Di Mana Kita Saat Nabi Dihina?

Islam & Hadith Research Statements

Rabiul Awwal yang juga adalah bulan kelahiran baginda Rasulullah SAW muncul lagi, namun kali ini ia dicemari isu penghinaan ke atas Baginda. Apakah perjuangan ke arah kebebasan bersuara bererti seseorang individu itu boleh sebebasnya menghina? 

Isu ini sebenarnya bukan baharu dalam mendepani Islamophobia yang masih berlaku seluruh dunia, tetapi ia tidak sepatutnya menjadikan diam sebagai norma baharu apabila Nabi SAW masih sewenang-wenangnya dihina.

Kritikan terhadap baginda telah terjadi ketika baginda masih hidup dan sadisnya, ia lagi terjadi sehingga abad ke-21 kini. Antara punca utama penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW adalah kerana perbezaan pegangan agama. Malah, peribadi dan kehidupan baginda dinilai sebegitu terperinci yang menjadi bahan kajian dalam kalangan sarjana barat.

Adapun begitu, salah satu bentuk penghinaan ke atas Nabi adalah melalui lukisan dan menggambarkan jasad baginda disebabkan Baginda adalah manusia biasa. Sikap ingin tahu yang mendadak akan gambaran Baginda telah digunakan sebagai hak kebebasan bersuara.

Isu karikatur Nabi Muhammad pernah terjadi beberapa kali sebelum ini apabila Jyllands-Posten yang menggambarkan Nabi Muhammad sebagai pengganas dengan bom pada tahun 2005. Beliau telah menerbitkan 12 kartun editorial yang menggambarkan Nabi Muhammad dan sebuah artikel yang bertajuk “Wajah Muhammad” sebagai salah satu usaha untuk menyumbang kepada perdebatan mengenai kritikan terhadap Islam. Muslim di Denmark memberontak dan menyebabkan protes di seluruh dunia dengan mengadakan demonstrasi ganas dan rusuhan di beberapa negara Islam.

Pada tahun 2006, program komedi televisyen animasi Amerika telah menyiarkan sebuah rancangan South Park dalam episod “Super Best Friend” dengan menggambarkan Nabi Muhammad sebagai watak superhero serta cuba menyindir kejadian akhbar Denmark.

Pada tahun 2015, dunia digemparkan pula dengan serangan terhadap Charlie Weekly di Paris. Ia merupakan salah satu akhbar harian Perancis yang menggunakan medium tulisan untuk menghina Nabi Muhammad dan Islam. Charlie Hebdo telah menerbitkan semula kartun Jyllands-Posten dan meneruskan tindakan mereka dengan memaparkan kartun Nabi Muhammad termasuk karikatur bogel.

Bagi mereka, tindakan ini adalah bagi memperjuangkan hak kebebasan bersuara dam Penerbitan. Kesan dari kejadian ini, pelbagai serangan dilakukan ke atas Perancis dan Ulama Islam seluruh dunia mengecam Charlie Hebdo agar mereka tidak lagi menyiarkan mengenai Nabi Muhammad.

Berulang pada tahun 2020, isu penghinaan ke atas Nabi terjadi lagi di Perancis selepas Presiden Emmanuel Macron mengkritik umat Islam serta berikrar mempertahankan kartun yang menggambarkan Nabi Muhammad SAW. Beliau membela sebuah insiden yang berlaku apabila seorang guru, Samuel Paty, dipenggal oleh seorang remaja di luar sekolahnya yang terletak di pinggir kota luar Paris pada awal bulan ini.

Sebagai guru, tindakan Paty yang menggunakan karikatur bagi menggambarkan Nabi Muhammad SAW ketika kelas berkaitan kebebasan bersuara adalah tindakan biadap kerana tidak peka dengan sensitiviti agama.

Disebabkan kejadian ini, negara-negara termasuk UK, Kuwait, Qatar, Palestin, Mesir, Algeria, Jordan, Arab Saudi dan Turki, menyatakan bantahan terhadap Perancis. Seruan boikot terhadap produk buatan Perancis juga telah dilancarkan dan kempen ini semakin meluas dengan popularnya tagar #Boycottfranceproducts di Twitter.

Walau bagaimanapun, masih ada segelintir umat Islam yang masih tidak cakna akan isu penghinaan ke atas Nabi ini. Imaginasi lukisan atau gambaran atau karikatur Nabi Muhammad SAW sama ada secara langsung atau tidak langsung tidak dibenarkan sama sekali kerana ia boleh menjurus kepada memasukkan unsur-unsur khurafat, tahyul dan khayalan ke dalam aqidah Islam. Tambahan, cubaan untuk menggambarkan jasad Nabi adalah mustahil dan hanya memberi implikasi negatif yang wajib dielakkan oleh masyarakat Islam dan bukan Islam.

Seperti mana yang telah dinyatakan di dalam ayat-ayat al-Quran, amalan menghina Nabi telah terjadi ketika Baginda masih hidup. Allah berfirman, “Dan di antara mereka (yang munafik itu) ada orang-orang yang menyakiti Nabi sambil mereka berkata: “Bahawa dia (Nabi Muhammad) orang yang suka mendengar (dan percaya pada apa yang didengarnya)”. Katakanlah: “Dia mendengar (dan percaya) apa yang baik bagi kamu, ia beriman kepada Allah dan percaya kepada orang mukmin, dan ia pula menjadi rahmat bagi orang-orang yang beriman di antara kamu”. Dan orang-orang yang menyakiti Rasulullah itu, bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” (Surah al-Taubah: 61)

Manakalah hukum menghina ataupun menyakitkan SAW sendiri dalam apa jua cara sekalipun adalah sangat ditegah dan diharamkan oleh syariat berpandukan firman Allah SWT: “Sesungguhnya orang-orang yang melakukan perkara yang tidak diredai Allah dan RasulNya, Allah melaknatkan mereka di dunia dan di akhirat, dan menyediakan untuk mereka azab seksa yang menghina.” (Surah al-Ahzab: 57)

Sesungguhnya perbuatan menghina Nabi Muhammad SAW, para sahabat dan keluarga Baginda adalah satu perbuatan di luar norma batasan manusia dan tidak boleh sama sekali dijadikan sebagai norma baharu. Rasa cinta dan sayang kepada Nabi SAW perlu dipupuk dan disuburkan pada setiap masa kerana Baginda merupakan utusan dan rahmat ke atas sekalian manusia.

Mencintai Rasulullah SAW merupakan kewajiban bagi setiap Muslim, dan menjadi tanggungjawab kita bersama untuk sentiasa menzahirkan rasa cinta kepada baginda. Percaya kepada para nabi menjadi salah satu rukun Iman, dan cinta kepada baginda Rasulullah SAW adalah perlu melebihi daripada cinta kepada sekalian manusia.

Seperti di dalam hadis telah dinyatakan, “Tidak sempurna iman seseorang itu sehingga cintanya kepadaku melebihi cintanya kepada anaknya, bapanya serta manusia lain keseluruhannya.” (HR Muslim)

Saat Nabi SAW dihina, wajar ditanya di dalam setiap diri kita akan apa yang mampu dilakukan untuk membela kehormatan Baginda. Adakah cukup untuk memboikot atau menganjurkan demonstrasi jalanan bagi membantah tindakan para penghina Nabi?

Tepuk dada, tanya Iman. Cinta kepada Nabi bukan sekadar cinta biasa yang mengikut normalisasi yang ada, tetapi kerana Allah dan penghargaan atas tersebar luasnya Islam kepada kita.

Dr. Nur Saadah Khair
Exco Kajian Islam & Hadis
International Women’s Alliance for Family and Quality Education
WAFIQ

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *