Wujudkah ‘Rogol’ dalam Perkahwinan? – Bahagian 2

Marital Rape Viewpoints

DALAM Kanun Keseksaan Malaysia, peruntukan mengenai ‘Rogol’ adalah di bawah Seksyen 375 dan 376 yang memperuntukkan beberapa keadaan khusus di mana hubungan intim akan dianggap sebagai kesalahan rogol. Penulisan ini merujuk kepada Pengecualian di bawah Seksyen 375 yang menidakkan pemakaian peruntukan ini kepada mana-mana hubungan intim di antara seorang suami dan isterinya dalam perkahwinan yang sah.

Wujud desakan daripada aktivis hak asasi manusia khususnya aktivis yang memperjuangkan hak wanita agar Pengeculian kepada Seksyen 375 Kanun Keseksaan dimansuhkan. Hujah mereka adalah bahawa Pengecualian Seksyen 375 menindas kaum wanita dengan membenarkan para suami melakukan hubungan intim walaupun tanpa kemahuan atau kerelaan isteri mereka. Maka, desakan pemansuhan Pengecualian ini adalah bagi membolehkan hubungan intim tanpa kemahuan atau kerelaan isteri ditakrifkan sebagai rogol dan suami boleh dikenakan hukuman seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 376.

Namun, pendirian Kerajaan mengenai isu ini adalah jelas – Pengeculian Seksyen 375 Kanun Keseksaan tidak akan dimansuhkan. Beberapa alasan telah diberikan bagi menjustifikasikan pemakaian Pengeculian ini termasuklah bahawa selepas berkahwin, mengikut perundangan, seseorang isteri tidak boleh menafikan kerelaan untuk mengadakan hubungan intim dengan suaminya. Atas alasan inilah, kerelaan seorang wanita untuk berkahwin dengan mana-mana lelaki dipandang amat penting dan mustahak. Kerana setelah perkahwinan itu disahkan, wanita itu terikat kepada suami yang dikahwininya termasuklah dalam hal seksual.

Hal ini berkait rapat juga dengan peruntukan di bawah Seksyen 493 Kanun Keseksaan yang menjadikan kesalahan bagi mana-mana lelaki yang memperdaya seorang wanita yang bukan isterinya supaya wanita itu mempercayai kononnya telah dia berkahwin dengan lelaki itu.  Begitu juga dengan Seksyen 496 yang memberi hukuman kepada sesiapa yang berkahwin dengan niat fraud sedangkan dia tahu perkahwinan itu adalah tidak sah di sisi undang-undang. Kedua-dua peruntukan ini wujud bagi melindungi wanita daripada diperdayakan mana-mana lelaki hanya untuk membolehkan lelaki itu melakukan hubungan intim dengannya.

Alasan lain adalah dengan mengambil kira sejarah hubungan seksual di antara suami dan isteri, amat sukar untuk pihak penyiasatan dan pendakwaan membuktikan bahawa wujud rogol jika ada isteri yang mengadukan kepada polis kononnya hubungan intim yang terjalin adalah tanpa kemahuannya atau kerelaannya. Bagaimana mungkin penyiasatan dapat dengan jelas mengatakan insiden khusus yang diadukan adalah hubungan intim yang tidak dipersetujui isteri sedangkan dalam sesebuah perkahwinan, sudah tentu suami dan isteri itu telah mengadakan hubungan banyak kali dengan kerelaan isteri? Perlu ditekankan, beban pembuktian dalam semua kes jenayah adalah melangkaui keraguan munasabah.

Ini adalah kegusaran yang harus dipertimbangkan memandangkan rogol dalam perkahwinan telahpun diiktiraf sebagai suatu kesalahan di beberapa negara lain dan rata-rata, undang-undang ini dikritik keras kerana sukar digunapakai. Contohnya di Argentina, melalui Seksyen 5(3) Undang-Undang Perlindungan Wanita 2009 [Undang-Undang 26485] telahpun dengan jelas menjadikan hubungan intim tanpa kerelaan isteri sebagai suatu kesalahan. Namun sehingga kini, masih banyak kritikan tentang tahap pemakaian peruntukan ini di Argentina. Tiada guna sesuatu hal itu dimaktubkan dalam perundangan jika ia hanya ada untuk mengumpul habuk dan tidak boleh digunapakai.

Kegagalan mana-mana peruntukan undang-undang untuk digunapakai secara praktikal hanya akan mewujudkan ketidakpercayaan kepada undang-undang. Secara praktikal, jika Pengecualian Seksyen 375 Kanun Keseksaan dimansuhkan, adakah di masa hadapan para suami dikehendaki untuk meminta kerelaan isteri setiap kali sebelum mereka menjalinkan hubungan? Adakah permintaan dan kerelaan harus dinyatakan dalam bentuk lisan atau perlukah secara bertulis atau persetujuan tersirat mencukupi? Undang-undang harus mengambil kira konteks sosial dan kerumitan yang ada dalam sesebuah perhubungan suami isteri sebelum mengadakan peruntukan yang akhirnya akan merendahkan privasi pasangan yang berkahwin.

Dengan Pengecualian Seksyen 375 Kanun Keseksaan yang masih terpakai sekalipun, tidak bererti suami yang mendera isteri secara seksual dianggap tidak boleh dipertanggungjawabkan dan dihukum di bawah undang-undang lain. Sebagai contoh, tahun lalu seorang nelayan telah disabitkan dengan pelbagai kesalahan di bawah Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan ke atas isterinya semasa menjalinkan hubungan intim.

Dalam kes itu, Mahkamah Sesyen Ipoh telah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan lapan sebatan selepas nelayan itu mengaku salah terhadap tujuh pertuduhan melakukan keganasan seksual terhadap isterinya. Ini adalah selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 163 Kanun Tatacara Jenayah yang membolehkan mana-mana orang kena tuduh disabitkan dengan pertuduhan berlainan bagi setiap kesalahan berlainan.

Maka adalah menyeleweng untuk mana-mana orang memberikan tanggapan bahawa undang-undang di Malaysia tidak memelihara wanita yang berstatus isteri daripada dianiaya secara seksual oleh lelaki yang bergelar suaminya. Perbahasan mengenai isu rogol dalam perkahwinan haruslah dilihat dengan merujuk kepada segala peruntukan undang-undang melibatkan pasangan yang berkahwin secara menyeluruh.

Ku Amirul Faiz Ku Seman
Pengamal Undang-Undang, Ketua Penerangan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (Wilayah Persekutuan) dan Ahli Jawatankuasa Pusat MACSA

(Rencana ini telah disiarkan di akhbar Utusan Malaysia melalui ruangan Cakna pada 12 Februari 2021. Penulis juga merupakan salah seorang Kolumnis tetap di Utusan Malaysia.)



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *