Isu Tudung Pekerja Hotel

Voice of WAFIQ's Advisor Women

Hari ini, saya sempat menyertai pertemuan MACSA (Malaysian Alliance of Civil Society Organisations) bersama YB Dato Dr Mujahid dalam membincangkan isu-isu hak asasi kemanusiaan yang dari perspektif Islam. Salah satu perkara yang dibentangkan adalah isu tudung pekerja hotel Muslimah. Isu ini dibangkitkan sendiri oleh tiga orang wakil pekerja hotel Muslimah yang menceritakan pengalaman mereka diminta oleh pihak hotel untuk menanggalkan tudung. Alasan pihak hotel adalah pemakaian tudung ini tidak menepati “grooming standard” yang ditetapkan.

Apa yang lebih mengejutkan adalah, terdapat pekerja Muslimah yang berkerja di bahagian dapur turut di arahkan agar menanggalkan tudung mereka. Ini sangat mengejutkan! Apakah rasional alasan tidak menepati “grooming standard” buat pekerja yang berkerja dibahagian dapur? Ingatkah kita peristwa di mana seorang perempuan Muslimah diselak kainnya sehingga terdedah auratnya, lalu datang seorang Muslim mempertahankan maruah perempuan Muslimah ini. Pemuda Muslim ini kemudian dibunuh oleh sekumpulan yahudi lalu Rasulullah ﷺ mengarahkan tentera Islam memerangi Yahudi Bani Qainuqa’ ini. Maka tercetuslah Perang Bani Qainuqa’.

Nah lihatlah! Demi mempertahankan hak dan maruah seorang Muslimah, peperangan telah tercetus! Hari ini Muslimah kita hendak mengenakan tudung di hotel pun masih menjadi isu. Pramugari disarankan berpakaian sopan dikatakan jumud. Adalah diharapkan agar pertemuan ini membuahkan hasil. YB Dato Dr Mujahid tadi sendiri menyatakan sokongan untuk membantu menangani permasalahan ini.

p/s: Harap-harap kumpulan Sisters in Islam boleh bantu memperjuangkan hak asasi wanita ini.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah WAFIQ
Pensyarah Fakulti Quran & Hadith
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *