Kepentingan Terbaik Bagi Seorang Anak

Statements


WAFIQ percaya bahawa kepentingan terbaik bagi seorang anak adalah untuk mempunyai ibu dan bapa yang sah, dilahirkan dengan penuh cinta dan rasa penghormatan terhadap nilai-nilai Islam dalam keluarga.

Asas kepada ibu bapa kandung yang diiktiraf undang-undang seharusnya menjadi pertimbangan utama kerana ia berasaskan rasa tanggungjawab dan mencerminkan kematangan mereka dalam menjamin masa depan anak-anak mereka.


WAFIQ mengulangi bahawa kita perlu terus menekankan mesej ini kepada masyarakat untuk menangani punca akar dan bukannya cuba “membaiki gejala”, antaranya dengan mendesak pemindaan undang-undang dan memperluaskan perintah atau fatwa agama secara samar atas nama “melindungi kepentingan terbaik bagi kanak-kanak”. Kes terbaharu mengenai seorang bapa kandung yang membuat permohonan untuk mendaftarkan namanya sebagai bapa bagi anak tidak sah taraf sebagai ganti kepada perkataan ‘bin Abdullah’ adalah dirujuk dan relevan.


WAFIQ berasa prihatin berikutan panggilan untuk meminda undang-undang yang setakat ini tidak menimbulkan masalah kepada majoriti orang awam yang sentiasa mematuhi norma budaya dan nilai-nilai agama tempatan. Tambahan pula, Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 telah banyak membantu Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam merekodkan fakta sebenar dan sahih dengan penuh objektiviti tanpa sebarang prejudis.


Oleh itu, WAFIQ mengalu-alukan keputusan Mahkamah Persekutuan bahawa Seksyen 13A (2) BDRA tidak terpakai ke atas pendaftaran kelahiran anak Melayu-Islam dan untuk menamakan anak tidak sah taraf kepada bapa biologi atas dasar ia adalah nama keluarga bapa menurut seksyen 13A, seperti diputuskan oleh Mahkamah Rayuan sebelumnya, adalah tidak berasas baik dari segi perundangan, fakta dan bahasa.
Mahkamah Persekutuan telah mencapai keputusan tersebut dengan merujuk kepada pandangan tiga pakar iaitu Profesor Madya Dr Kassim Thukiman, Profesor Madya Dr Mohd Rosli Saludin dan Profesor Dr Teo Kok Seong.


Ia adalah suatu tanggapan yang diterima umum bahawa orang Islam di negara ini tertakluk kepada undang-undang yang digubal oleh Parlimen serta undang-undang Islam yang digubal oleh Badan Perundangan setiap negeri, selaras dengan Perkara 1 Jadual Kesembilan, Senarai II, Senarai Negeri Perlembagaan Persekutuan.


Oleh demikian, WAFIQ turut memuji keputusan Mahkamah Persekutuan bahawa JPN telah bertindak dan melaksanakan budi bicaranya secara munasabah dengan merujuk kepada Undang-undang Islam mengenai kesahtarafan anak. Prinsip ini bukan sahaja penting bagi kes-kes berkaitan kesahtarafan, tetapi juga diambil kira dalam banyak isu lain seperti khatan anak perempuan, pengguguran bayi dan pembedahan penukaran jantina.
WAFIQ mengakui bahawa ada kritikan yang ditujukan kepada rujukan fatwa dan undang-undang Islam oleh Kementerian Kesihatan dan JPN berkaitan isu-isu tersebut, dengan mengguna-pakai beberapa hujahan berdasarkan prinsip sekular dalam pembuatan polisi dan tadbir urus.


Walau bagaimanapun, ia perlu ditekankan bahawa kes yang rumit ini perlu menjadi peringatan kepada masyarakat untuk tidak mengambil ringan soal zina kerana kepentingan terbaik bagi kanak-kanak hanya akan tercapai dengan pelaksanaan usaha bersepadu dalam membendung masalah zina dan hubungan seks di luar nikah.


Tambahan, JPN tepat dalam mendokumenkan rekod sebenar yang membantu menjelaskan aspek keturunan. Keturunan tidak boleh ‘dikaburkan’ melalui manipulasi terhadap prosedur pendaftaran. Jika ia tidak didokumenkan dengan betul, maka keluarga itu harus bergantung pada kata-kata mulut semata untuk menerangkan tentang keturunan dan bukan melalui bukti konklusif dari pihak berkuasa yang berkenaan.

Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar
Presiden
International Women’s Alliance for Family and Quality Education
WAFIQ

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *