Menuntut ilmu adalah satu kewajiban bagi seseorang Muslim, sama ada lelaki mahupun wanita. Kepentingan ilmu telah dinyatakan dengan jelas di dalam al-Quran dan disokong melalui hadis-hadis Nabi Muhammad SAW. Malah, tuntutan untuk menuntut ilmu juga adalah jelas dan telah diperjuangkan oleh ramai ulama dulu dan kini.
Perbahasan tentang ilmu juga telah dikupas dengan banyak dan panjang. Walaupun demikian, masih ada lagi segelintir masyarakat di beberapa negara yang disekat peluangnya untuk pergi ke sekolah, dan terdapat juga halangan buat wanita untuk keluar rumah dan menuntut ilmu.
Bagi wanita, ilmu merupakan perisai diri yang utama untuk berhadapan dengan cabaran kehidupan selari dengan peredaran zaman. Wanita perlu mempunyai ilmu untuk memelihara kehormatan diri, ilmu untuk mendirikan rumahtangga, ilmu untuk mendidik anak-anak, ilmu untuk bergaul dengan rakan taulan, dan ilmu untuk menyatakan kebenaran. Dengan ilmu, wanita akan lebih berani dan bersedia. Tanpa ilmu, peluang untuk wanita ditindas dan didiskriminasi adalah lebih tinggi.
Sarjana keilmuwan dalam kalangan wanita
Tidak dinafikan bahawa ulama dan sarjana keilmuwan dipelopori oleh kaum lelaki sejak berkurun lamanya, tetapi ia tidak bermakna wanita tidak dibenarkan atau tidak layak menjadi seorang sarjana. Dr. Akram Nadwi di dalam bukunya yang berjudul Al-Muhaddithat: The Women Scholars in Islam mengumpulkan hampir 8 ribu ulama wanita bermula daripada kurun pertama hijrah hingga kurun kelima belas selepas hijrah. Ia adalah bilangan yang besar dan kemunculan ulama dalam kalangan wanita ini merupakan kegemilangan yang hampir dilupakan.
Kepakaran ulama wanita dalam bidang pengkhususan yang pelbagai menunjukkan bahawa tanggungjawab isteri dan ibu tidak menghalang wanita untuk menuntut ilmu, menyampaikan ilmu, dan menjadi pakar dalam sesuatu bidang ilmu. Sebagai contoh, Umm Darda’ seorang wanita dari kalangan tabi’in, berkesempatan untuk belajar dengan ramai pakar hadis, menjadi guru kepada ramai ulama termasuklah Khalifah Umayyad yang kelima, Abdul Malik bin Marwan (646M-705M), dan dalam masa yang sama menjadi isteri yang setia.
Aishah binti Talha telah disenaraikan sebagai salah seorang perawi hadis yang dipercayai sehingga hadis-hadisnya dapat digunakan sebagai hujjah. Beliau telah meriwayatkan 29 hadis secara langsung daripada para sahabat termasuklah ibu saudaranya, Aishah binti Abu Bakr, isteri kepada Nabi Muhammad SAW. Banyak ulama yang datang kepada Aishah untuk meriwayatkan hadis daripadanya, antaranya ialah anaknya sendiri, Talhah bin Abdullah, anak saudaranya Talhah bin Yahya, Muawiyah bin Ishaq.
Amat al-Wahid merupakan salah seorang anak perempuan kepada hakim terkenal di Baghdad iaitu Abu Abdullah al-Husayn al-Muhamili, yang juga penulis buku termasuklah Kitab fi al-Fiqh dan Salat al-‘idayn, dan anaknya juga adalah hakim iaitu Abu Hussein Mohammed bin Ahmed bin Ismail al-Muhamili. Beliau menjadi pakar dalam pelbagai bidang seperti kesusasteraan, fiqh berdasarkan mazhab Imam al-Sayfi’i, bahasa Arab serta matematik. Beliau juga menghafal al-Quran dan menguasai ilmu al-Quran. Beliau dipuji oleh ahli sejarah terkenal seperti Ibn al-Jawzi, Ibn al-Khatib Baghdadi dan Ibn Kathīr di dalam karya-karya mereka.
Shuhdah binti Abu Nasr al-Ibriyyah al-Baghdadiyyah merupakan isteri kepada ‘Ali ibn Muhammad, seorang tokoh penting dalam bidang sastera, yang kemudiannya menjadi sahabat kepada Khalifah al-Muqtafi. Suaminya juga telah mendirikan sebuah kolej dan penempatan untuk ahli Sufi, yang telah dibangunkan dan diusahakan atas kewangan sendiri. Isterinya, bagaimanapun, lebih dikenali: kerana Shuhdah mempunyai reputasi yang tinggi dalam menguasai bidang hadis, dan terkenal dengan kualiti isnadnya. Syarahannya mengenai Sahih al-Bukhari dan koleksi hadis lain telah dihadiri oleh ramai pelajar dengan jumlah yang besar. Beliau bukan sahaja pakar dalam bidang hadis, tetapi diakui sebagai ahli kaligrafi yang mahir dan menjadi kebanggaan dalam kalangan wanita yang digelar “Fakhr al-Nisa’”.
Fatimah binti Sa’d al-Khayr merupakan antara ulama wanita yang terkemuka daripada kurun keenam hijrah. Beliau dilahirkan di sebuah pekan yang terletak di timur negara China iaitu Kashgar ketika dalam pengembaraan keluarganya daripada Valencia, Sepanyol, dan beliau meneruskan tradisi mengembara ke serata pelusuk dunia seperti Baghdad, Isfahan, Hamadan dan sebagainya. Setelah bernikah, beliau berhijrah ke Damsyik, dan menyambung kembara ilmu ke Mesir dan menetap di kota tersebut. Menurut riwayat Imam al-Dhahabi, penduduk Mesir telah banyak mendapat manfaat daripada ilmu Fatimah.
Kemunculan ulama wanita semakin berkurangan khasnya selepas kurun kelima belas selepas hijrah disebabkan oleh banyak faktor. Walaupun demikian, zaman kegemilangan wanita menjadi ulama wajar dibanggakan dan perlu diusahakan untuk berulang kembali. Budaya ilmu dalam kalangan wanita perlu dipandang secara serius kerana wanita berperanan besar dalam membentuk institusi keluarga serta masyarakat yang lebih sempurna. Hujah yang mengatakan bahawa wanita tidak layak menjadi ulama kerana wanita lebih beremosi perlu disangkal kerana hanya ilmu yang bisa menundukkan emosi.
Berilmu, beramal dan beradab
Untuk menjadi seseorang wanita yang berilmu, ia bukan bererti untuk menyambung pengajian sehingga ke peringkat tertinggi. Wanita tidak dituntut untuk memiliki ijazah sarjana atau kedoktoran, tetapi cukuplah sekadar tidak lelah untuk menuntut ilmu melalui pelbagai medium dan mempraktikkan ilmu yang ada. Ilmu boleh diperolehi di mana-mana selagi ada usaha.
Menuntu ilmu sama ada di sekolah, di universiti atau pun di rumah tidak seharusnya dijadikan perbalahan. Tetapi konsep ilmu itu perlu difahami. Ilmu adalah cahaya yang perlu dicari, dan tidak akan datang dengan sendiri. Jalan untuk menuntut ilmu mempunyai kebarangkalian tidak semudah jalan untuk berhibur, dan ranjau perjalanan kemungkinan dipenuhi duri. Oleh yang demikian, Rasulullah SAW telah bersabda: “Barang siapa menempuh jalan untuk mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan jalan ke syurga baginya” (HR Muslim)
Menurut Prof. Naquib al-Attas, ilmu adalah ketibaan makna di dalam jiwa. Semakin banyak ilmu dalam diri seseorang, ilmu akan membawa jiwa semakin dekat kepada Tuhan sebagai sumber asal kepada ilmu. Oleh itu, Allah berkuasa memberi ilmu kepada individu yang bersedia, dan usaha masih perlu dilakukan bagi mencapai makna untuk memperolehi ilmu. Antara usaha yang digalakkan ialah dengan banyakkan berdoa, seperti mana yang telah disarankan oleh Rasulullah SAW: “Mintalah ilmu yang bermanfaat dan berlindunglah kepada Nya dari ilmu yang tidak bermanfaat” (HR Ibnu Majah).
Tambahan daripada itu, ilmu hanyalah akan lebih bernilai apabila disertai dengan amal. Wanita digalakkan untuk mengamalkan dan menerapkan ilmu dalam kehidupan seharian dan berusaha meperbaiki diri dari masa ke semasa. Ilmu yang tidak amalkan hanyalah menjadikan wanita dipenuhi dengan sikap seperti mengumpulkan barang di rumah sehingga penuh tanpa menggunakannya dan akhirnya terbazir begitu sahaja. Lalu, adab adalah sokongan terbaik yang merasionalkan seseorang yang berilmu agar mengamalkan ilmu dan memberi manfaat kepada orang disekelilingnya.
Akhir kalam, untuk renungan buat wanita dan semua, Imam Ghazali berkata: “Ilmu tanpa amal adalah gila dan pada masa yang sama, amalan tanpa ilmu merupakan suatu amalan yang tidak akan berlaku dan sia-sia.” Al-Khatib al-Baghdadi juga berkata: “Ilmu tanpa adab ibarat api tanpa kayu bakar. Adab tanpa ilmu laksana roh tanpa jasad.” Wanita akan lebih bermanfaat sebagai seorang yang berilmu, beramal dengan ilmu, dan beradab dengan akhlak yang mulia dengan bersumberkan ilmu.
Dr Nur Saadah Khair
Exco Dakwah WAFIQ