Islamofobia : Bila Menteri Nak Ambil Tindakan?

Viewpoints

“BERANAK kandung, beranak tiri: ada bersudu daun labu, ada bersudu daun lalang.” – Peribahasa Melayu.

Isu Islamofobia semakin rawak dan makin ramai juga orang Islam yang terasa tempias kebencian ini dek kerana prejudis, diskriminasi dan prasangka yang jelas kelihatan setiap kali ada yang mengungkapkan ujaran kebencian terhadap Islam serta semua yang terpaut dengan agama suci ini. Anehnya di Malaysia juga Islamofobia tetap dirasai sedangkan demografi negara ini majoriti adalah Muslim. Sungguh jelik Islam di pandangan mata mereka yang tidak hormat dengan adab hidup bermasyarakat.   

Pada 3 November lalu, Kamar Khas Dewan Rakyat telah memperbahaskan usul Bantahan Keras terhadap Kenyataan Berunsur Islamofobia oleh Presiden Perancis yang dikemukakan Ahli Parlimen Pokok Sena. Perbahasan ini turut dihadiri Timbalan Menteri Luar Negeri dan telah memakan masa hampir sejam bagi memberi ruang kepada ahli-ahli parlimen untuk menyatakan pendirian mereka mengenai isu ini. 

Namun dalam berdegar-degar mereka berbahas di Dewan Rakyat, realitinya tiada yang peduli apabila Islamofobia diamalkan dalam negara ini sendiri. Sebagai umat Islam, saya sudah jelak setiap kali insiden Islamofobia berlaku tanpa pembelaan terutama memikirkan bagaimana kita menghuni dalam negara yang menjadikan ‘Kepercayaan kepada Tuhan’ sebagai prinsip utama dalam jati diri nasional. 

Meskipun sudah diingatkan berkali-kali, hasilnya tetap sama. Media sering memanipulasi isu yang melibatkan orang Islam melalui kanta mata prejudis dan kebencian. Bukan saja media alternatif yang sering melakukan kesalahan ini, malah lebih membimbangkan apabila media arus perdana turut mengamalkan sentimen yang sama.

Dalam bulan Mei 2017, saat rakyat Malaysia girang menyambut hari pertama Ramadhan, akhbar The Star telah menyiarkan dalam muka depan gambar jemaah mendirikan solat terawih bersama berita berjudul ‘Ketua Pengganas Malaysia’. Setelah dikecam orang ramai, The Star mengemukakan permohonan maaf dengan mengatakan kaitan yang dibuat orang ramai di antara gambar dan judul berita adalah tidak disengajakan. 

Sayangnya, sikap akhbar ini tidak berubah. Dalam tahun 2018, diulang sekali lagi prejudis terhadap Islam apabila The Star menyiarkan berita berjudul ‘Yeoh: Kekalkan mereka di sekolah hingga 17 tahun boleh membendung perkahwinan kana-kanak,’ dan disertakan gambar seorang kanak-kanak dalam telekung sebagai gambar hiasan. 

Gambar hiasan ini seolah-olah memberi persepsi kononnya lebih ramai kanak-kanak Muslim yang berkahwin di bawah umur. Sedangkan realiti menunjukkan pada tahun 2017, peratusan perkahwinan bawah umur bagi pasangan bukan Muslim adalah lebih tinggi berbanding pasangan Muslim. Teguran kepada akhbar The Star telahpun diberikan bagi memperingatkan mereka tanggungjawab untuk menyampaikan laporan secara adil dan telus. 

Kendatipun begitu, sekali lagi pada tahun ini, The Star mengulangi insiden sebegini dalam berita berjudul ‘NGO menyeru agar lebih banyak kempen kesedaran menentang perkahwinan kanak-kanak di Sabah.’ Setelah ditegur, The Star telah membuang gambar hiasan yang dilampirkan tapi yang sejengkal tidak dapat jadi sedepa. Prejudis yang jelas kelihatan sudahpun terserlah. 

Malah hanya sehari sebelum itu, laman Facebook The Star telahpun menyiarkan petikan yang salah berbunyi ‘Lelaki itu adalah imam di masjid’ bagi mengiringi berita berjudul ‘Seorang lelaki tempatan, wanita asing ditahan kerana disyaki membuang bayi mati berhampiran masjid’. Petikan yang digunakan memberikan tanggapan salah seolah-olah lelaki yang ditahan bagi kes pembuangan bayi berhampiran masjid adalah imam masjid. Walhal berita itu mengatakan bayi yang dibuang berhampiran masjid telah ditemui oleh imam masjid berkenaan. 

Dengan insiden yang berlaku berkali-kali ini, sudah tiba masanya akhbar The Star ditegur dengan lebih keras oleh Menteri yang bertanggungjawab ke atas pencetakan akhbar dan multimedia. Sikap sambil lewa dan prejudis kuat ke atas umat Islam harus dilihat sebagai pelanggaran hak asasi manusia dan ancaman terhadap perpaduan sosial. Dalam pada kita bersungguh-sungguh memperjuangkan hak asasi manusia bagi umat Islam di Perancis, tidakkah kita segan apabila media tempatan melakukan perihal sama di tanah air? 

Sentimen dan ujaran kebencian yang jelas merupakan suatu insiden Islamofobia tidak boleh dianggap enteng lalu dibiarkan berleluasa. Terutama apabila dalam semua instrumen hak asasi manusia menyebut kepentingan memberikan hak beragama dan beramal. Apakah hak ini hanya terpakai saat membangkitkan diskriminasi kepada golongan minoriti saja sedangkan apabila diskriminasi yang sama ke atas kumpulan majoriti, harus didiamkan dan diendahkan? Jangan berhipokrit dalam mempertahankan hak asasi manusia!

Fatihah Iliani Jamhari
Ketua Exco Undang-Undang & Hak Asasi
International Women’s Alliance for Family and Quality Education
WAFIQ

(Rencana ini telah disiarkan di akhbar Utusan Malaysia melalui ruang Cakna pada 4 Disember 2020. Penulis juga merupakan salah seorang Kolumnis bahagian rencana di Utusan Malaysia)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *