Dalam mana-mana perkahwinan, tiada siapapun yang mengimpikan untuk hidup dalam keadaan yang tertindas. Namun, andainya berlaku keadaan sedimikian; maka isteri dibolehkan untuk melakukan tuntutan cerai secara fasakh kerana berada dalam keadaan yang boleh mendatangkan mudharat kepada diri sendiri.
Maksud Cerai Fasakh
Fasakh ertinya pembubaran nikah disebabkan oleh sesuatu perkara yang diharuskan oleh Hukum Syarak. Pembatalan perkahwinan melalui fasakh tidak boleh dirujuk kembali melainkan dengan akad nikah yang baru. Fasakh selalunya dilakukan oleh pihak isteri berbanding suami kerana suami mempunyai hak untuk melafazkan talak.
Perbezaan Antara Khulu dan Fasakh
Seringkali ramai yang akan terkeliru perbezaan antara penceraian secara khulu dan fasakh.
Walaupun kelihatan sama, namun khulu atau turut dikenali sebagai tebus talak bermaksud penceraian yang dilakukan dengan lafaz bersama bayaran tertentu. Dalam kes khulu, terdapat persetujuan di mana si isteri perlu membayar sejumlah wang bagi menebus dirinya dari perkahwinan tersebut.
Berbeza pula dengan fasakh dimana pembuburan pernikahan perlu mencukupi syarat-syarat yang tertentu yakni faktor yang boleh menganiayai mana-mana pihak.
Allah S.W.T telah berfirman mengenai fasakh di dalam al-Quran,
وَاِنِ امْرَاَةٌ خَافَتْ مِنْۢ بَعْلِهَا نُشُوْزًا اَوْ اِعْرَاضًا فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِمَآ اَنْ يُّصْلِحَا بَيْنَهُمَا صُلْحًا ۗوَالصُّلْحُ خَيْرٌ ۗوَاُحْضِرَتِ الْاَنْفُسُ الشُّحَّۗ وَاِنْ تُحْسِنُوْا وَتَتَّقُوْا فَاِنَّ اللّٰهَ كَانَ بِمَا تَعْمَلُوْنَ خَبِيْرًا
” Dan jika seorang wanita khawatir akan nusyuz atau sikap tidak acuh dari suaminya, Maka tidak Mengapa bagi keduanya mengadakan perdamaian yang sebenar-benarnya, dan perdamaian itu lebih baik (bagi mereka) walaupun manusia itu menurut tabiatnya kikir. Dan jika kamu bergaul dengan isterimu secara baik dan memelihara dirimu (dari nusyuz dan sikap tak acuh), Maka Sesungguhnya Allah adalah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan.”
An-Nisa’ Ayat 128
وَاِنْ خِفْتُمْ شِقَاقَ بَيْنِهِمَا فَابْعَثُوْا حَكَمًا مِّنْ اَهْلِهٖ وَحَكَمًا مِّنْ اَهْلِهَا ۚ اِنْ يُّرِيْدَآ اِصْلَاحًا يُّوَفِّقِ اللّٰهُ بَيْنَهُمَا ۗ اِنَّ اللّٰهَ كَانَ عَلِيْمًا خَبِيْرًا
Dan jika kamu khawatir terjadi persengketaan antara keduanya, maka kirimlah seorang juru damai dari keluarga laki-laki dan seorang juru damai dari keluarga perempuan. Jika keduanya (juru damai itu) bermaksud mengadakan perbaikan, nescaya Allah memberi taufik kepada suami-istri itu. Sungguh, Allah Maha Teliti, Maha Mengenal.
An-Nisa’ Ayat 35
Perlu diketahui bahawa fasakh merupakan pembubaran nikah dan hanya Hakim yang mempunyai tanggungjawab untuk membubarkan sesuatu perkahwinan. Oleh itu, pihak isteri memerlukan bukti yang kukah untuk memastikan pembuktian dapat dilakukan berdasarkan undang-undang yang mengikut landasan syarak.