Lelaki itu sifatnya qawwam. Jantan, kuat, berani menghadapi perjuangan hidup untuk memperoleh nafkah bagi keluarganya. Dia juga bertanggungjawab melindungi kaum wanita dari bahaya yang mengancam keselamatan keluarganya/rakyat di bawahnya. Lelaki yang belagak seperti wanita dengan pakaiannya, karakternya sangat dibenci Allah .
Hadis Rasulullah : لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم الْمُتَشَبِّهِينَ مِنَ الرِّجَالِ بِالنِّسَاءِ، وَالْمُتَشَبِّهَاتِ مِنَ النِّسَاءِ بِالرِّجَال, Maksudnya: “Rasulullah SAW telah melaknat orang lelaki yang menyerupai perempuan dan orang yang menyerupai kaum lelaki daripada kalangan perempuan.” . Ini kerana dia dah ubah tabiat atau fitrah kelelakian itu sendiri. Lelaki sejati takkan mampu berpakaian apatah lagi berwatakan seperti wanita kerana dia tahu itu bukan mencerminkan definasi lelaki itu sendiri. Lelaki sejati ialah yang mampu mengangkat pedang. Lelaki sejati ialah yang mampu tahan susah mencari nafkah untuk ahli keluarganya. Lelaki sejati ialah yang mengemudi armada tentera melawan pihak musuh. Bagaimana nak angkat pedang kalau pakai skirt? Begitulah sedikit sebanyak perumpamaannya.
Anugerah Juara Lagu ke 39 yang berlangsung baru-baru ini menunjukkan ramai lelaki yang hadir berfesyen seperti wanita. Di manakah nilai lelaki harapan ummat? Tidak cukup dengan berpakaian seperti wanita , malah pakaian tersebut sangat ganjil dan keterlaluan. Pakaian yang ganjil dan keterlaluan ini boleh menimbulkan rasa angkuh dan bangga diri. Rasulullah saw melarang kita dari memakai pakaian yang niatnya semata-mata untuk meraih kemasyhuran atau populariti. Rasulullah saw bersabda : مَن لَبِسَ ثوبَ شُهرةٍ في الدُّنيا، ألْبَسَهُ اللهُ ثوبَ مَذلَّةٍ يومَ القيامةِ Maksudnya : “Siapa yang memakai pakaian syuhrah di dunia maka Allah SWT akan memakaikan kepadanya pakaian kehinaan pada hari kiamat.”
Semasa belajar di Kuliyyah Syariah Islamiyyah Universiti Al-Azhar, Kaherah, di dalam subjek Qadaya Fiqhiah Muasarah (Feqh Kontempari) ada perbahasan tentang Hukum Lelaki Mewarnakan Rambut. Pensyarah tersebut mengatakan lelaki tidak boleh mewarnakan rambut sebab warna rambut dalam kategori Az-Zinah (perhiasan/kecantikan). Berhias dan bercantik ini khusus untuk kaum wanita. Lelaki yang beruban boleh mewarna rambut hitam kalau nak pergi medan perang. Ini supaya musuh Islam gerun tengok tentera Islam semua muda dan kuat. Marilah kembalikan lelaki kepada fungsinya yang sebenar. Kalau warna rambut pun dilarang apatah lagi pakai pakai dress atau melaram seperti wanita.
Lelaki yang bersifat seperti wanita dan menyalahi fitrahnya ini ditakuti juga menjadi penyebab kepada terbitnya nafsu songsang dan hubungan songsang. Pihak Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI) diseru untuk membuat siasatan di bawah Seksyen 28 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997 yang memperuntukkan: “Mana-mana orang lelaki yang memakai pakaian perempuan dan berlagak seperti perempuan di mana-mana tempat awam atas tujuan yang tidak bermoral adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh disenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya”.
Pihak berkuasa dan yang mempunyai autoriti hendaklah bertegas dan sekurangnya membuat siasatan kerana pada siapa lagi masyarakat hendak berharap kalau bukan pada golongan penguasa. Balasan Allah juga tidak diturunkan kepada kaum yang membuat jenayah tersebut sahaja tetapi kepada orang yang melihat tetapi tidak melakukan apa-apa.
Nabi Luth AS ketika kaumnya yang homoseksual hendak menganggu tetamunya (para malaikat) yang datang menyerupai manusia yang berwajah tampan mengeluh ” “Seandainya aku ada mempunyai kekuatan (untuk menolakmu) atau kalau aku dapat berlindung kepada keluarga yang kuat (tentu aku lakukan)” (Hud, 80) dan kemudiannya para malaikat menjawab : Para utusan (malaikat) berkata: “Hai Luth, sesungguhnya kami adalah utusan-utusan Tuhanmu, sekali-kali mereka tidak akan dapat mengganggu kamu, sebab itu pergilah dengan membawa keluarga dan pengikut-pengikut kamu di akhir malam dan janganlah ada seorangpun di antara kamu yang melihat ke belakang, kecuali isterimu. Sesungguhnya dia akan ditimpa azab yang menimpa mereka kerana sesungguhnya saat jatuhnya azab kepada mereka ialah di waktu subuh; bukankah subuh itu sudah dekat?”
Maryam Shakirah binti Zulfakar