Marina Mahathir dilaporkan sebagai menegur kenyataan yang dikeluarkan oleh DS Wan Azizah yang menyifatkan perlakuan LGBT sebagai haram. Bantahan Marina ini sangat menghairankan. Bagaimana mencegah kemungkaran ini pula yang ditegurnya?
Dalam al-Quran, Allah menyifatkan Bani Israel sebagai bangsa yang dilaknat kerana mereka tidak mencegah kemungkaran. Firman Allah:
لُعِنَ الَّذِينَ كَفَرُوا مِن بَنِي إِسْرَائِيلَ عَلَىٰ لِسَانِ دَاوُودَ وَعِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ ۚ ذَٰلِكَ بِمَا عَصَوا وَّكَانُوا يَعْتَدُونَ (78) كَانُوا لَا يَتَنَاهَوْنَ عَن مُّنكَرٍ فَعَلُوهُ ۚ لَبِئْسَ مَا كَانُوا يَفْعَلُونَ (79)
“Orang-orang kafir Yahudi dari Bani Israil telah dilaknat (di dalam Kitab-kitab Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa ibni Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh. Mereka tidak mencegah perbuatan mungkar yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan.” Surah al-Maidah: 78-79.
Malah, lebih dahsyat lagi, Allah menggambarkan antara sifat orang munafiq itu adalah mereka yang tidak mencegah kemungkaran. Firman Allah:
الْمُنَافِقُونَ وَالْمُنَافِقَاتُ بَعْضُهُمْ مِنْ بَعْضٍ يَأْمُرُونَ بِالْمُنْكَرِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمَعْرُوفِ
“Orang-orang munafik lelaki dan perempuan, setengahnya adalah sama dengan setengahnya yang lain; mereka masing-masing menyeru kepada perbuatan yang mungkar, dan melarang dari perbuatan yang baik.” Surah al-Taubah:67.
Bahkan Rasulullah mengingatkan bahawa mereka yang tidak mencegah kemungkaran sedangkan dia mampu, maka akan dibimbangi akan ditimpa azab dari Allah. Sabda Rasulullah:
((ما من قومٍ يُعْمَل فيهم المعاصي، ثم يقدرون على أن يغيِّروا ثم لايغيروا؛ إلا ويوشك الله أن يعمَّهم بعقابٍ))
“Tiada satu kaum yang melakukan maksiat, sedangkan ada dikalangan mereka yang mampu mencegahnya, melainkan akan dibimbangi keseluruhan mereka akan ditimpa azab ke atas kesemuanya” (HR Abu Daud)
Menyatakan hukuman haram perlakuan LGBT ini adalah sebahagian daripada tindakan amar makruf dan nahi mungkar. Mereka yang redha bahkan menyokong kemungkaran seakan mengengkari ketetapan yang telah digariskan oleh Allah di dalam al-Quran.
Moga Allah membimbing Muslim dengan al-Quran dan menghidupkan semangat amar makruf dan nahi mungkar.
Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah WAFIQ
Pensyarah Fakulti Quran & Hadith
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)