Larangan Menyakiti @ Bertindak Sendiri

Voice of WAFIQ's Advisor

Saya tidak pasti apakah puncanya pondan ini dibelasah. Namun bertindak menyakiti manusia sesuka hati adalah haram dan ia hanya akan menimbulkan fitnah kepada Islam. Islam melarang kita menyakiti muslim. Al-Imam al-Bukhari menulis satu bab khas di dalam Sahih al-Bukhari tentang larangan menyakiti muslim dengan tajuk:

(باب ظَهْرُ الْمُؤْمِنِ حِمًى، إِلاَّ فِي حَدٍّ أَوْ حَقٍّ)

Iaitu Bab Seorang Muslim itu Terpelihara (tubuh, maruah dan hartanya). Seorang muslim itu tidak boleh disakiti tubuhnya, hartanya tidak boleh diambil dan maruahnya tidak boleh dicalar melainkan sekiranya dia didapati bersalah dan boleh ditentukan hukumannya dengan hukuman yang ditentukan oleh Allah (hudud).

Islam juga melarang kita menyakiti non-Muslim. Dalam banyak hadith, Rasulullahﷺ menunjukkan contoh bagaimana Bagindaﷺ berinteraksi dengan mereka dengan akhlak yang baik. Rasulullahﷺ tidak menyakiti mereka sekalipun mereka menyakiti Rasulullahﷺ. Suatu hari, seorang Yahudi yang melafazkan ucapan yang tidak elok kepada Rasulullahﷺ. Saidatina Aisyah membalas ucapan Yahudi tersebut dengan ucapan yang sedemikian juga lalu Rasulullah menegur Aisyah dan berkata: Sesungguhnya Allah tidak menyukai kejahatan.

Malah, dalam sebuah hadith yang sahih Rasulullahﷺ menceritakan bagaimana seorang perempuan dimasukkan kerana hanya kerana menyakiti kucing. Kalau menyakiti binatang pun tidak boleh, apatah lagi manusia. Sekalipun mereka melakukan kesalahan atau jenayah, yang berhak menjatuhkan hukuman adalah mereka yang berkuasa dan berautoriti. Ingatkah kita bagaimana Saidina Ali mendapati baju perangnya di ambil oleh seorang yahudi. Saidina Ali tahu bahawa itu adalah baju perang beliau, tetapi beliau tidak bertindak sendiri. Beliau mengadukan perkara ini kepada pihak berkuasa ketika itu iaitu Shurayh al-Qadi. Saidina Ali tidak bertindak sendiri dengan mengambil baju besi tersebut.

(Sekalipun kisah ini dipertikaikan dari aspek kesahihah, namun pengajarannya adalah benar. Hukuman hanyalah dilakukan oleh pihak berkuasa.)

Tuan-tuan yang dirahmati Allah. Jangan kita bertindak menyakiti sesuka hati. Allah dan Rasul tidak membenarkan perbuatan tersebut. Moga Allah membimbing kita semua.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah WAFIQ
Pensyarah Fakulti Quran & Hadith
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *