“WAKTU bagi orang Islam adalah sesuatu yang harus dipertanggungjawabkan.” – Buya HAMKA
Meskipun berkurun lama negara ini dibentuk dalam acuan budaya, adat, adab dan agama namun Malaysia tetap tidak bebas daripada pukulan kuat arus pascamodernisme yang langsung melihat nilai ketimuran yang diterap sebati dalam diri setiap warganegara semakin dikikis ruang waktu.Amatlah malang sekali kerana moraliti sudahpun dipasakkan dalam jati diri Malaysia sebagai sebuah negara bangsa.
Jika dulu akhlak atau moraliti diletakkan sebagai kayu ukur utama dalam setiap perilaku masyarakat timur, tetapi kini adab tidak lagi dilihat penting. Malah, akhlak hanya didikan kosong yang diajar secara ritual di kelas-kelas agama atau pendidikan sivik.Moraliti yang ada dalam masyarakat kita hanyalah bualan dan ritual kosong tanpa ruh.
Maka, tidak pelik untuk kita melihat saban hari ada saja kelakuan kebinatangan yang dipamerkan secara jelas di khalayak awam. Walaupun terasa jelik, tetapi masyarakat sekeliling tidak ada kuasa untuk menegur apatah lagi menghentikan perbuatan melanggar batas adab yang berlaku di depan mata. Ada yang sanggup bermaki-makian, berpukulan bahkan berbunuhan di tempat umum. Ada pula yang menari keranjingan, mendedahkan segala satu bentuk aib hinggakan bertelanjang bulat untuk tatapan awam.
Hanya untuk rasa bangga yang sedetik cuma, ramai yang meninggalkan sifat malu.Memandangkan sifat malu sudah lama hilang dalam diri, yang tua tak sedar kubur memanggil, yang muda langsung terlupa ajal bukan boleh ditunda-tunda. Masyarakat dalam dunia pascamodernisme hanya menyembah nafsu dan naluri.
Untung saja sempena bulan mulia ini, amalan berpuasa, yang mengikat majoriti warganegara Malaysia, mengingatkan masyarakat kita tentang batasan yang masih ada. Maka sekali lagi pelbagai jenis nasihattentang adab dan akhlak dilaung-laungkan oleh para penceramah agama baik di dada akhbar, kaca televisyen mahupun corong pembesar suara di surau dan masjid. Sidang pembaca, para penonton dan ahli kariah yang sudi menerima mesej yang disampaikan pula terangguk-angguk mengiyakan nasihat yang dititipkan sebelum akhirnya dilupakan sama sekali.
Masyarakat kita sudah tenat dek kerana hilang sudah rasa malu, yang menjadi tirai memelihara kesucian didikan agama dan benteng kepada akhlak. Bila masyarakat tidak merasa segok melakukan onar, yang tinggal untuk memastikan masyarakat tidak terus berperlakuan seperti binatang hanyalah kekangan undang-undang. Hanya undang-undang yang dilihat mampu mendidik rakyat untuk kenal dengan acuan budaya, adat dan adab yang telah luntur dek zaman.
Jadi, awal minggu lalu penuh di dada akhbar melaporkan petikan berita peringatan denda yang akan menanti mereka yang enggan berpuasa. Secara peribadi, saya merasa amat janggal sekali apabila dibaca Timbalan Ketua Menteri dari negeri yang dilihat paling liberal dalam negara ini mewar-warkan tentang peruntukan di bawah Enakmen Undang-Undang Jenayah Syariah negeri yang membenarkan denda dan penjara untuk mereka yang tidak berpuasa.
Dikatakan tujuan peringatan adalah bagi manifestasi kesungguhan pentadbiran Islam negeri itu untuk mengajak umat Islam agar sama-sama memuliakan bulan suci. Jelas menunjukkan kegusaran orang ramai bahawa tanpa amaran denda dan penjara, bulan suci tidak mampu dimartabatkan.
Sedih dan perit untuk ditelan, namun itulah realiti masa kini. Jika tidak, mustahil untuk rangkaian teledrama 16 Puasa,karya penerbit tersohor Mamat Khalid, mendapat sambutan ramai. Sedangkan model untuk rangkaian teledrama ini adalah mesej yang sangat mudah dipertontonkan: pesanan untuk memelihara puasa dan menjaga kesucian bulan Ramadan. Benar, mesej ini mudah namun payah diterapkan kepada masyarakat.
Di bawah Seksyen Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 [Akta 559]misalnya, menjadikan kesalahan bagi umat Islam untuk tidak menghormati Ramadhan. Perlakuan ini termasuklah mana-mana orang yang menjual kepada mana-mana orang Islam apa-apa makanan, minuman, rokok atau benda lain yang seumpamanya untuk dimakan, diminum atau dihisap. Selain itu, mengikat juga mana-mana orang Islam yang secara terbuka didapati makan, minum atau menghisap rokok atau benda lain yang seumpamanya.
Kesalahan di bawah Seksyen 15 Akta 559 boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM1,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya. Untuk mendidik lagi, bagi kesalahan yang kedua atau berikutnya, mana-mana orang yang melanggar peruntukan ini boleh didenda tidak melebihi RM2,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.
Jadi persoalan saya untuk mereka yang sudah hilang rasa segan silu dengan moraliti dan agama masyarakat kita: apa khabar geng beg hitam tahun ini?
Fatihah Jamhari ialah pengamal undang-undang serta merupakan Ketua Biro Undang-undang dan Hak Asasi WAFIQ, juga Ahli Jawatankuasa Pusat MACSA.
(Rencana yang telah disunting telah disiarkan di akhbar Utusan Malaysia, menerusi kolum Cakna pada 8 April 2022 melalui pautan berikut : https://www.utusan.com.my/rencana/2022/04/apa-khabar-geng-plastik-hitam-tahun-ini/)