Moraliti Masyarakat dalam Perlembagaan Malaysia

Cik Fatihah Iliani Jamhari Education Legal Advocacy Perlembagaan Viewpoints

Tanggungjawab memberi erti, makna kepada frasa perundangan (Perlembagaan) terletak di atas bahu setiap umat Islam yang wajib berusaha menjelmakan Islam secara terserlah dalam budaya hidup harian.” – Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Kestabilan masyarakat hanya akan boleh dijamin dengan menggariskan peruntukan undang-undang yang jelas wujud bagi menghalang perbuatan yang mampu mengganggu-gugat ketenteraman awam. Atas alasan itu, Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan dengan nyata memaktubkan bahawa setiap kebebasan yang dimilik rakyat Malaysia haruslah dibatasi dengan tanggungjawab memastikan ketenteraman awam atau prinsip moral terjaga. Sedangkan prinsip moral hanya dapat dipelihara apabila kerangka perundangan jenayah diolah secara adil dan teratur bagi menzahirkan ketenteran awam.

Sebagai contoh, Perkara 10 membenarkan kebebasan bersuara tetapi haruslah mengambil kira ketenteraman awam dan prinsip moral. Untuk ini, Parlimen telah menggubalkan Akta Hasutan 1948 [Akta 15] yang mengharamkan ungkapan yang menghasut rakyat bagi mengembangkan perasaan niat jahat dan permusuhan antara golongan penduduk yang berlainan di Malaysia. Selain itu, dalam meyakini bahawa percakapan yang berunsur fitnah adalah lompong moral, maka Parlimen juga telah mengharamkan perbuatan mengeluarkan tohmahan tidak benar seperti di bawah Seksyen 499 Kanun Keseksaan.

Sebagai masyarakat yang mempunyai peradaban tersendiri, kita boleh bayangkan jika kebebasan di bawah Perkara 10 tidak dibatasi dengan sebarang sekatan. Sudah tentu setiap rakyat mampu mengolahkan onar yang pelbagai sehingga ketenteraman hidup bermasyarakat lenyap dek sifat pentingkan diri mahupun buah mulut buruk sesetengah orang yang tidak segan dengan adab, akhlak, etika dan moraliti.

Bagi memahami susun atur prinsip moral dalam kerangka undang-undang, kita haruslah meyakini bahawa rencah dalam setiap sistem perundangan jenayah adalah moraliti masyarakat yang menerimapakai sistem itu.Bersandarkan pemahaman ini, sistem perundangan jenayah di Malaysia telah mengambil banyak prinsip berteraskan akhlak didikan agama Islam sebagai cagaran utama. Ini mengambil kira juga bahawaPerkara 3 Perlembagaan Persekutuan telah jelas memartabatkan Islam sebagai agama Persekutuan.

Malah jika ditelesuri sejarah dan perkembangan sistem perundangan jenayah dalam negara ini, prinsip Islam adalah tunjang yang membentuk Hukum Kanun Melaka, Hukum Kanun Pahang dan Undang-undang 99 Perak. Sebab itu, perbuatan seperti berjudi dan perselingkuhan yang merupakan kelakuan berdosa dalam ajaran akhlak agama Islam di anggap sebagai suatu jenayah dalam kanun-kanun lama ini.

Contoh terkini boleh dilihat dalam tahun 2002 apabila Parlimen meminda Kanun Keseksaan untuk membawa masuk pengharaman terhadap perbuatan sumbang mahram. Walaupun Kanun Keseksaan seperti mana yang ada dalam negara telahpun diserap masuk daripada Kanun Keseksaan negara India sejak tahun 1936 lagi, namun hanya pada tahun 2002 barulah Parlimen melihat keperluan untuk mengimport masuk peruntukan mengenai sumbang mahram. Sedangkan kesalahan ini sudahpun diharamkan dengan jelas melalui enakmen syariah sejak 1990-an lagi. Misalnya melalui Seksyen 20 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Johor) 1997.

Begitu juga dengan perbuatan pelacuran seperti di bawah Seksyen 372 Kanun Keseksaan yang juga hanya dijadikan kesalahan di peringkat Persekutuan pada tahun 2002 melalui Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2001 [Akta A1131].Walhal kesalahan pelacuran sudahpun menjadi kesalahan jenayah syariah 16 tahun lebih awal melalui Enakmen Kanun Jenayah Syariah (Kelantan) 1985yang sudah berkuatkuasa sejak 1 Mei 1986.

Meskipun kebelakangan ini setiap perihal melibatkan agama Islam dipandang jelik oleh masyarakat Malaysia, sehinggakan ramai sekali yang merendah-rendahkan agama ini, namun sebenarnya akhlak ajaran Islam adalah pegangan yang telah banyak mendidik masyarakat Malaysia mengenai prinsip moral khususnya melalui perundangan jenayah yang adil dan teratur. Namun, kini dengan peredaran masa yang semakin meruncing, rakyat negara ini sudah terhakis akhlak sehinggakan setiap kelakuan yang lompong etika dan moraliti kini dilihat tidak segan di pandangan mata.

Jika dulu perbuatan liwat yang melibatkan pelaku lelaki sama jantina dilihat sebagai perbuatan sumbang, hina dan jelik tetapi tidak lagi sekarang. Bahkan individu yang mengamalkan perbuatan sumbang ini bangga mengisytiharkan secara terbuka bahawa etika dan moraliti mereka tidak menerimapakai peruntukan dalam perundangan yang mengharamkan perbuatan liwat. Lebih memualkan, apabila dibawa pertuduhan terhadap mereka yang tertangkap, boleh pula mereka mengatakan bahawa undang-undang yang ada itu salah kerana berdiri di pinggiran masyarkat yang semakin moden.

Masyarakat Malaysia sudah semakin alpa dengan sumpah ikrar mereka agar Keluhuran Perlembagaan menjamin ketenteraman awam berlandaskan prinsip moral. Kekangan sah seperti yang digubalkan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri dilihat bernilai recehan yang boleh direndah-rendahkan. Malah, kini ada yang mengutarakan agar prinsip moral masyarakat negara ini dirombak semula bagi membenarkan perbuatan sumbang yang kononnya telahpun diterima di peringkat antarabangsa. Nilai moral rakyat Malaysia yang semakin bobrok harus diingatkan bahawa ‘kalau sesangkar sekalipun, yang bayan itu bayan juga; serindit, serindit juga.’ Jangan hanya kerana merasa diri moden, kita memukul rata semua nilai moraliti pegangan masyarakat antarabangsa sedangkan sistem demokrasi berparlimen di Malaysia adalah berbeza dan unik tanpa perlu mendapat sokongan masyarakat luar.

Fatihah Jamhari ialah pengamal undang-undang serta merupakan Ketua Biro Undang-undang dan Hak Asasi WAFIQ, juga Ahli Jawatankuasa Pusat MACSA.

(Rencana yang telah disunting telah disiarkan di akhbar Utusan Malaysia, menerusi kolum Cakna pada 18 Mac 2022 melalui pautan berikut : https://www.utusan.com.my/premium/2022/03/kemodenan-hakis-moraliti-masyarakat/)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *