Peranan Belia Dalam Isu Kalimah Allah

Puan Siti Nazatul Murnirah Mahadzir Religious Rights Viewpoints Youth

Pada 14 Mac 2021 lalu, pihak WAFIQ telah dijemput di atas kapasiti sebagai wakil belia untuk menghadiri satu persidangan tergempar yang menghimpunkan NGO-NGO Islam tentang isu penggunaan kalimah Allah di Kelab Sultan Sulaiman Kuala Lumpur. Persidangan ini dianjurkan oleh Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) selepas beberapa hari Mahkamah Tinggi membenarkan penganut agama Kristian menggunakan kalimah Allah, Baitullah, Kaabah dan solat dalam penerbitan pendidikan agama itu (bukan merujuk kepada Allah, Baitullah, Kaabah dan solat yang difahami oleh umat Islam).

Hakim Datuk Nor Bee Ariffin, yang merupakan Hakim Mahkamah Rayuan telah membenarkan tiga pengisytiharan deklarasi oleh seorang wanita keturunan Melanau dari Sarawak, Jill Ireland Lawrence Bill. Dalam penghakimannya, beliau membenarkan deklarasi dalam mengamalkan kebebasan beragama yang terlindung mengikut Perkara 3, 8, 11 dan 12 Perlembagaan Persekutuan. Selain itu, Hakim Noor Bee Ariffin berkata, arahan Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 5 Disember 1986 yang melarang penggunaan kalimah “Allah”, “Baituallah”, “Solat” dan “Kaabah” oleh orang bukan Islam adalah tidak sah di sisi undang-undang dan tidak berperlembagaan, serta arahan KDN itu melampaui tujuan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Dalam persidangan tersebut, sebanyak enam resolusi telah dikemukakan:-

1. Menuntut Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk merayu terhadap keputusan ini ke mahkamah yang lebih tinggi dengan kadar segera dan meminta penangguhan perlaksanaan keputusan hakim tersebut sehingga kes rayuan selesai. KDN perlu mengeluarkan pekeliling baharu pengharaman penggunaan perkataan-perkataan tersebut sekiranya penangguhan itu tidak dibenarkan.

2. Menuntut kerajaan dan jawatankuasa Pemilihan Hakim untuk memastikan hanya mereka yang benar-benar faham sejarah perundangan negara dan menghayati Islam sebagai agama Persekutuan dalam konteks yang sebenar dilantik sebagai hakim.

3. Menyarankan agar setiap organisasi dan persatuan umat Islam mengambil serius perihal dan isu ini kerana ianya membawa implikasi yang besar kepada umat Islam dan kita menyarankan agar satu memorandum bantahan dihantar kepada majlis agama Islam negeri (MAIN) di setiap negeri dengan kadar yang segera.

4. Menuntut kerajaan mengadakan preamble (mukadimah) kepada Perlembagaan Persekutuan dengan memasukkan elemen-elemen penting bagi menjaga keutuhan Islam.

5. Menggesa Dewan Bahasa dan Pustaka selaku badan berautoriti terhadap bahasa untuk memberikan definisi kepada ‘God’ sebagai ‘Tuhan’ bagi menghilangkan pertikaian yang timbul.

6. Memohon ampun perkenan Raja-Raja Melayu selaku Ketua Agama Islam bagi negeri masing-masing untuk mengambil tinakan segera bagi membetulkan keadaan supaya Islam tidak terus dihina dan dipermain-mainkan.

Persidangan ini memperlihatkan bahawa NGO-NGO Islam sudah mula cakna dan mempunyai pengetahuan undang-undang yang luas dalam menangani isu -isu seperti ini. Antara kekhuatiran yang disuarakan oleh kebanyakan NGO Islam ini ialah kebimbangan akan kalimah Allah itu diseleweng dan digunakan untuk dakyah ke atas umat Islam. Situasi seperti ini bukan hanya rekaan di siang hari tapi kenyataan semasa yang perlu dihadapi.

Penulisan kali ini akan memfokuskan lebih kepada peranan belia dalam menangani isu-isu sensitif sebegini. Jika dirujuk statistik Jabatan Perangkaan Malaysia pada suku pertama 2020, jumlah penduduk yang berumur antara 15 hingga 30 tahun adalah dianggarkan seramai 9.2 juta yang mewakili 27.8 peratus daripada keseluruhan 32.7 juta penduduk Malaysia.

Pertama sekali, kita sebagai pemuda dan pemudi harapan umat perlulah sentiasa berusaha untuk mengukuhkan tahap keimanan kepada Allah dengan melakukan perkara yang disuruh dan meninggalkan segala larangan-Nya. Tanpa iman dan pegangan akidah yang mantap, percayalah hati kita tidak akan terusik atau berasa ada yang tidak kena tentang perkara ini. Kita akan menganggap bahawa penggunaan isu kalimah Allah ini ialah isu picisan dan sekadar dibesar-besarkan untuk kepentingan tertentu. Firman Allah SWT dalam Surah al-An’am, ayat 82): “Orang-orang yang beriman dan tidak mencampuradukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka itulah orang-orang yang mendapat keamanan dan merekalah orang-orang yang mendapat hidayah dan petunjuk.”

Seterusnya, para belia terutamanya mahasiswa dan mahasiswi perlu cakna dan banyakkan pembacaan tentang isu-isu semasa. Namun, perlu diingatkan bahawa setiap info dan maklumat yang diperoleh perlu ditapis dahulu untuk mengelakkan salah faham dan penyampaian maklumat yang tidak benar. Bacalah dengan fikiran yang terbuka dan minda yang tidak berat sebelah. Para belia juga perlu melibatkan diri dan bergiat aktif dalam perjuangan yang melibatkan jati diri bangsa dan tidak hanya duduk berdiam diri membiarkan ‘orang-orang tua’ selamanya mengemudi. Penggunaan media sosial yang meluas oleh para belia merupakan satu kelebihan untuk menyebarkan lagi perkara yang haq dan menyangkal perkara yang batil.

Akhir sekali, jagalah adab dan tatasusila berasaskan akhlak Rasulullah SAW. Jangan mulakan provokasi melampau yang menjatuhkan adab sebagai seorang Muslim. Isu ini Insha’Allah boleh diselesaikan dengan cara baik menurut undang-undang tanpa berlakunya pertumpahan darah atau rusuhan di jalanan.

Siti Nazatul Murnirah Mahadzir
Exco Media
International Women’s Alliance for Family Institution & Quality Education (WAFIQ)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *