“SIAPA yang menabur kebajikan, dapat menuai kehormatan.” – Leonardo da Vinci.
Sering kali apabilia berlaku penceraian, kes akan menjadi rumit dengan emosi dan ego kedua-dua belah pihak menjadi pemandu utama penentu hala tuju perpisahan itu. Kisah silam yang panjang diungkit dan diadu domba untuk tontonan masyarakat sekeliling bagi meraih simpati dan sokongan. Tiada pihak yang ingin mengaku perkahwinan yang didirikan untuk kekal selama-lamanya sehingga hujung nyawa dan sampai jasad menjadi debu, terkandas di tengah jalan atas kesalahan diri sendiri.
Kerap berkumandang saban hari di mahkamah keluarga yang mendengari permohonan penceraian, banyak pasangan-pasangan memberikan pelbagai jenis alasan untuk menidakkan kesalahan dan kealpaan diri mereka sendiri sehingga penceraian menjadi jalan pengakhir perkahwinan mereka. Tiada siapa yang mahu mengaku bahawa kesilapan mereka memberikan kesan yang sangat besar kepada kehidupan peribadi dan keluarga. Lantas pelbagai jenis kesalahan pasangan yang diungkit sebagai menutup kekurangan diri masing-masing.
Atas alasan ini, media massa terutama yang berbentuk tabloid sering memilih untuk membuat liputan bagi kes-kes penceraian di kalangan orang ternama dalam negara, baik ahli politik, pelakon, penyanyi bahkan ahli perniagaan yang tersohor. Cerita yang kecil akan dibesar-besarkan untuk menimbulkan sensasi kepada berita yang disajikan. Kisah peribadi yang paling sulit dan memerlukan perlindungan privasi dijadikan bahan bacaan yang disajikan untuk khalayak ramai.
Hal ini makin menjadi-jadi dengan adanya media sosial yang percuma dimanipulasi pasangan yang melalui proses penceraian. Mereka tidak segan untuk menjadikan kisah penceraian dan hal dalam kelambu sebagai bahan untuk meraih ganjaran maya. Lagi jelik pandangan orang ramai terhadap pasangan mereka, lebih tinggi ganjaran maya yang diperolehi.
Kisah yang patut dikemukakan dengan jelas di hadapan hakim mahkamah kini diterangkan kepada pengikut di media sosial yang akan menghakimi baik buruk tindakan pasangan itu. Tangkap layar, rekod panggilan telefon dan segala macam gambar peribadi dimuat naik kepada pengikut dan dihujahkan agar lebih ramai pengikut yang memihak kepada diri mereka sambil mengecam pasangan yang mereka sedang dalam proses untuk ceraikan. Hilang sudah rasa malu dalam masyarakat kita.
Selepas penceraian berjaya dimuktamadkan sama ada dalam bentuk lafaz talak atau perintah fasakh atau dikri nisi mutlak yang dikeluarkan mahkamah, kes penceraian tidak habis di situ. Bagi meneruskan nikmat mengadu domba di media sosial, dibawakan juga kes tuntutan hak penjagaan anak-anak, tuntutan harta sepencarian, hak mu’tah atau pemberian sagu hati kepada pasangan perempuan, dan sudah tentu juga tuntutan nafkah.
Jika terasa aib masing-masing belum terlondeh, ditambah perencah dengan kisah kekasaran dalam rumah tangga, tuduhan kekerasan jenayah dan penderaan. Media sosial pun melahap kisah penceraian pasangan tersohor dalam satu lagi pusingan. Masing-masing giat memberikan sokongan ataupun kecaman sambil merasa diri mereka sempurna atau maksum dan tidak tercela dengan dosa-dosa peribadi mereka. Yang perlu diberatkan hanya dosa dan aib orang lain. Lebih malang lagi apabila ramai juga yang menokok-tambah. Nyala api dibakar sehingga bersemarak.
Tiada langsung yang segan dengan anak-anak generasi masa depan yang melihat sikap bobrok yang jelik ini. Bahkan, anak-anak juga dijadikan modal untuk meraih ganjaran maya. Gambar anak-anak ditampal serata media sosial untuk menunjukkan betapa hebatnya pengorbanan yang mereka lakukan demi anak-anak dalam pada mereka mengecam ibu atau bapa anak-anak itu.
Mereka seakan lupa, apa yang dimuat naik ke dunia maya kekal untuk tempoh yang melangkaui jangka hayat mereka. Muka tulus anak-anak yang dahagakan kasih sayang ibu bapa mereka dijadikan bahan tontonan berterusan. Jikapun ada jalan penyelesaian mudah yang boleh dipilih untuk menjaga maruah anak-anak ini, lebih gemar pasangan yang sudah bercerai memilih alternatif yang jauh lebih sukar. Semata-mata kerana ego mereka lebih tinggi nilainya daripada keperluan anak-anak.
Jarang sekali kita mendengar pasangan yang melalui proses penceraian melakukannya dengan rasa hormat terhadap diri sendiri, pasangan, ahli keluarga, sistem kehakiman ataupun masyarakat sekeliling. Seakan sukar untuk mereka yang pernah tidur sebantal melihat bekas pasangan masing-masing sepertimana pandangan yang mereka berikan pada hari perkahwinan dimeterai.
Jikapun tiada lagi rasa hormat pada aib diri sendiri dan keluarga, suka diingatkan bahawa dalam kes penceraian yang masih belum dimuktamadkan di mahkamah, peraturan berkenaan dengan subjudis seharusnya dihormati. Jika tidak takut dengan maruah yang tercalar, sepatutnya pasangan ini lebih segan dengan pandangan mahkamah yang mengadili kes penceraian dan tuntutan-tuntutan mereka. Berhentilah menabur aib sendiri di media sosial dan bawakanlah keterangan saksi dan bahan bukti secara bijak di mahkamah ini.
Penceraian bukan tiket untuk memalukan diri sendiri dan pasangan.
Fatihah Jamhari ialah pengamal undang-undang serta merupakan Ketua Biro Undang-undang dan Hak Asasi WAFIQ, juga Ahli Jawatankuasa Pusat MACSA.
(Rencana yang telah disunting telah disiarkan di akhbar Utusan Malaysia, menerusi kolum Cakna pada 12 Ogos 2022 melalui pautan berikut : https://www.utusan.com.my/rencana/2022/07/cerai-henti-tabur-aib-sendiri)