Pengabaian Amanah Satu Dosa Besar

Cik Nur Farihah Meor Mazli Digital Media Education Focus Areas Islamic Family Law Legal Advocacy Viewpoints

DAN ibu-ibu hendaklah menyusui anak-anaknya selama dua tahun penuh, bagi yang ingin menyusui secara sempurna. Dan kewajiban ayah menanggung nafkah dan pakaian mereka dengan cara yang patut. Seseorang tidak dibebani lebih dari kesanggupannya. Janganlah seorang ibu menderita kerana anaknya dan jangan pula seorang ayah menderita kerana anaknya”. Firman Allah SWT dalam ayat 233 Surah Al-Baqarah tersebut telah mewajibkan para bapa untuk menyediakan nafkah buat anak-anaknya. Sedemikian itu antara perihal utama yang perlu difikirkan seorang lelaki sebelum menikahi suri hati pilihannya ialah kesediaan dan kemampuan dari sudut ekonomi dan emosi, selain ilmu kekeluargaan yang mencukupi bagi memastikan hak isteri serta anak-anak terpelihara.

Cahaya mata merupakan amanah terulung yang dianugerahkan Tuhan untuk hambaNya agar mereka dapat melaksanakan tanggungjawab selaku khalifah di atas muka bumi ini. Ibu bapa berperanan penting dalam memastikan anak-anak mereka mendapat pengukuhan akidah dan akhlak samping dihiasi penerapan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian. Selain tanggungjawab membekalkan makan, minum, pakaian serta tempat tinggal, seorang ayah dan ibu wajib mendidik seluruh ahli keluarga mereka menjadi insan yang beriman dan beramal soleh. Hal ini bertepatan dengan hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar, yang bermaksud “Setiap dari kamu adalah pemimpin, dan setiap dari kamu bertanggungjawab di atas apa yang dipimpinnya, ketua negara bertanggungjawab ke atas rakyatnya, seorang lelaki adalah pemimpin bagi keluarganya dan dia bertanggungjawab di atas apa yang dipimpinnya, seorang hamba yang menjaga harta tuannya dan bertanggungjawab ke atasnya, seorang wanita adalah pemimpin di dalam rumahnya dan anak-anaknya dan dia bertanggungjawab di atas apa yang dipimpinnya.”

Masyarakat perlu memahami peri penting kehadiran ibu bapa dalam menentukan perjalanan hidup anak-anak sedari bayi sehingga mereka cukup kuat untuk menapak di atas dunia yang penuh onak duri ini. Namun, cabaran paling hebat buat pasangan suami isteri adalah ketika mana mereka ingin membincangkan perihal nafkah atau pencarian rezeki yang seringkali menjadi perbahasan bahkan perdebatan lebih-lebih lagi bagi mereka yang ingin berpisah. Lebih menggerunkan, antara punca penceraian dan pengabaian hak anak-anak yang direkodkan mahkamah sejak sekian lama adalah disebabkan ketidakmampuan si ketua keluarga dalam melunaskan nafkah anak-anak serta sikap culas golongan suami untuk menanggung perbelanjaan seharian. Apatah lagi dengan peningkatan kadar inflasi di seluruh dunia, kos sara hidup dalam setiap unit keluarga turut terkesan. Dalam pembinaan sebuah rumahtangga bahagia, tidak kira suami atau isteri, kedua-keduanya perlu saling bekerjasama tanpa perlu bertikam lidah atau memeluk tubuh tatkala persoalan mengenai hak perbelanjaan anak diutarakan.

Berkait dengan isu di atas, pada sidang Dewan Rakyat bertarikh 9 Ogos 2017 dan siding Dewan Negara bertarikh 21 Ogos 2017, suatu rang undang-undang bagi pindaan Akta Pembaharuan (Perkahwinan & Perceraian) 1976 atau dikenali sebagai Akta 164 telah diluluskan dengan pindaan dibuat terhadap enam seksyen dalam Akta tersebut. Antara yang menarik perhatian penulis ialah pindaan terhadap Seksyen 95 Akta 164 yang meningkatkan tempoh kebertanggungjawaban seorang ibu atau bapa terhadap anaknya dari umur 18 tahun kepada sehingga anak itu tamat pengajian tinggi. Undang-undang baharu ini secara tidak langsung telah menetapkan bahawa seorang bapa diwajibkan membayar nafkah untuk anak-anak mereka sehingga ke peringkat pendidikan tertiari.

Selaras dengan peruntukan Seksyen 78 dan Seksyen 79 dalam Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, perintah nafkah hendaklah tamat apabila anak itu mencapai umur 18 tahun, tetapi Mahkamah boleh, atas permohonan oleh anak itu atau oleh seseorang lain, melanjutkan perintah nafkah itu supaya meliputi apa-apa tempoh tambahan yang difikirkannya munasabah, bagi membolehkan anak itu mengikuti pelajaran atau latihan di peringkat lanjut. Tambahan, Seksyen 73 Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 terlebih dahulu telah memperuntukkan bahawa kewajipan menanggung nafkah anak adalah jatuh kepada bapa sama ada anak itu berada dalam jagaannya atau dalam jagaan seseorang lain, sama ada dengan memperuntukkan mereka tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan dan pelajaran sebagaimana yang munasabah memandang kepada kemampuan dan taraf kehidupannya atau dengan membayar kosnya.

Undang-undang negara jelas telah memberi kuasa kepada mahkamah untuk memerintahkan seseorang menanggung nafkah anak dan ianya perlu dipatuhi dan dilaksanakan sewajarnya. Apabila berlaku ketidakpatuhan terhadap perintah nafkah yang dikeluarkan mahkamah, tindakan penguatkuasaan perlu dimulakan bagi memastikan kepatuhan si pemberi nafkah dapat dikembalikan. Sebarang ketidakpatuhan atau pengabaian terhadap perintah nafkah boleh mengakibatkan mahkamah antara lain, mengeluarkan perintah penahanan pendapatan atau potongan gaji bagi yang berpendapatan tetap dengan mengarahkan bayaran terus ke dalam akaun bank anak-anak atau isteri; atau mengenakan hukuman penjara ke atas pihak yang sengaja tidak mematuhi perintah nafkah tersebut.

Misalnya pada tahun 2020, seorang buruh telah dijatuhkan hukuman penjara 30 hari oleh Mahkamah Rendah Syariah Hulu Terengganu setelah didapati bersalah kerana gagal membayar nafkah anak-anaknya sebanyak RM11,000 kepada bekas isterinya menurut peruntukan Seksyen 181 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Terengganu).

Oleh yang demikian, pembaharuan di dalam perintah penjagaan dan nafkah anak di bawah Seksyen 95 Akta 164 dan peruntukan sedia ada di dalam undang-undang syariah negara sedikit-sebanyak mencerminkan tugas hakiki seorang bapa yang sememangnya berkewajipan dalam memberi nafkah terhadap anak-anaknya selagimana anak tersebut belum berkahwin. Malahan, penambahbaikan baharu dalam proses pelaksanaan perintah mahkamah juga dapat menjamin kedudukan kewangan anak-anak yang mengikuti pendidikan formal sejak usia remaja sehingga melepasi umur 18 tahun. Perhatian juga perlu diberi terhadap ramalan pengkaji ekonomi yang menjangkakan kos yuran pengajian tinggi bakal melambung naik di masa hadapan. Sehubungan itu, ibu bapa bukan sahaja perlu sedar akan kepentingan kewujudan tabung pendidikan buat anak-anak sedari kecil namun yang lebih utama, memaknai peranan dan fungsi mereka sebagai nakhoda sebuah institusi keluarga yang kukuh lagi mapan.

Nur Farihah Meor Mazli ialah pengamal undang-undang serta merupakan Exco Belia & Media WAFIQ, juga Ahli Jawatankuasa Pusat MACSA.

(Rencana yang telah disunting telah disiarkan di akhbar Utusan Malaysia menerusi sebuah kolum khas, Cakna pada 5 Ogos 2022 melalui pautan: https://www.utusan.com.my/rencana/2022/06/yang-gagah-itulah-sering-makan-hati/)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *