Baru-baru ini terdapat satu perkongsian di media sosial “TikTok” berkenaan isu percintaan dan perkahwinan antara orang Islam sesama agama lain. Hantaran video tersebut telah meraih puluhan ribu perhatian netizen dan rata-rata memberi komen serta buah fikiran, malah tidak kurang juga yang bersimpati dengan hubungan berlainan agama yang tidak kesampaian itu.
Sebagai seorang Muslim, wajib kita berpegang teguh pada Al-Quran dan Sunnah yang telah menjadi panduan kehidupan yang lengkap. Ayat 221, Surah Al-Baqarah jelas mengatakan bahawa, “Dan janganlah kamu berkahwin dengan perempuan kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk agama Islam); dan sesungguhnya seorang hamba perempuan yang beriman itu lebih baik daripada perempuan musyrik sekalipun keadaannya menarik hati kamu. Dan janganlah kamu (kahwinkan perempuan-perempuan Islam) dengan lelaki-lelaki kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk agama Islam) dan sesungguhnya seorang hamba lelaki yang beriman lebih baik daripada seorang lelaki musyrik, sekalipun keadaannya menarik hati kamu…”
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada tahun 2003 telah mengeluarkan kenyataan bahawa perkahwinan berlainan agama tidak dibenarkan dan tidak diiktiraf di negara ini serta tindakan undang-undang boleh diambil terhadap pelaku. Selain itu, perkahwinan berlainan agama adalah berlawanan dengan prinsip akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).
Walau bagaimanapun, tidak mengejutkan masih terdapat mereka yang cetek pengetahuan mengenai isu akidah dan seterusnya lantang menyalahkan agama kerana ingin memenangkan hawa nafsu. Kurangnya ilmu pengetahuan dan kefahaman tentang sesuatu larangan yang telah ditegaskan oleh agama turut menjadi salah satu punca. Golongan liberal terus berhujah mengikut logik akal fikiran tanpa berpaksikan sumber yang sahih dan jelas. Malah ada yang memberi pendapat untuk pindah negara bagi memudahkan urusan perkahwinan sesama berlainan agama tanpa masing-masing perlu berkorban untuk memeluk agama Islam mengikut agama pasangan Muslim.
Menariknya, perkahwinan berbeza agama ini sudah tidak asing lagi bagi sesetengah negara seperti di India, Indonesia dan lain-lain negara. Mengambil contoh negara jiran iaitu Indonesia, punca terdapatnya permasalahan seperti ini adalah kerana tiadanya undang-undang yang jelas mentadbir dasar perkahwinan tersebut menyebabkan kekeliruan masyarakat di Indonesia sehingga ianya boleh ditafsir sewenang-wenangnya.
Fasal 2, Nombor 1 Tahun 1974 menyatakan bahawa, “Perkahwinan adalah sah apabila dilakukan menurut hukum agama masing-masing dan kepercayaannya itu. Tiap-tiap perkahwinan dicatat menurut peraturan perundang-undangan yang berlaku.” Yang mana bermaksud perkahwinan yang dilakukan perlu direkodkan oleh pegawai mengikut agama dan kepercayaan masing-masing. Undang-undang perkahwinan ini tidak ada ketentuan yang melarang perkahwinan berbeza agama, maka untuk menentukan ada atau tidaknya larangan untuk melaksanakan perkahwinan berbeza agama adalah mengikut hukum agama itu sendiri.
Jika dirujuk kepada undang-undang yang mengawal selia agama Islam di Indonesia, “Fatwa Majelis Ulama Indonesia” pada tahun 2005, fatwa tersebut menegaskan bahawa perkahwinan beza agama adalah haram dan tidak sah serta perkahwinan lelaki-lelaki Muslim dengan Wanita Ahlu Kitab, menurut qaul mu’tamad, adalah haram dan tidak sah.
Perkahwinan berbeza agama ini jika diteruskan kelak mendatangkan pelbagai masalah dan kekeliruan terutama sekali kepada anak-anak dalam memilih agama untuk dipraktikkan. Malah telah terdapat kejadian pada empat tahun yang lalu di Indonesia menyaksikan perebutan pengebumian seorang artis Indonesia, arwah Yana Zein oleh ibu beliau yang beragama Kristian dan bapa beragama Islam sekaligus mencetuskan kekecohan di upacara pengebumian tersebut.
Malaysia wajar dipuji dalam hal ini kerana terdapat undang-undang yang jelas mentadbir urusan munakahat umat Islam yang mana Seksyen 10 Akta/Enakmen Undang-undang Keluarga Islam menyatakan tiada seseorang lelaki boleh berkahwin dengan seseorang perempuan bukan Islam dan tiada seseorang perempuan boleh berkahwin dengan seseorang lelaki bukan Islam.
Justeru, dapat disimpulkan di sini Islam secara jelas telah melarang perkahwinan berbeza agama dan adalah tidak sah di sisi agama Islam. Hal ini adalah demi menjaga kemaslahatan ummah sejagat termasuk untuk memelihara nasab keturunan di masa hadapan.
(Artikel ini telah pertama disiarkan di laman sesawang Samudera.my bertarikh 14 Mei 2022 melalui : https://www.samudera.my/berkahwin-di-luar-negara-elak-tukar-agama-siti-nur-zulaikha/)
Siti Nur Zulaikha Binti Abd Kadir
Peguambela & Peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya
Biro Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (WAFIQ)