Polisi Bebas Alkohol Sebagai Normal Baharu Pasca Covid-19

Education Legal Advocacy Legal and Human Rights Prof Madya Dr Rafidah Hanim Statements Youth

Pada 5 April 2020 seorang lelaki yang memandu dalam keadaan mabuk, merempuh sekatan jalan raya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) COVID-19 di Bintulu jam 11.40 malam.

Pada 10 April 2020 seorang lelaki warga emas yang memandu di bawah pengaruh alkohol merempuh kereta polis di sekatan jalan raya Op Covid-19 di Plaza Tol  Petaling Jaya,  jam 9.30 malam.

24 April lalu,  dua lelaki ditahan polis selepas didapati melanggar Perintah PKP dengan salah seorangnya didapati memandu kereta dalam keadaan mabuk jam 11.30 malam di Laluan Sungai Pari.

Dan dalam kejadian terbaru pada 3 Mei 2020, pada hari ke 10 Ramadhan seorang anggota polis maut dirempuh dan dihempap sebuah pacuan empat roda ketika sedang bertugas dalam sekatan jalan raya Ops Covid-19 susulan PKP awal pagi ini. Dalam kejadian jam 3 pagi, mangsa, Koperal Safwan Muhammad Ismail yang juga anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang dirempuh berhampiran Plaza Tol Kajang Selatan. Mangsa dirempuh pacuan empat roda model Toyota Hilux dipandu seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun dipercayai dalam keadaan mabuk.

Ini adalah kes-kes hanya dalam bulan April dan Mei tahun ini sahaja dan ketika PKP sedang berjalan. 

Kita merasa amat kecewa dan kesal kerana kejadian terbaru ini melibatkan kematian seorang pemandu polis yang sedang bertugas di bulan Ramadhan, seorang petugas barisan hadapan yang membantu menangani wabak COVID-19. 

Hakikatnya, dalam bulan Januari 2020 sahaja, seramai 158 individu ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol di ibu negara menurut Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur (JSPT KL).

MITOS ALKOHOL DAN KESAN BURUK  PADA JANGKITAN COVID-19

Alkohol sering digambarkan sebagai keperluan budaya sesuatu kaum. Hakikatbya, alkohol mempunyai kesan jangka panjang pendek dan jangka panjang ke atas setiap organ dalam badan. Kertas Fakta Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesahkan bahawa tiada paras selamat bagi minuman alkohol, dan setiap kali seseorang mengambil alkohol meningkatkan risiko kerosakan organ badan. 

Alkohol juga melemahkan sistem daya tahan (immune system) badan menyebabkan seseorang itu mudah mendapat jangkitan. Bahkan, alkohol meningkatkan risiko Sindrom Pernafasan Akut atau acute respiratory distress syndrome (ARDS), salah satu komplikasi COVID-19 yang paling teruk.

Ketika ini terdapat beberapa mitos tentang alkohol yang berlegar sewaktu COVID-19 menyebabkan WHO terpaksa mengeluarkan panduan. Antaranya, kononnya alkohol membunuh koronavirus yang menyebabkan COVID-19, dan meminum alkohol membunuh virus dalam udara yang disedut dan menyahkuman mulut dan kerongkong. 

Kedua-dua tanggapan ini adalah mitos semata-mata. Lebih 700 orang di Iran terbunuh kerana mempercayai mitos ini apabila mereka mengambil metanol toksik. 

Mitos yang lain adalah minuman beralkohol merangsang imuniti badan dan ketahanan terhadap virus. Hakikat sebenar ialah perkara yang berlawanan iaitu alkohol menurunkan kekuatan imuniti anda.

IMPAK POLISI KETAT KE ATAS ALKOHOL

Sekolah Perubatan, Universiti Washington melaporkan dalam tahun 2016 bahawa terdapat rekod 3 juta kematian di seluruh dunia dikaitkan dengan penggunaan arak. Kajian mereka menyimpulkan bahawa tiada paras selamat bagi mereka yang meminum arak, bermaksud tidak ada jumlah minima yang boleh disyorkan oleh pakar kesihatan bagi menyatakan alkohol adalah selamat diminum. 

Afrika Selatan baru-baru ini telah menguatkuasakan larangan penjualan dan pengedaran alkohol sewaktu menguatkuasakan “lockdown” sama seperti PKP kita. Pihak polis dan pihak kesihatan Afrika Selatan menganggarkan bahawa alkohol adalah penyebab 40% kemasukan kes-kes ke wad kecemasan. Sebelum lockdown, Afrika Selatan menyaksikan sebanyak 34000 kes trauma berkaitan alkohol (pergaduhan, pemanduan mabuk, keganasan rumah tangga) setiap minggu. Selepas penguatkuasaan PKP mereka,  jumlah ini berkurang sebanyak 2/3, dengan hanya 12000 kes dilaporkan seminggu. Pihak Majlis Penyelidikan Perubatan Afrika Selatan mengatakan perubahan ini adalah signifikan dan memberi amaran, pembatalan polisi larangan, akan menyebabkan peningkatan kes trauma, dan juga jangkitan COVID-19 sendiri kerana sukarnya menjaga penjarakan sosial di kalangan mereka yang mabuk.

POLISI DAN UNDANG-UNDANG TEGAS BERKAITAN ALKOHOL

Melihat saban tahun, kita berhadapan dengan kes kematian mereka yang tidak bersalah akibat pemandu yang mabuk, sudah tiba masanya kita menguatkuasakan polisi dan undang-undang yang lebih ketat berhubung alkohol. Kita wajar mencontohi negara Brunei yang melarang premis yang menjual alkohol serta melarang meminum alkohol secara terbuka. Jabatan Kastam dan Eksais Diraja Brunei pula mengenakan syarat bukan-Muslim hanya boleh membawa sebanyak dua botol standard arak dan 12 tin kecil yang perlu dihabiskan dalam tempoh 48 jam sahaja apabila berada di Brunei.

Dari sudut undang-undang, Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 Malaysia telah memperuntukkan undang-undang dimana mana-mana individu yang memandu di bawah pengaruh minuman memabukkan atau dadah dan menyebabkan kematian atau kecederaan boleh dihukum penjara tidak kurang 3 tahun dan tidak lebih 10 tahun dan denda tidak kurang RM 8000 dan tidak lebih RM 20,000. Hukuman sedia ada ini dilihat langsung tidak setimpal dengan sikap cuai lagi merbahaya pengguna jalan raya yang turut meragut nyawa orang lain.

Taiwan baru- baru ini telahpun mendraf cadangan hukuman mati ke atas pemandu mabuk yang menyebabkan kematian. 

Sesungguhnya trauma dan kesengsaraan kepada keluarga mereka yang terbunuh akibat pemandu mabuk adalah tidak dapat dibayangkan. 

Era COVID-19 mengajar kita bagaimana larangan tegas ke atas arak perlu dalam menangani pelbagai risiko jangkitan dan berjaya menurunkan kes- kes berkaitan individu mabuk. Pasca COVID-19 kita sewajarnya menjadikan polisi kawalan dan larangan ke atas arak, sebagai satu norma baharu. Ia bermanfaat untuk setiap manusia tidak kira bangsa dan agama. Selain daripada menangani masalah kesihatan,  biarlah Koperal Safwan Muhammad Ismail menjadi korban terakhir pemandu mabuk. Al Fatihah. 

Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar 

Presiden Perikatan Wanita Antarabangsa Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *