanyak 95% di Brazil pada tahun 2011. Kajian sebegini mempunyai potensi untuk mengurangkan kadar penyakit demam denggi dengan menghapuskan vektornya, nyamuk Aedes. Virus Zika pula hanya mula dilaporkan di kawasan endemik di Brazil yang jauhnya 300km dari kawasan dimana nyamuk GM dilepaskan pada tahun 2014. Dengan kitaran nyamuk yang singkat, juga dengan fakta nyamuk GM yang tidak menghasilkan baka yang hidup lama, saintis merasakan amat sukar bagi virus GM ini yang bertanggungjawab ke atas penyebaran virus Zika.
Maka terdapat pula dakwaan bahawa ini satu konspirasi bagi memusnahkan etnik dan bangsa tertentu melalui pengawalan kelahiran.  

Dibawa pula teori virus Zika, yang dikatakan dicipta oleh Rockefeller Foundation sejak tahun 1947 dan dikatakan telah dipaten. Bagi mereka yang biasa dengan kajian mikrobiologi, pembelian strain virus yang tidak berbahaya adalah satu keperluan bagi kajian dan terdapat syarikat-syarikat yang diberi lesen untuk membekalkannya. American Type Culture Collection (ATCC) adalah salah satu syarikat tersebut, dan saintis dari Rockefeller Foundation yang bernama Dr. Jordi Casals di Rockefeller Foundation Virus Laboratory telah mendeposit atau menyimpan virus tersebut pada tahun 1953. Dr Jordi Casals adalah seorang pakar virologi terkemuka.

Hakikatnya, kajian-kajian sains telah dilakukan secara terbuka, dan kita dengan mudah menuduh ianya satu konspirasi. Setiap orang berhak mempunyai perasaan curiga, namun perasaan curiga itu biarlah didasari dengan ilmu, mendapat nasihat pakar dan tidak terburu-buru menolak  penolakan perkara yang memanfaatkan seperti vaksin.

Jika kes virus Zika dan nyamuk GM disasarkan untuk menguasai pasaran vaksin dan melemahkan umat Islam, saya kira negara Amerika Syarikat dimana bertapaknya Rockefeller Foundation juga harus risau, kerana sebahagian dari  Amerika Syarikat yang beriklim tropika adalah diantara negara-negara yang turut dijangkiti virus Chikugunya, juga sejenis penyakit bawaan nyamuk. Seperti yang dinyatakan diatas, Amerika Syarikat telah mengambil langkah berjaga-jaga dalam mengawal penularan virus Zika.

Keratan akhbar Berita Harian, 2016

MEMBEZAKAN MASALAH

Sebahagian masyarakat Islam tidak dapat membezakan di antara hakikat ubat yang berkesan dengan konspirasi dan kapitalisma yang melibatkan ubat-ubatan.

Manusia boleh mengadakan konspirasi melibatkan ubat/vaksin yang berkesan.Manusia boleh mengamalkan kapitalisma melibatkan ubat yang berkesan (sudah tentu, tiada untungnya membuat pelaburan ke atas sesuatu yang tidak berkesan).

Adakah kita menolak ubat/vaksin yang berkesan semata-mata kerana menentang kedua-dua elemen? Adakah ini cara berkesan? Tidak. 

Adakah membantah kapitalisma dan konspirasi (yang masih bersandarkan teori) boleh memudaratkan masyarakat? Ya. Memudaratkan kerana masyarakat menjauhi ubat-ubatan dan vaksin yang telah terbukti berkesan. Bahkan tidak keterlaluan jika dikatakan mempercayai teori konspirasi konon vaksin memudaratkan manusia, lebih mempercepatkan objektif dan tujuan konspirasi tersebut bagi benar-benar memudaratkan masyarakat Islam dengan tidak mengambil vaksin terbabit umpamanya. Kita sudah ada kematian akibat kes batuk kokol sejak gerakan anti vaksin diperhebat di Malaysia. 

Saya tidak menolak adanya konspirasi didalam kehidupan kita. Apa itu konspirasi? Ringkasnya, permuafakatan atau persekongkolan rahsia bagi melakukan kejahatan. Ada konspirasi yang telah dapat dibuktikan dan ada yang masih diselaputi teori. Konspirasi pembunuhan ahli politik, konspirasi yang membawa kepada kejatuhan sistem kewangan dan konspirasi yang mencetuskan peperangan adalah contoh konspirasi yang dapat dijelaskan dengan bukti-bukti nyata melalui pengakuan dan dokumen-dokumen rahsia yang didedahkan.  Contohnya ialah Perjanjian Sykes-Picot 1916 yang mendedahkan konspirasi Perancis dan Britain membahagi-bahagikan negara-negara Arab Timur Tengah sesama mereka setelah mencetuskan peperangan. Mereka juga berkonspirasi, dengan bantuan Israel bagi mencetus krisis terusan Suez dan seterusnya penjajahan Palestin oleh Israel sehingga ke hari ini. Amerika Syarikat juga berkonspirasi dengan pihak Britain dalam menjustifikasikan serangan ke atas Iraq melalui senjata pemusnah besar-besaran (Weapon of Mass Destruction) dalam tahun 2003. Walhal, dossier dan dokumen penyiasatan tentang Iraq membuktikan tidak wujud senjata sedemikian.

Adakah boleh, sesuatu pihak berkonspirasi dengan menggunakan perkara yang bermanfaat kepada manusia? 

Boleh, tetapi ianya mestilah disertakan bukti. Setiap kali wabak melanda, ia mencemaskan semua negara kerana virus dan bakteria tidak memilih genetik manusia. Faktor iklim dan pemakanan mungkin membeza-bezakan kadar jangkitan disesuatu negara, tetapi tiada bangsa-bangsa tertentu yang kebal dari serangan penyakit-penyakit berjangkit. Dan Allah SWT juga menjadikan semua bangsa berupaya menjana imuniti masing-masing dengan kemajuan yang ada melalui ubat-ubatan dan vaksinasi. Sudah semestilah begitu kerana rahmat Allah SWT meliputi semua yang diciptakannya. Tidak adil bagi Allah mencipta segolongan manusia, yang mempunyai genetik tertentu, yang dengannya mereka kebal, lalu berupaya menghasilkan sesuatu penyakit yang membinasakan orang lain, atau segolongan manusia itu mempunyai genetik yang mudah dihidapi penyakit, yang dengannya ia selalu menjadi sasaran serangan biologi. 

Lihatlah ayat Allah SWT dalam surah Al- Baqarah ayat 62 yang menggambarkan Allah SWT adil kepada semua bangsa selagi mereka beriman kepada Allah SWT.

Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang Yahudi dan orang-orang Nasora (Nasrani), dan orang-orang Saabien sesiapa di antara mereka itu beriman kepada Allah dan (beriman kepada) hari akhirat serta beramal soleh, maka bagi mereka pahala balasannya di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) kepada mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.

Bagaimana pula dengan  kapitalisma?

Kapitalisma membuat keuntungan dengan apa sahaja selagi ia menguntungkan. Ya, tidak dinafikan syarikat-syarikat besar ubat-ubatan juga syarikat pengeluar vaksin cuba mengambil kesempatan dari keperluan manusia. Ada monopoli ke atas ubat-ubatan dan vaksin. 

Tetapi adakah ubat dan vaksin itu berkesan dan haruskah kita menolak vaksin dengan alasan ia datang dari syarikat gergasi ubat-ubatan, yang sering disebut “The Big Pharma?”

Masyarakat antarabangsa juga terkesan dengan kapitalisma Big Pharma dan mereka sedar, sebagaimana kita, cara untuk melawan isu monopoli ini adalah melalui saluran perundangan dan pengawalan penjualan, bukan menolak ubat-ubat atau vaksin yang berkesan.

Kita lihat kes Turing Pharmaceuticals AG dan Valeant Pharmaceuticals International Inc, dua syarikat farmaseutikal  yang menaikkan harga ubat keterlaluan. Turing Pharmaceuticals, sebagai contoh menaikkan harga Daraprim, satu-satunya ubat yang boleh merawat toksoplasmosis dikalangan pesakit yang rendah daya tahan imuniti seperti AIDS, pesakit barah dan wanita mengandung sebanyak 5000%!!!. Daraprim telahpun tamat tempoh patennya beberapa tahun yang lalu dan tidak ada sebab kenapa mereka berbuat demikian.

Valeant Pharmaceutical pula menaikkan harga 2 ubat jantung Nitropress dan Isuprel sebanyak 500% sedangkan mereka bukanlah syarikat yang mencipta ubat berkenaan, sebaliknya mengamalkan kapitalisma yang teruk dengan membeli syarikat ubat asal dan menaikkan harga dengan sewenang-wenangnya.

Kedua-dua syarikat ini telah dipanggil untuk memberi keterangan atas tindakan mereka oleh Kongress Amerika Syarikat yang telah menyelidik dokumen-dokumen syarikat ini.

Bahkan elemen kapitalisma ini juga wujud dalam beberapa perubatan alternatif atau jualan barangan yang bersulamkan dengan ayat al-Quran yang didagang, dengan harga yang tidak munasabah di negara kita. Lebih malang, golongan ini mereka-reka fakta sains (pseudoscience) dan mengabaikan teras utama ilmu dalam Islam, iaitu penjelasan mekanisma yang jelas, yang lazimnya tidak dapat mereka buktikan melalui kaedah pengujian dan klinikal trial. Tiada bezanya kapitalisma jenis ini dengan “Big Pharma”. 

Keratan akhbar Berita Harian, 2016

TEORI KONSPIRASI MENOLAK PERKEMBANGAN ILMU SAINS DIKALANGAN UMAT ISLAM

Dalam pergolakan geopolitik, saya tidak menafikan ada cita-cita kuasa-kuasa besar yang ingin menjadikan kita terus menerus sebagai pengguna, mengaut hasil kekayaan negara dengan amalan kapitalisma dan perjanjian pasaran bebas yang sebenar-benarnya amat berat sebelah. Konspirasi begini, bersandarkan kepada hawa nafsu manusia yang ingin mengumpul kekayaan, dan mereka yang terjebak adalah mereka yang terpedaya dengan runtunan hawa nafsu sendiri. 

Namun dalam banyak isu, kita harus bijak mempertimbangkan tindakan kita agar tidak merugikan umat dari sudut kesihatan dan keilmuan. 
Sampai bila kita harus menjadi masyarakat yang menolak nasihat doktor dan mengabaikan institusi fatwa yang telahpun secara jelas menyokong penggunaan vaksin dalam mengawal penyebaran penyakit?

Gerakan antivaksin ini telah banyak memudaratkan kita. Menurut profil imunisasi Malaysia seperti yang direkodkan oleh WHO, kes batuk kokol (yang dicegah melalui pemberian vaksin Dtap) telah menurun dari 97 kes pada tahun 1980 kepada hanya 15 kes pada tahun 2007. Walaubagaimanapun, jumlah kes ini meningkat mendadak dari 46 kes pada tahun 2010 kepada 249 kes, dalam masa setahun (2011).

Kurangnya kes batuk kokol, sehingga saya sendiri ketika berkhidmat sebagai seorang doktor di hospital dan diklinik kesihatan di antara tahun 1999-2000, tidak pernah menerima pesakit campak dan batuk kokol kerana masyarakat amat mematuhi arahan doktor ketika itu. Saya kasihan kepada generasi doktor dan jururawat muda sekarang. Mereka terpaksa berhadapan dengan ibubapa yang menolak vaksin, menerima pesakit-pesakit batuk kokol contohnya untuk dirawat, dan sekembalinya ke rumah para doktor dan jururawat ini terpaksa memastikan keselamatan anak-anak mereka sendiri yang belum divaksin kerana masih kecil. 

Dari sudut perkembangan ilmu sains, ribuan pelajar kita mengambil jurusan dalam bidang mikrobiologi, kedoktoran, farmakologi, farmaseutikal, bioteknologi, genetik molekular, entomologi, zoologi dan zoonosis. Kita mempunyai ramai pakar Muslim didalam bidang-bidang berkenaan. Kita bencikan monopoli syarikat farmaseutikal tetapi monopoli mereka adalah kerana mereka masyarakat yang menguasai ilmu dan teknologi. Merebut kembali ilmu dan teknologi itu tidak akan tercapai jika kita mengambil langkah silap dengan bergantung kepada teori konspirasi ini secara membabi buta yang menyebabkan masyarakat kita terdedah kepada penyakit, dan memulaukan ilmu sains itu sendiri. Sedangkan dalam sejarah keilmuan umat Islam di Andalus, para sarjana Islam mentafsir dan menghargai ilmu-ilmu dari Yunani dan Greek, yang dengannya mereka membina ketamadunan Islam di Kordoba, yang kemudiannya menjadi rujukan cendekiawan Barat selama berabad.

Kita dalam rangka mendapatkan kembali ilmu yang hilang agar umat Islam dapat menguasai kembali ilmu perubatan, sains dan teknologi. 

Artikel ini ditulis pada tahun 2016 oleh Professor Madya Dr. Rafidah Hanim Mokhtar, Presiden Perikatan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) dan Naib Presiden Ikatan Pengamal Perubatan Dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) dan telah disiarkan di akhbar Berita Harian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *