1. Seharusnya seorang Muslim melihat dosa dengan pandangan yang ingin menghindari dan bukan dengan pandangan mesra-dosa. Membiasakan (atau normalisasi) dosa adalah sesuatu tindakan yang perlu dihindari. Seorang Muslim tidak seharusnya berkata: “bukan semua berniat merompak itu perompak, atau bukan semua perempuan gatal itu berzina, atau bukan semua gay itu melakukan hubungan gay.
2. Rasulullah mendidik Muslim melihat dosa dengan pandangan dosa. Sabda Baginda:
“Sesungguhnya orang mukmin melihat dosa-dosanya seperti dia duduk di bawah gunung, dan dia takut sekiranya gunung itu akan menimpanya, sedangkan orang fajir (selalu melakukan dosa) melihat dosa-dosanya seperti lalat yang hinggap di batang hidungnya, kemudian dia mengusirnya lalu ia terbang.” (HR al-Bukhari)
3. Sifat gay, atau keinginan kepada lelaki adalah perkara yang mesti dilihat dengan pendirian yang tegas. Ini kerana, daripada keinginan atau syahwat dalaman inilah seseorang boleh terjebak dengan dosa. Atas sebab itu sebahagian ulama mengenakan kawalan terhadap komunikasi dengan lelaki jambu (al-amrad). Al-Imam al-Nawawi berkata:
يحرم على الرجل النظر إلى وجه الأمرد إذا كان حسن الصورة ، سواء كان بشهوةٍ أم لا ، سواء أمن الفتنة أم خافها
“Haram bagi seorang lelaki melihat lelaki al-amrad (lelaki yang berwajah cantik/jambu) sekiranya lelaki al-amrad tersebut mempunyai wajah yang cantik, samada pandangan dengan syahwat atau pun tidak,” samada terselamat dari fitnah atau tidak.” (Syarh Sahih Muslim).
4. Pandangan tegas al-Imam Nawawi ini adalah langkah pencegahan terhadap sifat suka kepada lelaki. Ini bagi mengelakkan seseorang daripada terjebak dengan perlakuan mungkar. Kalau diikutkan dengan hanya pandangan, seseorang itu masih belum melakukan dosa lagi. Tetapi disebabkan kerana ia akan membuka ruang kepada dosa, maka al-Imam al-Nawawi mengenakan pendirian yang tegas dalam perkara ini.
5. Pendirian tegas terhadap sifat yang boleh membawa kepada kemungkaran ini telah pun sepatutnya menjadi satu keutamaan. Ini selari dengan kebimbangan yang diluahkan oleh JAKIM bahawa populasi gay telah meningkat berkali ganda sejak 2013.
6. Menurut Penolong Pengarah Kanan JAKIM, Dr Mohd Izwan, terdapat kira-kira 310,000 gay berbanding 173,000 gay pada 2013.
7. Peningkat populasi yang membimbangkan kita ini seharusnya menjadikan kita semakin bimbang dengan perkara ini dan bukan menjadikannya sebagai sesuatu yang normal atau sesuatu yang tidak perlu dibimbangkan.
8. Benarlah kata-kata Saidina Anas bin Malik:
إِنَّكُمْ لَتَعْمَلُونَ أَعْمَالًا، هِيَ أَدَقُّ فِي أَعْيُنِكُمْ مِنَ الشَّعَرِ، إِنْ كُنَّا لَنَعُدُّهَا عَلَى عَهْدِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنَ المُوبِقَاتِ
“Kamu melakukan sesuatu perkara yang kamu melihatnya dengan pandangan yang ringan (halus), seakan lebih ringan dari rambut, sedangkan kami di zaman Rasulullah melihatnya sebagai sesuatu yang membinasakan.” (HR al-Bukhari)
Moga Allah membimbing kita semua ke arah kebenaran.
Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah WAFIQ
Pensyarah Fakulti Quran & Hadith
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)