Bahaya Testosteron Untuk Transmen : Pesanan dari bekas Transman

LGBT

Artikel ini ditulis berdasarkan pengalaman saya.

Testosterone.

Testosterone  adalah sejenis hormon steroid daripada kumpulan androgen.

Dalam tubuh mamalia dan manusia, hormon ini lazimnya dihasilkan oleh testis jantan/lelaki dan ovari betina/perempuan. Secara purata, lelaki dewasa menghasilkan antara 40 hingga 60 kali lebih banyak hormon ini berbanding perempuan. Ia merupakan steroid anabolik.

Ia berfungsi sebagai hormon seks utama lelaki, membantu dalam penghasilan sperma dan juga merangsangkan perkembangan ciri seks sekunder pada seorang lelaki seperti pembentukan otot yang kasar, misai serta perubahan suara.

Kebelakangan ini, sudah menjadi satu trend atau aliran baru dikalangan pengkid untuk mengambil suntikan hormon Testosterone. Ini adalah kerana keinginan untuk berketrampilan lebih maskulin atau pendek kata jantan habis.

Selepas pengambilan suntikan ini, ciri-ciri perubahan fizikal akan berlaku, seperti penumbuhan misai atau janggut, pita suara akan pecah dan bertukar menjadi garau, badan akan jadi lebih maskulin dan perubahan struktur muka/wajah yang akan kelihatan kelelakian dan juga perubahan dari struktur rambut akan bertukar dari halus kepada kasar dan mereka akan dikenali sebagai transman (transgender lelaki / female to male).

Bagi mereka yang mahu kekalkan penampilan maskulin, golongan pengkid ini mengamalkan pengambilan suntikan hormon secara berterusan. Namun demikian, sebelum ingin mengambil suntikan hormon ini, mereka perlu berjumpa dengan doktor terlebih dahulu untuk mendapatkan konsultasi berkenaan dengan pengambilan hormon ini.

Konsultasi dengan doktor ini merangkumi ujian darah untuk menentukan sama ada ia bersesuaian dengan tubuh, penilaian psikologikal dan juga pemberitahuan berkenaan dengan kesan sampingan pengambilan hormon. Pengambilan hormon tanpa merujuk terlebih dahulu kepada doktor boleh mengundang pelbagai kesan buruk tanpa kita sedari.

Suntikan hormon Testosterone atau lebih dikenali di kalangan pengkid atau transman sebagai T-shots, amatlah senang untuk diperolehi sama ada melalui hospital swasta, farmasi, online shopping atau dari penjual-penjual online sama ada pemilik gim atau di kalangan transman atau pengkid itu sendiri.

Harga di pasaran bermula dari RM100++ hingga RM300++. Malah ada yang menjualnya secara pembotolan semula iaitu dibotolkan ke dalam botol kecil (20ml) dan dijual pada harga RM20 sebotol.   

Penjualan secara haram ini semakin berleluasa memandangkan permintaan yang tinggi dari kalangan pengkid/transman dan juga pemilik-pemilik gimnasium. Penjualan hormon secara dalam talian juga menimbulkan keraguan kerana isi kandungan di dalam hormon Testosterone itu dikhuatiri tidak menepati atau memenuhi peraturan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Terdapat juga hormon Testosterone di dalam bentuk gel dan pil tetapi kesannya agak lambat serta harga yang lagi mahal dari cecair suntikan. Sejujurnya saya memohon agar KKM dan juga badan-badan berkenaan supaya boleh memantau atau melakukan siasatan terhadap penjualan hormon secara terbuka yang tiada pemantauan atau kawalan.

Kesan buruk pengambilan suntikan hormon testosterone

Seperti yang kita ketahui, setiap perkara ada baik dan buruknya. Begitu jugalah dengan pengambilan suntikan hormon Testosterone. Terdapat banyak kajian yang telah dilakukan berkenaan dengan kesan pengambilan suntikan hormon di kalangan perempuan. Dan ramai dikalangan doktor juga tidak menggalakkan pengambilan suntikan hormon. Ini adalah kerana kesan buruk jangka panjang akan dialami oleh mereka yang mengambil suntikan ini.

Kajian perubatan juga ada menunjukkan bahawa kesan suntikan hormon Testosterone yang diambil untuk jangka masa yang panjang boleh mengakibatkan kanser hati dan serangan jantung. Terdapat juga kebimbangan bahawa suntikan Testosterone mungkin boleh menyumbang kepada penyebab barah payudara.

Keupayaan Testosterone untuk menguatkan tulang, meningkatkan kekuatan otot, atau memenuhi manfaat lain yang merangkumi fungsi mental dan mood yang lebih baik adalah sebenarnya hanya untuk golongan lelaki supaya lebih sihat, tetapi bukan manfaat yang bagus untuk wanita sepenuhnya.

Oleh kerana tidak ada cukup data untuk mengesahkan keselamatan dan keberkesanan terapi testosteron untuk wanita, Endocrine Society tidak mengesyorkan rawatan ini, kecuali pada wanita yang telah mengalami menopaus kerana ovari mereka telah dikeluarkan melalui pembedahan.

Dr. Jan Shifren, seorang Profesor Madya Obstetrik dan Ginekologi dan Biologi Reproduktif dari Harvard Medical School menyatakan :

“Oleh kerana tidak ada produk Testosterone yang diluluskan oleh FDA (Food and Drugs Administration) untuk wanita, beberapa wanita pengkid ini beralih ke farmasi kompaun untuk membuat formulasi asli krim atau gel Testosterone”.

Mereka menggunakan produk yang direka untuk lelaki dan membuat dosnya sendiri. Dalam hal ini mereka berisiko mengambil Testosterone secara berlebihan.

“Tidak ada cara yang baik dan konsisten untuk menetapkan testosteron untuk wanita,” tambahnya,.

Pengambilan Testosterone dari sudut pandang Islam

Kesimpulannya, pengambilan hormon Testosterone ini amatlah berbahaya kepada wanita. Malah di dalam al-Quran pun melarang pengambilan bahan-bahan yang memudaratkan tubuh badan, seperti firman Allah di dalam surah al-Baqarah ayat 195:

“Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya  kebinasaan”.

Tiada yang indah untuk mengambil hormon testosterone. Di sini, saya memohon kepada pihak yang berwajib untuk memantau serta mengawal penjualan hormon tersebut yang dilakukan secara terbuka.

Akhir kata, walaupun masalah ini kelihatan kecil tetapi kesannya amat besar terutama kepada masyarakat dan kepada islam. Perbuatan ini seolah-olah “mencabar” kejadian dan kuasa Allah SWT.

Penularan perbuatan ini semakin hari semakin membiak dek kerana sokongan serta pertolongan dari pihak pro LGBTQ itu sendiri. Terdapat pelbagai platform bantuan untuk golongan LGBTIQ yang telah disediakan oleh pro LGBTQ itu sendiri untuk mendapatkan suntikan hormon Testosterone serta beberapa senarai hospital swasta/klinik swasta yang mesra trans (trans-friendly) yang menyediakan perkhidmatan konsultansi dan juga khidmat suntikan hormon beserta dengan harga bayaran untuk setiap perkhidmatan. Semoga golongan ini dikurniakan hidayah dan meninggalkan perbuatan tidak berfaedah ini.

This game is real. The worst is yet to come.

Damian Khairin
Kifahuna Jemaa
Muhajirah Wafiq & Usrah Iqrak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *