Wujudkah ‘Rogol’ dalam Perkahwinan? – Bahagian 3

Marital Rape Viewpoints

PADA 7 September 2007 aktivis-aktivis wanita di seluruh negara meraikan kemenangan besar apabila Kanun Keseksaan dipinda untuk memasukkan Seksyen 375A yang menyatakan: “Mana-mana lelaki dalam suatu perkahwinan yang sah menyebabkan kecederaan atau ketakutan kematian atau kecederaan isterinya atau mana-mana orang lain untuk melakukan persetubuhan dengan isterinya hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai lima tahun”.

Sebelum ini, tidak ada peruntukan spesifik di bawah undang-undang untuk menghukum suami yang melakukan penganiayaan seksual terhadap isterinya. Bahkan Kanun Keseksaan India, yang menjadi tunjang kepada Kanun Keseksaan Malaysia juga belum pernah memasukkan pindaan tersebut.

Di negara ini, terdapat peruntukan khas bagi menangani jenayah rogol sepertimana yang diperjelaskan di bawah Seksyen 375 dan Seksyen 376. Manakala undang-undang yang menyentuh perlakuan yang menyumbang kepada pelbagai klasifikasi kecederaan terdapat di bahagian ‘Cedera’ yang meliputi Seksyen 319 hingga Seksyen 338. Realitinya, kemasukan Seksyen 375A adalah langkah bagi membasmi sebarang perilaku ganas dalam hubungan intim antara pasangan yang berkahwin dengan meletakkan peruntukan khas melangkaui hukuman di bahagian ‘Cedera’.

Kendatipun begitu, masih ada pihak yang menghujahkan bahawa terdapat ketidakseimbangan pada hukuman yang dibenarkan di bawah Seksyen 375A bagi tindakan seorang suami terhadap isterinya berbanding dengan lelaki lain yang merogol, sepertimana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 375 dan 376 Kanun Keseksaan. Seksyen 376 memaktubkan bahawa sesiapa yang melakukan pemerkosaan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun, dan juga akan dikenakan hukuman sebat. Sedangkan, di bawah Seksyen 375A, seorang lelaki yang menyebabkan kecederaan untuk melakukan hubungan intim dengan isterinya hanya dihukum penjara selama maksimum lima tahun.

Untuk memahami perbezaan ini, kita harus perhatikan bahawa Seksyen 375 Kanun Keseksaan telah menggariskan dua keadaan bagi mentakrifkan sesuatu hubungan seksual sebagai rogol: pertama, apabila tiada persetujuan pasangan dan kedua, apabila tindakan itu bertentangan dengan kehendak wanita itu. Jelas, Seksyen 375A secara khusus membahaskan hubungan seksual yang bertentangan dengan kehendak isteri dan menyebabkan kecederaan.

Namun, Penulis ingin menekankan bahawa mana-mana pihak yang menyebabkan kecederaan kepada orang lain juga boleh didakwa di bawah Seksyen 319, yang dibaca secara bersama dengan Seksyen 323. Hukuman bagi peruntukan tersebut adalah penjara maksimum satu tahun atau denda maksimum RM2,000.00 atau kedua-duanya. Tambahan lagi, Kanun Keseksaan di bawah Seksyen 326A melipatgandakan hukuman bagi pasangan berkahwin yang menyebabkan kecederaan kepada pasangannya, di mana hukuman penjara boleh dilanjutkan sehingga dua tahun. Melihat peruntukan ini, boleh dikatakan hukuman untuk kelakuan yang menyebabkan kecederaan adalah jauh lebih ringan daripada hukuman yang dijelaskan dalam Seksyen 375A. Maka dapat disimpulkan, Seksyen 375A tidaklah memberikan kelonggaran kepada para suami untuk mengasari isteri mereka secara seksual dengan hukuman yang lebih ringan berbanding Seksyen 376.

Penulis berpendapat bahawa hujah kononnya wujud hukuman ringan bagi jenayah serangan seksual terhadap isteri perlu dibahaskan dengan memahami asas Seksyen 319, 323, 326A, 375, 375A dan 376 Kanun Keseksaan. Setelah mengambil peruntukan ini secara keseluruhan, boleh kita difahami bahawa undang-undang itu tidak semestinya dilihat ‘longgar’ bagi menghukumi kesalahan yang dilakukan oleh seseorang lelaki, hanya semata-mata kerana statusnya sebagai suami.

Kesalahan di bawah Seksyen 375A Kanun Keseksaan adalah isu rumit yang telah lama cuba ditangani. Peruntukan ini adalah untuk menghukum si pelaku, sementara memberi ruang untuk melindungi mereka daripada unsur ketidakadilan. Ingatlah bahawa penjenayah yang dimaksudkan di sini bukanlah orang asing yang datang daripada lorong-lorong gelap. Sebaliknya, ‘penjenayah’ itu ialah suami yang masuk ke tempat tidur pengadu setiap malam, yang mungkin telah melahirkan zuriat dan membina kehidupan bersama dengannya.

Para penggubal undang-undang sedar bahawa terdapat juga kemungkinan kesalahan Seksyen 375A terpakai kepada seorang suami yang isterinya tidak bekerja, yang mana si isteri mungkin merasa terhalang untuk melaporkan serangan seksual oleh suami jika dia menganggap ketua keluarga itu sebagai satu-satunya punca rezeki. Seksyen 375A diadakan bagi mendorong para isteri memperjuangkan hak mereka dan tidak terhalang daripada melaporkan serangan seksual hanya kerana mereka takutkan hukuman berat yang akan ditanggung si suami.

Hikmah di sebalik hukuman undang-undang adalah juga sebagai satu bentuk pemulihan ke atas orang yang dihukum. Hukuman penjara maksimum lima tahun bertujuan mendidik suami mengenai akibat perbuatannya, tetapi pada masa yang sama, tidak menjadikannya seorang penjenayah tegar dengan membiarnya meringkuk di dalam penjara untuk jangka masa panjang. Bagi mengangkat nilai keadilan dan kesejahteraan institusi keluarga, pertimbangan-pertimbangan ini haruslah dijadikan ruh dan semangat undang-undang yang utama ketika kita membincangkan peruntukan ini.

Nur Farihah Meor Mazli
Exco Belia & Media
International Women’s Alliance for Family Institution & Quality Education (WAFIQ)

(Rencana ini telah disiarkan di akhbar Utusan Malaysia melalui ruang Cakna pada 19 Februari 2021)



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *