Wujudkah ‘Rogol’ dalam Perkahwinan? – Bahagian 1

Marital Rape Viewpoints

JUMLAH hutang-piutang antara dua orang yang telah berkahwin tak mungkin dapat dihitung. Ia adalah hutang tak terbatas, yang hanya dapat dilunasi di akhirat yang abadi.’ – Johann Wolfgang von Goethe

Ungkapan ‘rogol dalam perkahwinan’ bagi merujuk kepada hubungan intim di antara seorang suami tanpa kerelaan isterinya, adalah suatu paradoks yang membangkitkan banyak isu. ‘Rogol’ ditakrifkan sebagai persetubuhan tanpa kemahuan atau kerelaan seseorang wanita. Manakala ‘perkahwinan’ adalah ikatan suci di antara dua orang dewasa yang rela disatukan. Dalam kefahaman tentang kedua-dua istilah ini, timbul paradoks yang nyata: bagaimana mungkin hubungan intim dalam ikatan suci, yang dimeterai oleh dua orang dengan rela hati, dilihat sebagai rogol atas alasan ketiadaan kerelaan isteri semasa hubungan itu berlaku?

Sesebuah ikatan perkahwinan hanya boleh dimeterai apabila kedua-dua pihak merelakan penyatuan di antara mereka. Penyatuan ini disaksikan, direkodkan, diwar-warkan dan didaftarkan mengikut hukum perundangan. Meskipun penuh dengan formaliti, perkahwinan bukanlah semata-mata untuk membentuk sebuah perhubungan yang sah di sisi undang-undang bagi maksud hubungan sosial, ekonomi mahupun kewangan.

Sebaliknya, sifat perkahwinan yang paling ketara dan unik adalah bagi membenarkan pihak-pihak di dalamnya menjalinkan hubungan seksual. Ketika seorang wanita bersetuju untuk berkahwin, dia merelakan dan mengizinkan untuk pasangan mengadakan hubungan intim kerana perkahwinan itu sendiri menghalalkan seseorang lelaki dan wanita melakukan hubungan seksual, yang mana adalah terlarang sebelum penyatuan mereka.

Malah, perkahwinan meletakkan kepentingan dalam perhubungan intim di antara pasangan suami isteri. Ini dapat dilihat dengan merujuk kepada beberapa peruntukan undang-undang yang jelas menekankan keutamaan ini, antaranya:

Pertama, di bawah Seksyen 69(b) Akta 164, kanak-kanak, di bawah 18 tahun untuk lelaki dan 16 tahun untuk wanita, tidak boleh bersetuju atau memberi kerelaan untuk berkahwin. Hikmah peruntukan ini boleh difahami kerana seorang kanak-kanak juga tidak mempunyai kedudukan yang sah untuk memberikan persetujuan seksual. Daripada pemahaman ini juga, dapat kita mengerti mengapa Malaysia masih menjadikan kesalahan bagi hubungan seksual dengan seorang perempuan di bawah 16 tahun walaupun ‘dengan kerelaannya’, seperti yang termaktub di bawah Seksyen 375(g) Kanun Keseksaan.  

Kedua, di bawah Seksyen 70(b) Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 [Akta 164], sesuatu perkahwinan boleh menjadi tidak sah atas alasan persetubuhan belum dilakukan kerana salah seorang pasangan enggan melakukannya. Peruntukan yang sama juga ada di bawah enakmen Syariah, contohnya di bawah Seksyen 52(1)(i) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 [Akta 303].

Ketiga, sesiapa yang tidak mempunyai akal yang sempurna untuk memberikan kerelaan melakukan persetubuhan juga dianggap tidak mempunyai kesempurnaan akal untuk memberikan persetujuan secara sah untuk berkahwin. Hal ini diperuntukkan dalam Seksyen 70(c) dan (d) Akta 164 yang membenarkan pembubaran perkahwinan jika ada pihak yang tidak mampu memahami sifat dan akibat persetujuan yang diberikan untuk berkahwin. Peruntukan yang serupa juga ada dimaktubkan dalam Seksyen 52(1)(j) Akta 303.

Keempat, kesihatan seksual pihak-pihak dalam perkahwinan merupakan hal yang dipertimbangkan dalam menentukan status perkahwinan itu. Di bawah Seksyen 70(a) dan (e) Akta 164, ketidakupayaan pasangan untuk melakukan hubungan intim dan pasangan yang menghidapi penyakit kelamin berjangkit, adalah dua alasan munasabah untuk membubarkan perkahwinan itu. Peruntukan yang serupa juga ada dalam Seksyen 52(1)(e) Akta 303.

Kelima, aktiviti seksual pasangan yang berkahwin adalah relevan dalam menentukan kelangsungan perkahwinan itu. Di bawah Seksyen 54(1)(a) Akta 164, kecurangan pasangan boleh membuktikan bahawa perkahwinan itu telah retak yang tidak boleh dibaiki lagi, maka mewajarkan penceraian. Juga di bawah Seksyen 70(f) Akta 164, jika pada masa perkahwinan itu, isteri telah dihamilkan oleh lelaki selain daripada suami, maka perkahwinan itu boleh dibubarkan. Begitu juga di bawah Seksyen 52(1)(h) Akta 303, seorang isteri berhak mendapatkan perintah membubarkan perkahwinan jika suami menganiayainya dengan berkawan dengan perempuan yang jahat atau hidup berperangai keji atau jika suami cuba memaksa isteri hidup secara lucah.

Dengan mempertimbangkan peruntukan-peruntukan di atas, persoalan yang timbul adalah: sama ada pasangan boleh menolak daripada memberikan kerelaan dalam perkahwinan, sedangkan penolakan untuk bersatu dan melakukan hubungan intim yang berpanjangan boleh mengakibatkan pembatalan perkahwinan dan merupakan alasan yang sah untuk perceraian?

Sewajarnya sebelum pihak-pihak membahaskan istilah ‘rogol dalam perkahwinan’, haruslah difahami dahulu sifat dan akibat perkahwinan yang dipersetujui dan dimeterai dengan kerelaan pihak-pihak. Polemik ini timbul apabila ramai yang mendesak agar pengecualian kepada Seksyen 375 Kanun Keseksaan dimansuhkan. Sedangkan isu kompleks ini harus dikupas dengan kemas untuk memahami perlindungan yang sudah sedia ada wujud bagi membenteras keganasan seksual dalam sesebuah perkahwinan.

Fatihah Iliani Jamhari
Ketua Exco Undang-Undang & Hak Asasi
International Women’s Alliance for Family and Quality Education
WAFIQ

(Rencana ini telah disiarkan di akhbar Utusan Malaysia melalui ruangan Cakna pada 5 Februari 2021. Penulis juga merupakan salah seorang Kolumnis tetap di Utusan Malaysia.)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *