Perteguh hak asasi manusia di Malaysia

Statements UDHR Viewpoints

Oleh Azril Mohd Amin dan Profesor Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar

10 Disember adalah Hari Hak Asasi Manusia, bersempena tanggal 10 Disember 1948 apabila Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerima pakai dan mengisytihar Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia (UD-HR), deklarasi pertama menyentuh hak asas seorang manusia.

Cuma, dalam menentukan hak asasi manusia, adakalanya UDHR gagal mengambil kira konteks keagamaan dan budaya setempat dalam peradaban manusia, khususnya peradaban Islam. Malaysia tidak terkecuali apabila beberapa artikel UDHR bercanggah dengan Perlembagaan Malaysia dan syariat Islam.

Antara Julai hingga September 2017, Kementerian Luar (Wisma Putra) mengadakan rundingan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menerokai isu hak asasi manusia di Malaysia. Amalan hak asasi manusia di Malaysia mendapat sorotan berikutan pembabitan Malaysia dalam Semakan Berkala Sejagat (UPR) bagi menilai tahap pengamalan hak asasi anggota PBB, selaras keputusan Perhimpunan Agung PBB pada 2006.

Skop perundingan ini khususnya berdasarkan kitaran kedua UPR empat tahun lalu, pada Majlis Hak Asasi Manusia (HRC) di Geneva. Malaysia menerima 232 syor oleh 104 negara anggota lain (yang mana 150 syor diterima Kerajaan Malaysia dan baki 82 syor ditolak). Oleh itu, Malaysia dikehendaki mengemaskini perkembangan dan pelaksanaan syor itu pada Kitaran Ketiga UPR, dijadualkan tahun depan di HRC, Geneva.

Berdasarkan cakupan itu, perundingan baru-baru ini antara Wisma Putra dengan NGO di Putrajaya meliputi topik hak sivil dan politik; Wanita, Kanak-kanak, Orang Kelainan Upaya dan Orang Asli; Pekerja Warga Asing, Pelarian, Pencari Suaka dan Pemerdagangan Manusia; Indikator Nasional Hak Asasi Manusia; Cadangan-Cadangan Umum, Kerja-sama Antarabangsa, Pendidikan dan Latihan Hak Asasi Manusia, Pemerkasaan Agensi, Kesatuan dan Perpaduan Nasional.

Ikut undang-undang negara

Selepas selesai rundingan, sebilangan NGO memutuskan membentuk pakatan bagi memberi tumpuan khusus terhadap pembelaan dan penelitian isu hak asasi manusia di Malaysia untuk dibawa dalam Proses UPR.

Lantaran itu, kami dengan sukacita mengumumkan penubuhan Malaysian Alliance Of Civil Society Organisations in the UPR Process (MACSA). MACSA berpendirian, sebarang syor hak asasi yang hendak diterima pakai untuk dilaksanakan di Malaysia (atau ditolak untuk tidak dilaksanakan), mestilah, selain ambil kira instrumen hak asasi manusia antarabangsa, dipastikan selaras dan mematuhi undang-undang serta adat dan tradisi di Malaysia. Rumusannya, MACSA melihat beberapa isu yang perlu diberikan perhatian.

Pertama, perpaduan nasional mesti berdasarkan Perlembagaan bagi memelihara hak asasi manusia di Malaysia. Dalam hal ini, MACSA bimbang apabila ada jabatan kerajaan cuba membentuk perpaduan nasional, tetapi tidak berasaskan falsafah dan kerangka dalam Perlembagaan Persekutuan sebaliknya dibentuk berasaskan fahaman dan konsep yang asing, sekali gus membelakangkan kerangka sejarah negara bangsa yang panjang, bercanggahan peruntukan khusus dalam Perlembagaan.

Termaktub Perlembagaan

Perlembagaan selaku undang-undang tertinggi mengisytiharkan Islam agama negara, seperti termaktub dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan dan beri takrifan orang Melayu penduduk pribumi di Persekutuan Tanah Melayu, manakala kumpulan etnik lain (seperti Kadazan, Iban dan Melanau) adalah penduduk pribumi di Sabah dan Sarawak. Pengkelasan ini penting, terutama dalam membela hak pribumi dan orang asal, termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan (mengenai kedudukan orang Melayu dan kepentingan sah komuniti lain).

Kedua, kanak-kanak. Akta Kanak-kanak 2001 dimaktubkan sebagai langkah pelaksanaan terhadap Konvensyen mengenai Hak Kanak-Kanak. Malangnya, akta ini tidak menjadikan CRC dokumen perundangan mengikat di Malaysia, lantas sebarang pelanggaran peruntukan CRC tidak dapat dikuatkuasakan di mahkamah. Kerajaan digesa menyelidik secara lebih rapi terhadap Akta Kanak-Kanak 2001 dan CRC, serta membuat pindaan sewajarnya dalam Akta Kanak-Kanak 2001.

Selanjutnya, langkah kerajaan meluluskan Akta Kesalahan-Kesalahan Jenayah Seksual Kanak-Kanak patut dipuji, tetapi kesalahan dan keralatan struktur ayat dalam akta itu menyebabkan niat baik kerajaan tergendala. Ini dilihat misalnya dalam Seksyen 2(1) yang memperuntukkan akta itu hanya berkuat kuasa terhadap kanak-anak berumur di bawah 18 tahun, sekali gus menyebabkan pesalah seks dewasa berusia 18 tahun ke atas tidak dapat disabitkan.

Ketiga, wanita. Kerajaan belum lagi menggubal undang-undang bagi menguatkuasakan Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita (Convention on the Elimination of All Forms of Discrimination Against Women atau ringkasnya CEDAW), yang diratifikasi Malaysia pada 1995. Akta Kesaksamaan Jantina, misalnya, belum digubal. Hak wanita Muslimah yang berterusan dinafikan kebebasan menutup aurat ketika berkerja di beberapa sektor, perlu diambil perhatian segera.

Keempat, orang asal atau penduduk pribumi. Kerajaan perlu masukkan kemajuan orang Melayu sebagai agenda bagi memajukan orang asal / penduduk pribumi, kerana Melayu sememangnya penduduk asal Tanah Melayu, berasaskan semangat Perlembagaan Persekutuan.

Berhubung orang asal bukan Melayu, MACSA berpendapat, ada keperluan hidupkan kembali Pasukan Petugas Kebangsaan untuk Orang Asli yang diumumkan pada 2013; selain keperluan gubal penambahbaikan undang-undang sedia ada, serta tatacara amalan ke atas tanah adat bagi menjamin kelangsungan kehidupan dan masyarakat orang asal ini terhindar daripada kemiskinan, mahupun keterasingan.

Kelima, warga tanpa negara. Perkara ini serius, terutama di Sabah dan Sarawak. Ada bayi dilahirkan di Sabah dan Sarawak tidak mempunyai dokumentasi sah. Ini membabitkan bayi pasangan yang tidak mendaftarkan perkahwinan, sama ada kedua-duanya warga asing atau salah warga asing. Ia menyebabkan kesan buruk, apabila kanak-kanak itu dipinggirkan masyarakat.

MACSA ingin merakam penghargaan kepada Kerajaan Malaysia atas langkah dan pelan tindakan komprehensif isu hak asasi. MACSA sedia bekerjasama dengan kerajaan dan mana-mana entiti lain, untuk mengatasi dan perbaiki keadaan hak asasi manusia di Malaysia, demi kepentingan semua.

Penulis adalah Pengerusi / Pengerusi Bersama, Malaysian Alliance of Civil Society Organisations in the UPR Process (MACSA)

sumber asal: https://www.bharian.com.my/rencana/muka10/2017/12/362225/perteguh-hak-asasi-manusia-di-malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *