WAFIQ sokong usaha kementerian rangka Rang Undang-Undang (RUU) kawalan pendedahan kanak-kanak di media

Statements

WAFIQ menyokong penuh usaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam merangka Rang Undang-Undang (RUU) bagi mengawal pendedahan berlebihan kanak-kanak di media.

WAFIQ berpandangan bahawa RUU ini amat penting untuk digubal bagi melindungi kanak-kanak daripada pendedahan melampau di media, sama ada di media massa mahupun media sosial. Kanak-kanak berhak untuk menikmati privasi mereka, namun perlu dididik untuk sentiasa mengamalkan sifat malu dan sopan. Pendedahan berlebihan di media sosial, khususnya, boleh membawa pelbagai implikasi negatif termasuk eksploitasi seksual dan manipulasi untuk tujuan pornografi kanak-kanak.

WAFIQ berharap agar kerajaan mempertimbangkan untuk turut memasukkan peruntukan yang mengharamkan pemilikan dan penggunaan telefon pintar oleh kanak-kanak di bawah umur 13 tahun. Peruntukan ini seharusnya juga dapat menghalang ibu bapa daripada memberi telefon pintar kepada anak mereka sebelum mencecah umur 13 tahun agar salah guna aplikasi atas talian dan kes eksploitasi seksual dapat dikurangkan dengan drastik. Perkara ini selaras dengan saranan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil pada bulan Jun lalu yang menasihati ibu bapa agar tidak membenarkan anak bawah umur 13 tahun memiliki akaun media sosial kerana risiko jenayah siber seperti penipuan dan buli dalam talian.

WAFIQ turut berasa kesal susulan pendedahan oleh seorang pempengaruh media sosial, Mekyun, apabila gambarnya ketika masih bersekolah telah dimuat naik ke dalam sebuah kumpulan Facebook bernama “Group Budak2 Sekolah Rendah” dengan tujuan eksploitasi seksual. Kumpulan ini menyiarkan gambar kanak-kanak dalam pelbagai hantaran, disertai dengan komen berbaur lucah daripada pengikutnya. Kejadian seperti ini amat membimbangkan dan memerlukan tindakan segera.

Ibu bapa perlu lebih berwaspada dalam berkongsi wajah atau kehidupan anak-anak mereka di media sosial bagi mengelakkan risiko penyalahgunaan dan eksploitasi. Dalam era teknologi canggih dan kecerdasan buatan (AI) masa kini, gambar biasa boleh dimanipulasi menjadi imej tidak senonoh. Jika gambar ingin dimuat naik untuk tujuan kenangan, ibu bapa disarankan untuk menetapkan privasi atau hanya memuat naik gambar yang sesuai, dengan capaian oleh orang yang dikenali sahaja.

Melihat kepada trend semasa, sesetengah pempengaruh gemar menjadikan anak-anak mereka sebagai kandungan utama media sosial. Gambar dan video anak-anak ini dimuat naik hampir setiap hari untuk tatapan umum. Situasi ini amat membimbangkan kerana, secara sedar atau tidak, kanak-kanak ini terdedah kepada pelbagai risiko keselamatan termasuk eksploitasi komersial, di mana pendapatan dijana melalui kandungan yang memaparkan mereka.

Sebagai rujukan, Perancis telah meluluskan undang-undang Children’s Image Rights Law bagi melindungi hak privasi kanak-kanak. Di bawah undang-undang ini, setiap individu termasuk kanak-kanak mempunyai hak untuk mengawal penggunaan imej mereka, berasaskan Perkara 9 Kod Sivil Perancis yang melindungi privasi. Bagi kanak-kanak di bawah umur 18 tahun, persetujuan jelas mesti diperoleh daripada ibu bapa atau penjaga yang sah sebelum sebarang gambar mereka dikongsi, khususnya dalam talian. Sekiranya kedua-dua ibu bapa mempunyai hak penjagaan, persetujuan daripada kedua-duanya diperlukan.

Namun begitu, meskipun dengan persetujuan ibu bapa, sebarang penerbitan imej tidak dibenarkan sekiranya ia boleh menjejaskan maruah, reputasi atau keselamatan kanak-kanak. Undang-undang ini juga memberi kuasa kepada mahkamah untuk menghalang ibu bapa daripada memuat naik gambar yang tidak berada dalam kepentingan terbaik kanak-kanak. Lebih penting lagi, kanak-kanak diberi hak untuk meminta agar gambar mereka dipadam daripada platform digital apabila mereka dewasa.

WAFIQ juga berharap agar kerajaan dapat menggubal satu peruntukan untuk menghalang mana-mana syarikat mengambil kanak-kanak sebagai model sama ada di papan iklan, pentas peragaan, atau bagi tujuan penjenamaan produk. Dengan kadar peningkatan pesalah pedofilia di Malaysia, langkah ini perlu diambil bagi memastikan kanak-kanak tidak menjadi mangsa nafsu serakah oleh golongan penjenayah ini.

Pendedahan melampau di media boleh menjejaskan kesihatan mental kanak-kanak, lebih-lebih lagi jika gambar mereka dieksploitasi sebagai bahan lucah. Mereka juga berisiko mengalami gangguan emosi apabila dikenali oleh orang ramai dan tidak dapat melalui fasa kehidupan kanak-kanak yang normal. Kanak-kanak ini bukan selebriti, namun dilayan seolah-olah mereka objek hiburan awam.

WAFIQ menegaskan bahawa hak privasi kanak-kanak perlu dihormati, dilindungi dan diutamakan demi keselamatan serta perkembangan sihat mereka pada masa hadapan.

Rujukan:

  1. https://connectontech.bakermckenzie.com/france-introduces-new-law-to-enhance-the-protection-of-childrens-rights-in-france/
  2. https://www.astroawani.com/berita-malaysia/anak-bawah-13-tahun-tak-perlu-ada-akaun-media-sosial-fahmi-527103

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *