Buat Kebajikan Biar Umpama Urip Iku Urup

Viewpoints

BARANGSIAPA muncul di atas masyarakatnya, dia akan selalu menerima tuntutan daripada masyarakatnya-masyarakat yang menaikkannya, atau yang membiarkannya naik.” – Pramoedya Ananta Toer.

Pengabdian diri seseorang kepada keperluan masyarakat amatlah penting bagi mengimbangi keperluan mendesak sesuatu komuniti dan keterbatasan sumber yang wujud secara semula jadi dalam mana-mana kelompok masyarakat. Dalam peribahasa Jawa, banyak sekali ditekankan tentang peri penting keperluan mengabdikan usaha untuk kebaikan masyarakat. Contohnya peribahasa ‘urip iku urup’ yang bermaksud ‘hidup itu nyala’ dan boleh difahami sebagai teguran agar hidup seseorang itu digunakan untuk menerangi hidup orang lain.

Dalam dunia yang dilimpahi dengan kepelbagaian kesenangan dek kerana kemajuan teknologi, takrifan modal sosial juga berubah mengikut peralihan masa. Jika dahulu modal sosial hanya menekankan interaksi sosial di antara masyarakat setempat, kini modal sosial yang ditawarkan seseorang mampu memberi kesan bukan saja kepada masyarakat terdekat tetapi mampu juga mengubah kehidupan warga senegara, malah sehingga ke peringkat antarabangsa.

Atas kesedaran ini, ramai aktivis masyarakat, yang memperjuangkan pelbagai isu sosial, turut sama melibatkan diri secara terus dalam memperkasakan program-program kesukarelawanan dalam negara. Kesatuan para aktivis memperkayakan lagi manfaat kesukarelawanan buat memelihara kebajikan masyarakat. Gerak kerja para aktivis boleh dipecahkan kepada tiga kategori utama: kerja advokasi, kebajikan atau kemanusiaan.

Untuk gerak kerja advokasi, para aktivis memfokuskan kerja mereka bagi mewujudkan kesedaran umum tentang sesuatu isu sosial di setiap peringkat masyarakat. Contohnya apabila seorang aktivis menjalankan kempen kesedaran mengenai isu sosial seperti masalah kanak-kanak pelarian yang keciciran pendidikan.  

Manakala kerja-kerja kebajikan melibatkan bantuan yang disalurkan kepada suatu golongan rentan secara berterusan. Sebagai contoh apabila aktivis menderma sejumlah wang untuk membantu mendirikan sebuah sekolah alternatif bagi manfaat kanak-kanak pelarian.

Sedangkan bantuan kemanusian pula adalah bantuan yang disalurkan kepada penerima secara mustahak akibat kerentanan yang dialami mereka kesan daripada berlakunya pelbagai jenis tragedi secara mendadak. Sebagai contoh apabila aktivis mendermakan bekalan makanan kepada keluarga pelarian yang terkesan dengan situasi pandemik COVID19.

Apabila para aktivis berkumpul untuk menjalankan program kemasyarakatan, sudah tentu perkara pertama yang dititikberatkan adalah kesahan kumpulan para aktivis itu sendiri. Maka acapkali, dalam kerja kemasyarakatan yang dijalankan secara teratur, kumpulan para aktivis yang bernaung di bawah satu matlamat dan iltizam akan mendaftarkan gerakan kerja mereka sebagai sebuah pertubuhan yang sah di sisi undang-undang.

Selalunya gerakan kerja sosial akan didaftarkan sebagai sebuah pertubuhan di bawah Akta Pertubuhan 1966 [Akta 335] dan Peraturan-Peraturan Pertubuhan 1984 yang diwujudkan di bawah Akta khusus ini. Bagi mengawal selia pendaftaran pertubuhan, Kementerian Dalam Negeri telah mewujudkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia yang akan memantau sebarang pertubuhan selain daripada syarikat, koperasi, kesatuan sekerja, persatuan ibu bapa dan guru atau badan-badan sukan.

Syarat utama yang diletakkan ke atas mana-mana gerakan kerja sebelum boleh didaftarkan adalah pertubuhan itu mestilah tidak bertentangan dengan keamanan, kebajikan, keselamatan, ketenteraman awam, ketertiban atau akhlak negara Malaysia. Syarat ini penting bagi memastikan tiada pertubuhan haram yang boleh didaftarkan khususnya bagi tujuan menganggu ketenteraman awam. Atas sebab ini, KDN mengharamkan pertubuhan kongsi gelap dan seumpama dengannya meskipun pertubuhan itu mungkin menyamari gerak kerja mereka sebagai kerja kemasyarakatan.

Meskipun janggal, ada juga pertubuhan yang didaftarkan sebagai sebuah syarikat. Ini lebih banyak dilakukan oleh para aktivis yang menjalankan kerja-kerja advokasi kerana acap kali mereka juga menawarkan khidmat nasihat dan rundingan khususnya dalam hal melibatkan isu sosial yang mereka ungguli. Kawalan selia pertubuhan yang didaftarkan sebagai syarikat adalah terhad berlandaskan peruntukan Akta Syarikat 2016 [Akta 777].

Keterlibatan aktivis sosial sebagai ahli masyarakat yang cakna tentang kelompongan yang wujud dalam masyarakat itu mampu memperbaiki kehidupan golongan rentan yang mereka santuni. Namun keterlibatan ini haruslah didasari dengan kebertanggungjawaban yang tinggi memandangkan amanah besar yang diletakkan di bahu mereka oleh ahli masyarakat yang percayakan keupayaan mereka untuk menyelesaikan sesuatu masalah sosial. Amatlah menggusarkan apabila ada pertubuhan yang telah didaftarkan secara sah mengumpul dana awam untuk tujuan kerja-kerja kemasyarakatan mereka lalu menyalurkan dana secara salah atau secara tidak amanah sehingga merugikan golongan rentan yang mereka santuni. Amanah yang dimungkiri bukan saja kepada penerima bantuan tetapi juga kepada setiap penyumbang dana.

Perlu wujud pantauan yang lebih kemas bagi memastikan kewujudan pertubuhan yang menjalankan kerja sosial adalah benar-benar memberikan manfaat kepada masyarakat. Ini kerana jika timbul waima sekelumit niat untuk memanipulasi masyarakat bagi kepentingan diri sendiri, keingkaran mereka akan menjadi bakar tak berbau sehingga sudah terlambat.

Fatihah Jamhari ialah pengamal undang-undang serta merupakan Ketua Biro Undang-undang dan Hak Asasi WAFIQ, juga Ahli Jawatankuasa Pusat MACSA.

(Rencana ini telah disiarkan di akhbar Utusan Malaysia melalui ruang Cakna pada 1 Oktober 2021)



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *