Keampunan Tuhan dan Kemaafan Manusia

Hadith & Islamic Research

Setiap manusia tidak lari dari melakukan kesilapan. Tetapi Nabi Muhammad SAW pernah menyatakan bahawa “Seorang Mukmin itu tidak jatuh dalam lubang yang sama sebanyak dua kali.” (HR Bukhari & Muslim). Ia bermaksud bahawa hanya mereka yang beriman yang akan berusaha untuk tidak melakukan kesilapan yang sama berulang kali.

Iman bukan sekadar membawa erti percaya, tetapi Iman adalah mengaku dengan lidah, membenarkan dengan hati dan mengamalkannya dengan anggota. Tetapi di dalam masa yang sama, lidah, hati, dan semua anggota badan sebenarnya tidak terhalang daripada melakukan dosa. Ia adalah ruang kepada manusia untuk sentiasa memohon keampunan sekiranya melakukan dosa, dan disarankan untuk tidak mengulangi dosa yang sama.

Hakikatnya, Nabi Muhammad SAW juga pernah ditegur secara langsung oleh Allah di atas kesilapan yang telah baginda lakukan secara tidak sengaja. Surah ‘Abasa menjadi bukti bahawa baginda adalah manusia biasa tetapi istimewa, kerana dosanya diampunkan dosanya yang telah lalu dan akan datang. Namun demikian, baginda masih sentiasa memohon keampunan dan menggesa untuk sentiasa memperbanyakkan istighfar dan taubat.

Memohon keampunan dan kemaafan

Salah satu doa yang digalakkan pada bulan Ramadan adalah “Allahumma innaka ‘afuwwun tuhibbu al-‘afwa (Ya Allah, Engkau maha pengampun yang menginginkan ampunan dari hamba-Mu maka ampunilah dosa kami)” (HR Tirmidhi) dengan mengharapkan keampunan daripada Tuhan. Doa ini juga perlu diteruskan pada bulan-bulan lain selepas Ramadan.

Malah, bermaaf-maafan juga tidak seharusnya berlaku pada bulan Syawal sahaja. Ia adalah amalan yang digalakkan untuk sering memohon maaf sekiranya melakukan kesilapan sesama manusia. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang ada kesalahan dengan saudaranya maka hendaklah diselesaikan sekarang, kerana sesungguhnya di sana tiada lagi wang ringgit untuk dibuat bayaran (yang ada hanyalah) diambil hasanah (kebaikan) yang ada padanya, kalau dia tidak mempunyai kebaikan, diambil keburukan orang itu lalu diletakkan ke atasnya.” (HR Bukhari).

Hadis ini menunjukkan bahawa memohon kemaafan sesama manusia sama pentingnya dengan memohon keampunan Tuhan. Ia tidak akan selesai hanya memohon keampunan Tuhan tanpa memohon maaf daripada sanak saudara dan kenalan yang pernah kita sakiti sama ada dengan sengaja mahupun tidak sengaja. Tambahan daripada itu, kita juga digalakkan untuk menjadi seorang yang sentiasa memaafkan. Walaupun sukar, tetapi memaafkan tidak akan menjadikan kita hina kerana saling maaf-bermaafan hanya akan menjadikan kita mulia.

Mengakui kesalahan tanpa mendedahkan dosa

Walaupun demikian, Nabi pernah berpesan, walaupun setiap dari kita tidak lari daripada melakukan dosa, tetapi ia tidak bermakna kita dibenarkan untuk mendedahkan dosa yang pernah dilakukan sama ada secara senyap atau terbuka.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah ra katanya: Rasulullah SAW bersabda, “Setiap pengikutku akan diampunkan kecuali orang-orang yang mendedahkan kesalahan mereka. Contohnya adalah orang yang melakukan dosa pada malam yang Allah menutupi baginya, dan pada waktu pagi, dia akan berkata (kepada orang-orang): “Saya telah melakukan dosa itu dan dosa tadi malam tadi, sedangkan Allah menyimpan rahsia itu. Pada waktu malam Allah menutupinya tetapi pada waktu pagi ia mengoyakkan sampul yang disediakan oleh Allah sendiri.” (HR Al-Bukhari dan Muslim).

Mengakui kesalahan adalah perlu kerana ia memberi makna yang mendalam ketika kita memohon kemaafan. Ia juga membantu kita untuk lebih berhati-hati agar tidak mengulangi kesilapan yang sama. Tetapi mewar-warkan secara umum bahawa kita melakukan sesuatu dosa atau kesalahan adalah tidak digalakkan kerana ia membuka aib diri sendiri serta aib orang lain yang terlibat sama.

Sadisnya, masih ramai yang suka mendedahkan dosa peribadi mereka dengan alasan manusia tidak lari dari melakukan dosa. Walaupun begitu, dosa yang ada bukanlah untuk ditayangkan atau diumukan secara terbuka kerana pintu taubat akan sentiasa terbuka bagi mereka yang menyesali atas dosa dan kesilapan mereka.

Rasulullah SAW berkata lagi tentang hal dosa, maksudnya: “Dosa itu adalah apa yang tidak enak di hatimu dan engkau benci untuk menayangkannya di hadapan manusia.” (HR Muslim). Ia berkait rapat dengan soal malu dan aib yang perlu dijaga.

Sebagai peringatan untuk kita yang tidak lepas dari melakukan dosa, ayuh sentiasa perbanyakkan taubat dan memohon keampunan Tuhan serta memohon juga kemaafan sesama manusia, dan saling menutup aib dan menjaga kehormatan sesama kita. Nabi SAW berpesan, “Barangsiapa menutup aib seorang muslim, maka Allah akan menutup aibnya di dunia dan di akhirat.” (HR Muslim)

Dr. Nur Saadah Khair
Exco Kajian Islam & Hadis
International Women’s Alliance for Family and Quality Education
WAFIQ

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *