Percepat Akta Gangguan Seksual

Viewpoints

PERIBAHASA ‘kerbau dipegang talinya, manusia dipegang janjinya’ bagai tidak membawa apa-apa makna kepada penggubal undang-undang yang masih teragak-agak untuk meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Gangguan Seksual. Tahun 2020 yang seharusnya melihatkan pembentangan terperinci mengenai Akta tersebut menjadi tergendala akibat kemelut politik yang tiada penghujung ditambah pula penangguhan persidangan berikutan bencana Covid-19. Apa lagi rakyat mahu harapkan daripada mereka di tampuk kepimpinan selepas bertahun lama aktivis kemanusiaan lantang memperkatakan tentang kekurangan peruntukan khas namun tiada tanda persetujuan dari pihak Menteri?

Penulis yakin dan pasti bahawa percambahan kes gangguan seksual baik secara fizikal, lisan dan bukan lisan serta psikologi adalah disebabkan oleh ketiadaan garis panduan khusus mengenai langkah pencegahan dan perlindungan mangsa dari gejala amang seksual. Kendatipun terdapat peruntukan di dalam antara lain, Kanun Keseksaan, Akta Kerja 1955 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, ia masih belum mampu untuk menghalang pelaku daripada mencabul kehormatan dan mengaibkan maruah diri si mangsa. Tidak dinafikan hukuman tersedia seperti penjara dan sebatan sivil yang cukup memeritkan sudahpun memadai sebagai satu bentuk pengajaran buat pesalah namun ketiadaan sistem tersusun di setiap peringkat akhirnya melumpuhkan perjuangan membanteras aktiviti kesalahan seksual.

Setuju atau tidak jika saya katakan bahawa ketika hukuman diputuskan oleh Majistret atau Yang Arif, nasi sudah menjadi bubur. Keadilan buat rakyat terutamanya mangsa dan keluarga mangsa yang terpaksa menghadapi sendiri kesan gangguan seksual masih tidak dicapai kerana elemen pendidikan tidak diperuntukkan bagi mengajar orang awam apa itu keselamatan dan kesihatan seksual. Hasil daripada itu, boleh dikatakan hampir setiap hari media massa melaporkan insiden malang membabitkan kanak-kanak bawah umur, orang kurang upaya (OKU) serta remaja lelaki dan perempuan yang diperkosa, diliwat atau diserang oleh pemangsa yang turut tergolong dalam kalangan ahli keluarga dan kenalan rapat.

Justeru itu, sebuah Akta yang berdiri secara sendiri atau ‘stand on its own’ perlu diluluskan di peringkat Parlimen bagi memperincikan segala bentuk gangguan yang bersifat seksual bagi semua sektor pekerjaan dan tempat awam, baik secara berhadapan atau atas talian. Penulis percaya bahawa cadangan yang dikemukakan Pertubuhan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) selaku ahli tetap perbincangan meja bulat penggubalan RUU tersebut adalah tepat bagi menutup kelompongan sedia ada. 

Antara garis panduan yang boleh diterima pakai ialah kursus kesihatan dan keselamatan seksualiti dijalankan secara berkala di sekolah, kewujudan talian aduan yang lebih mesra-mangsa oleh  penerima aduan (pihak berkuasa), sekatan menyeluruh terhadap laman web lucah dan bahan porno, latihan advokasi buat penggerak sosial di lapangan dan paling penting, kesedaran awam mengenai keseriusan jenayah seksual dan penghayatan terhadap nilai agama secara tuntas. Hal ini dipercayai dapat mengawal peningkatan statistik kes jenayah harian dan mendidik pemangsa seksual itu sendiri dari berterusan melakukan perbuatan jijik walaupun hanya bersembunyi di sebalik skrin gajet elektronik.

Manakala bagi mana-mana individu yang baru tersedar dari lena dan sudah muak dengan siri ‘godaan’ tidak diingini dari majikan, rakan sekerja, jiran tetangga mahupun saudara serumah, disarankan agar berani tampil ke hadapan dan bersama putuskan rantaian gangguan seksual buat selama-lamanya. Ingat, pastikan batas jarak dijaga, akhlak terpelihara dan maruah diri dijunjung mulia. Peringatan buat semua agar lebih berwaspada di musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana nak harapkan pak Menteri laksanakan janji-janji mereka; ibarat burung, mulut manis jangan dipakai.

Nur Farihah Meor Mazli
Exco Belia & Media
International Women’s Alliance for Family Institution & Quality Education (WAFIQ)

(Rencana ini telah disiarkan di akhbar Utusan Malaysia melalui ruang Cakna pada 15 Januari 2021. Penulis juga merupakan salah seorang Kolumnis mingguan bahagian rencana Utusan Malaysia.)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *