Memperkasa Hak Pekerja Di Samping Hak Institusi Keluarga

Cik Fatihah Iliani Jamhari Islamic Family Law Legal Advocacy Legal and Human Rights Viewpoints

JANGANLAH kamu membebankan mereka (pekerja), dan jika kamu memberikan tugas kepada mereka, bantulah mereka.” – Hadith yang diriwayatkan oleh Abu Zar R.A dalam Riwayat al-Bukhari (30).

Pada 25 Oktober 2021, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M.Saravanan, telah membawakan Rang Undang-Undang Kerja (Pindaan) 2021 (RUU DR1/2021) bagi bacaan kali yang pertama di Dewan Rakyat. Rata-rata banyak pihak yang memberikan pujian kepada garapan kerajaan melalui Rang Undang-Undang inidalam mengharmonikan peruntukan sedia ada di bawah Akta Kerja 1995 [Akta 265]. Ini termasuklah usaha melestarikan Standard Minimum Pekerjaan menurut Standard Perburuhan antarabangsa.

Malah, inilah komitmen yang telahpun diisytiharkan kerajaan sejak 29 Julai 2020 lagi bilamana Timbalan Menteri Sumber Manusia, Tuan Haji AwangHashim menyatakan dalam jawapan beliau di Dewan Rakyat bahawa suatu pindaan kepada Akta 265 akan diadakan bagi memperkenalkan cutipaterniti, meningkatkan tempoh cuti bersalin dan menambahbaik perlindungan bagimenangani gangguan seksual di tempat kerja.Setelah lebih setahun menunggu dan meskipun terdapat pertukaran tampuk pimpinan kerajaan, akhirnya komitmen ini direalisasikan. 

Sokongan sosial yang diperkasakan dalam RUU DR 1/2021 bukan saja menzahirkan iltizam kerajaan dalam menyokong hak pekerja tetapi juga memberikan ruang besar kepada pekerja dalam negara ini untuk memperkukuh hak institusi keluarga, diimbangi dengan tuntutan kerja yang semakin menekan pada masa ini.

Antara contoh jelas bantuan sosial yang akan dimasukkan ke dalam Akta 265 adalah pindaan yang dicadangkan kepada Seksyen 22(2) sedia ada, di mana pekerja juga dibenarkan untuk menuntut pendahuluan gaji bagi tujuan membayar kos perubatan pasangan mereka; berbanding sebelum ini yang hanya membenarkan pendahuluan gaji untuk pembayaran kos perubatan ibu bapa, anak dan adik-beradik sahaja.

Tambahan pula, jika sebelum ini, di bawah Seksyen 37(1)(d)(ii) Akta 265, tempoh cuti bersalin hanyalah selama 60 hari, namun dengan cadangan pindaan di bawah Sekysen 12,RUU DR 1/2021 tempoh ini akan dipanjangkan kepada 90 hari bagi memanfaatkan pekerja wanita yang melahirkan anak semasa masih dalam tempoh pekerjaan.

Sokongan sosial ini harus dibaca secara bersama dengan pindaan yang mencadangkan kemasukan Seksyen 60FA yang memperuntukan cuti paterniti berbayar selama tempoh tiga hari dalam tempoh berpantang. Jelas kedua-dua cadangan ini diadakan bagi mengukuhkan lagi hak dan perlindungan bagi institusi keluarga dengan memberikan ruang yang selesa kepada hak pekerja.

Selaras dengan itu, pindaan yang mencadangkan kemasukan Seksyen 41A mengenai sekatan ke atas pemberhentian pekerja wanita hamil ke dalam Akta 265 juga merupakan perlindungan yang berlandaskan amalan industri di peringkat antarabangsa.

Selain itu, Rang Undang-Undang ini turut mencadangkan kemasukan Seksyen 69F baru bagi memperkenalkan kuasa Ketua Pengarah untuk menyiasat dan memutuskan sebarang pertikaian berkaitan diskriminasi dalam pekerjaan, dan membuat perintah berdasarkan keperluan yang timbul. Pindaan-pindaan sebegini yang memperkemaskan lagi hak pekerja di Malaysia adalah amat dialu-alukan. 

Bagi memperkayakan lagi perlindungan di bawah Bahagian XVA Akta 265, pindaan turut mencadangkan kemasukan Seksyen 81H yang mewajibkan majikan untuk mempamerkan notis kesedaran tentang gangguan seksual di tempat kerjasecara jelas. Sebagai sektor pertama yang berjaya mentakrifkan ‘gangguan seksual’, sudah tentu sebarang proses untuk memberi kesedaran tentang gangguan seksual adalah amat perlu. Ini lebih-lebih lagi memandangkan kekerapan insiden seumpama ini sering berlaku di tempat kerja kerana jurang kawalan dan kuasa di antara pegawai atasan dan pekerja bawahan.  

Mengambil kira juga keadaan rawak yang dialami pekerja dalam zaman pasca pandemik COVID19 dan kemajuan proses globalisasi, Rang Undang-Undang ini turut mencadangkan untuk memasukkan Bahagian XIIC baru yang memperincikan permintaan bertulis daripada pekerja kepada majikannya untuk mengubah terma dan syarat pekerjaan berhubungan dengan kefleksibelan kerja. Langkah ini bertujuan untuk memastikan perlindungan kepada pekerja dapat diimbangi dengan tuntutan hak majikan ke atas produktiviti pekerja. 

Namun begitu, pada hemat saya, masih wujud beberapa cadangan pindaan di bawah RUU DR 1/2021 yang harus diperhalusi. Antaranya cadangan di bawah Seksyen 10 yang berhasrat memansuhkan perlindungan sedia ada untuk pekerja wanita di bawah Bahagian VIII berkenaan dengan larangan kerja malam (Seksyen 34), larangan kerja bawah tanah (Seksyen 35) dan larangan pekerjaan oleh Menteri (Seksyen 36).

Selain itu, peruntukan sedia ada di bawah Bahagian IX(yang merangkumi Perlindungan Bersalin) dan Bahagian XVA(yang melibatkan perlindungan terhadap gangguan seksual di tempat kerja)adalah terpakai kepada semua pekerja. Namun, pindaan kini menghadkan pemakaian peruntukan Seksyen 44A dan Seksyen 81G Akta 265 hanya kepada pekerja yang dirangkumi di bawah Akta ini berdasarkan tingkat gaji RM2,000.00 ke bawah sahaja.

Meskipun teruja dengan perubahan yang memartabatkan hak pekerja, khususnya hak wanita bekerja, namun haruslah juga mengambil iktibar ambil pati, buangkan ampas dalam didalami beberapa peruntukan yang dilihat menghakis perlindungan sedia ada.

Fatihah Jamhari ialah pengamal undang-undang serta merupakan Ketua Biro Undang-undang dan Hak Asasi WAFIQ, juga Ahli Jawatankuasa Pusat MACSA.

(Rencana yang telah disunting telah disiarkan di akhbar Utusan Malaysia, menerusi kolum Cakna pada 7 Januari 2022 melalui pautan berikut https://www.utusan.com.my/rencana/2022/01/memperkasa-hak-pekerja-institusi-keluarga/)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *